20 Lemas

4.8K 337 39
                                    

"Khairul dah bangun?" Dato Muhsin mengangkat wajah seiring derapan kaki bekas isterinya mengisi benak. Begitu risaukan keadaan anak tunggal di bilik. Mereka sekeluarga pulang ke rumah tengah hari tadi sebaik sahaja selesai pengurusan jenazah sang pembantu rumah. Dikhabarkan pula Khairul pengsan, keadaan dalam rumah kekal menyepi tak ubah seperti tanah perkuburan.

Sekelumit rasa bersalah hadir mengisi hati.

"Belum. Badan dia panas. Mungkin sebab penat sangat," jawab Datin Farina. Wanita itu tersenyum nipis sebelum duduk di sisi Dato Muhsin.

"Oh..." Dato Muhsin menghela nafas halus. Kehilangan mak teh begitu terasa buat mereka sekeluarga, apatah lagi pada Khairul Iddin yang membesar dengan kasih sayang sang pembantu rumah semenjak bayi. Malam kian lewat buat mereka berdua yang tidak punya ikatan suami isteri.

"Awak, patut ke kita paksa Khairul bernikah dengan Asyilla? Maksud saya... keadaan anak kita sekarang ni..." Datin Farina bertanya. Lengannya direhatkan di tempat penyandar sofa. Ruang tamu itu menjadi tempat mereka berdua, tak ubah seperti Khairul masih kecil. Cuma, ketika Khairul sesuci kain putih tak siapa pun endah akan perkembangan Khairul. Sudah besar panjang begini, hendak marah sang anak pun kelak Khairul yang akan mengamuk teruk.

"Biarlah Khairul rehat. Tak usah bincang soal ni depan dia nanti." Kata putus diberikan setelah apa yang terjadi. Tak ada gunanya Khairul dipaksa buat bernikah sedang anaknya masih belum bersedia untuk m menanggung amanah sebagai seorang suami.

"Saya akan beritahu Mona yang Khairul perlu berehat." Datin Farina mengangguk setuju.  Tangannya laju mencapai telefon pintar dari meja kopi. Biar pun tindakan ini akan melukakan hati Asyillah, kesihatan mental Khairul perlu dijaga rapi. Tak mahu anak mereka mengalami tekanan melampah hasil perbuatan mereka sendiri.

Dato Muhsin termenung beberapa detik
Ingatannya mengulang tayang Khairul sebagai imam solat jenazah di masjid siang tadi. Lelaki setengah abad itu agak terkejut melihat anak yang disangkakan hina mampu mengimamkan jenazah sang pembantu rumah. Benarlah, mak teh banyak mengajar ilmu agama kepada Khairul tika dia sibuk di pejabat.

Dato Muhsin melirik ke tangga yang menuju aras kedua kediamannya. "Kita tak boleh paksa dia. Dia cuma akan memberontak lagi dan lagi... Keadaan sekarang pun makin sukar. Jujurnya, saya tak tahu betapa kosongnya Khairul esok lusa... tanpa mak teh."

Usia mengikis masa. Banyak masa yang disia-siakan sewaktu muda. Datin Farina tersenyum nipis.  "Khairul masih ada kita. Kita boleh cuba gantikan kasih sayang mak teh... Kita kan papa dan mama Khai?"

Selagi boleh dibaiki hubungan kekeluargaan, akan dicuba hingga Khairul mengecapi erti kebahagiaan.

"Iya... Saya akan cuba. Patut ke saya minta maaf sebab tampar dia semalam?" soal Dato Muhsin.

Datin Farina menjatuhkan kepala sekali tanda setuju. Lega hatinya tatkala amarah bekas suami beransur pergi. "Tak salah kalau kita minta maaf pada anak sendiri..."

"Khai dah kena buang kolej... Saya ingat nak ambil dia kerja dengan saya terus. Biar saya yang jaga dia dekat pejabat."

"Kalau Khai duduk jauh daripada kawan-kawan dia yang suka meliar... mungkin dia boleh berubah perlahan-lahan," bilang ibu kandung Khairul. Tak seharusnya mereka mendesak Khairul hingga perkara buruk terjadi.

Barangkali ini pilihan terbaik jika hati masing-masing telah sebulat suara. Dato Muhsin memandang bekas isterinya. "Farina, kita nikah dan jaga Khairul sama-sama. Dia je anak yang kita ada... Dia je yang akan jaga kita bila mana kita dah nyanyuk dimakan usia... Saya dah penat nak kejar harta. Sekarang ni, saya cuma... nak bahagia dengan keluarga sendiri."

Terbit senyuman nipis pada bibir delima Datin Farina. Tanpa berfikir lama, kepala menangguk setuju. "Sebelum balik saya nak jenguk Khairul lagi sekali."

TUAN KHAIRUL ✓  [C] Where stories live. Discover now