41 Minta Maaf

3.4K 224 40
                                    

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21

Tikar sejadah dilihat pemuda itu. Setiap kali mahu menunaikan solat, betapa hatinya berasa malu pada Tuhan Sang Pencipta. Sudah melakukan maksiat, tiba-tiba sahaja hendak memohon ampun.

Jijik.

Khairul Iddin terbaring di atas katil kembali. Dia merehatkan lengan ke atas dahinya yang lembap seusai mandi wajib subuh itu. Komputer riba di atas meja kerja dilirik lalu dia meraup wajah pula. Jadi serba tidak kena hidup begini. Ketagihan yang dialami terlalu sukar untuk dikuburkan begitu sahaja. Umpama sudah sebati dalam darah daging buat menambah dosa semenjak kecil.

Serba salah, itulah perasaan yang bergelodak di jiwa.

"Kalau aku solat pun tak guna... Esoknya mesti aku buat dosa lagi," gumam pemuda itu yang akhirnya memutuskan untuk melipat tikar sejadah dan meletakkan ke tempat asal. Dia mengambil tempat di meja kerja, menghadap komputer riba. Jam digital yang terpampang di penjuru skrin dilihat sekali.

Khairul mula membuka peti masuk email dengan sebelah tangan. Tangan kirinya kekal berehat tanpa membuat pergerakan, masih dalam fasa penyembuhan.

Kalau bukan Haji Daud yang hantar orang untuk memukulnya tempoh hari, seharusnya Khairul tidak perlu berasa terasa hati begini. Kes itu telah dipohon buat ditarik balik tanpa siasatan lanjut pihak polis. Mungkin Khairul tersilap kerana terus serkap jarang bahawa Haji Daud yang menghantar samseng jalanan. Setiap kali melihat tangan kirinya, setiap itu juga Khairul akan berfikir.

Apakah benar ini bukan angkara Haji Daud?

Jar kaca lusinar berdekatan dibuka pula sedang email baharu yang diterima dibaca. Di dalam bekas tersebut tersimpan segala jenis biskut kegemaran lelaki ini yang dibeli tiga hari lalu. Dia acap kali memesan daripada bakeri yang sama untuk menghantar sekotak biskut ke hadapan pintu rumah. Biarpun harga sekeping biskut mencecah RM10, nama Khairul telah dikenali sebagai pelanggan tetap. Khairul mula melihat hasil pencarian pekerjanya dalam mencari identiti lelaki bernama Azzam.

Sekeping biskut hampir berbaki separuh di tangan kanan.

"Abang kepada Lia Maisarah..."

Wajah Lia sungguh tidak asing. Dia mengimbas sekali pandang. Ternyata ini gadis mangsa rogolnya. Artikel surat khabar di bahagian apendiks email turut dikepilkan bersama-sama. Pekerja Khairul kembali dengan bentangan maklumat lengkap. Beberapa hari berlalu, sebuah email pun dikirimkan kepada Khairul tanda kerja perisikan telah selesai.

Seorang gadis berusia 23 tahun menggantung diri di sebuah rumah... Lia Maisarah, terlibat dalam kes rogol disyaki mengalami tekanan hidup sehingga bertekad untuk berbuat sedemikian.

Di ketika itu, Khairul terdiam. Apakah cukup sekadar kata kemaafan yang pernah diucapkan kepada ibu arwah? Walhal dialah punca sehingga seorang gadis yang tidak bersalah menamatkan riwayat hidup.

Jarinya menekan kekunci anak panah ke bawah. Sekeping potret keluarga di mana Azzam turut ada disiarkan pula.

Nafas dalam ditarik Khairul Iddin. Perbuatannya yang melampaui batas berjaya memusnahkan kehidupan orang lain. Vermilonnya terjongket. Senyuman pahit itu mengutuk diri sendiri. Baru kini dia dapat melihat betapa teruknya Khairul Iddin yang dahulu.

TUAN KHAIRUL ✓  [C] Where stories live. Discover now