16 Riba

4.8K 267 14
                                    

"Mak teh, betul ke Khai kena pukul?"

Paginya ditemani seorang anak gadis perumahan yang sama. Kebiasaan hari memang begini. Usai menyiram tanaman di kolam ikan koi rumah Dato Muhsin, mak teh berlabuh ke sebuah kerusi batu.

Pandangannya bagaikan dapat menembusi susunan batu bata dinding dan terus ke kamar Khairul di tingkat atas. "Betul. Tapi... mak teh tak tahu puncanya. Khai pun macam tak nak berkongsi. Mak teh tak naklah desak dia pula."

"Teruk?" soal Asyilla kembali. Panasaran juga. Wajah putihnya berseri secalit pemerah bibir. Dia hendak melonjak gembira apabila mengetahui kepulangan Khairul ke rumah, namun terbantut pula.

"Teruk juga. Sampai bengkak sebelah kepala. Khairul pun banyak baring je dekat bilik sejak semalam." Sempat menjenguk Khairul Iddin sebelum membuat sarapan pagi. Semangatnya agak luluh melihat Khairul berbalut kepala. Sakit ini barangkali perkara kecil bagi anak jantan seperti Khairul, namun mak teh tetap tidak mahu anak jagaannya dihinggap apa-apa jenis kesakitan.

"Kesiannya dia. Siapalah sanggup pukul Khairul..." gumam gadis berselendang itu.

"Mak teh tak tahu... Dato nampak marah sangat pada Khairul," ujar mak teh dengan gelengan. Emosi majikannya tidak begitu baik sejak semalam. Pasti ada suatu perkara besar yang telah terjadi.

Asyilla menoleh ke mak teh lalu dapat menangkap perubahan wajah setengah abad di hadapannya. Dia tersenyum kecil. Kebimbangan mak teh pada Khairul menandakan cintanya pada anak itu. "Mak teh janganlah sedih," pujuk Asyilla.

"Mak teh takut Khai kena pukul dengan Dato macam dulu... Mak teh tak suka tengok Khai sakit..." Jauh benar fikiran mak teh berlayar.

"Papa Khai dah berubah, bukan? Takkanlah Khairul yang besar panjang nak dibelasahnya..." Asyilla menyedapkan hati pembantu rumah Dato Muhsin dengan segaris senyuman.

"Mak teh je kot yang terlebih fikir." Ada benarnya kata Asyilla. Mak teh yang kusut memaksa diri buat beranggapan positif. Susah juga jika terlalu sayangkan seseorang.

"Mak teh ni... sayang sangat pada Khai." Asyilla tidak mengendurkan senyuman malah dia suka melihat hubungan kedua-dua beranak itu. Begitu baik layanan Khairul pada mak teh, itulah salah satu penarik untuk dia jatuh hati pada lelaki tinggi lampai itu. Harapnya Khairul akan melayannya dengan layanan yang sama ketika bercinta nanti.

"Itu je harta yang mak teh ada. Mestilah mak teh cinta dan kasih," kata mak teh. Pandangannya terhenti di kereta Dato Muhsin yang telah dipanaskan enjin. Dari jauh, bunyi deruman pacuan empat roda itu dapat dicam.

"Eh, papa Khai tak ke pejabat lagi?" Sekilas jam paparan telefon ditilik. 10 pagi.

"Tak. Dia sibuk nak uruskan masalah Khai." Begitu banyak sangkaan buruk terlayar di fikiran mak teh. Benar-benar khuatir pada hukuman yang menanti Khairul Iddin. Kiranya ini masalah besar biar pun tidak mengetahui secara jelas.

Asyilla membuat bibir berbentuk 'O'. "Tak selesai lagi? Ingat ke lepas balik balai polis dah sudah dah..."

***

Saling termenung memikirkan jalan penyelesaian. Suasana sepi di restoran tertutup itu mengizinkan pasangan berkenaan memperoleh ruang privasi. Santapan sarapan merangkap makanan tengah hari terdiri daripada potongan roti croissant sahaja.

"Patut ke kita kahwinkan Khai dan Asyilla?" Terluah isi buku hati. Datin Farina mengangkat wajah untuk menyelaraskan mata.

"Saya risau kalau lepas kahwin pun dia buat perangai juga. Kita tak boleh jangka apa akan berlaku..." Dato Muhsin membalas.

TUAN KHAIRUL ✓  [C] Where stories live. Discover now