"Awak."
Tangan Alya yang berada di bingkai pintu tandas jatuh ke sisi. Kelihatan susuk tubuh seorang lelaki sedang duduk di lantai, menekur wajah dengan mata yang terpejam rapat.
Khairul kesakitan. Panggilan tadi adalah panggilan kecemasan. Kaki tidak teragak-agak mahu melangkah ke tandas lelaki.
Dia yang sedang memegang satu batang ubat berupa pen segera mendapatkan lelaki berkenaan. Tidak pun berkata banyak. Bahu sang suami dipegang perlahan. Penutup ubat itu dibuka lalu jarum disasarkan pada sisi seluar, tertusuk ke permukaan kulit peha kanan. Kehadiran Alya di situ tidak dibalas dengan pandangan Khairul. Khairul kekal menundukkan wajah.
Pertama kali melihat reaksi alergik Khairul di hadapan mata. Ternyata bukan kegatalan biasa yang akan diundang. Alergik kepada alergen kekacang pernah membawa detik cemas dalam hidup Khairul. Kini, dia menghadapi saat itu lagi. Saat histamin menyebar melalui pembuluh darah dan mempengaruhi berbagai jaringan tubuh. Umpama racun sahaja pada sistem imun badannya.
"Sabar ya awak..." pujuk Alya sesudah menelefon ambulans sesaat yang lalu. Kesan infalaksi fatal dapat terelok bila mana epinephrine telah disuntik. Namun, gejala tidak berkurang. Nafas berat Khairul Iddin kedengaran berselang seli. Alya bertindak mengusap dada lelaki berkenaan.
Telapak tangannya bertemu dada suami. Dia berharap ini akan dapat membantu Khairul sedikit sebanyak. Mereka terduduk di lantai berjubin yang dingin, menanti bantuan sampai kerana tidak mungkin Alya dapat memapah Khairul keluar.
Kesan pukulan di kepala menangkap perhatian bekas jururawat itu. Dia mula melihat ke sekeliling hingga matanya tertancap pada sebatang kayu. Berbagai persoalan menerjah ke minda.
Apakah Khairul diserang sesiapa?
Pasakan tangan kiri mengendur. Khairul yang sejak tadi duduk dalam keadaan menekur hampir tersembam ke lantai. Dengan pantas Alya menghalang lelaki itu melorot jatuh. Bahu Khairul dipegang utuh, biar pun agak berat.
"Awak, bernafas. Jangan pengsan. Saya ada dekat sini untuk teman awak." Mengizinkan bahu kecilnya menjadi tempat dahi Khairul berlabuh. Menahan lelaki itu dengan pegangan tangan. Biar wajahnya menekur ke bawah, dengan itu pernafasan dapat dikawal sedikit. Khairul sedikit pun tidak membalas apa-apa. Nafasnya yang sesak tidak mengizinkan untuk berbuat apa-apa. Bahkan kepalanya jadi berat, mata pun seperti hendak terkatup.
Sepanjang menanti ambulans tiba, Alya tidak henti memeriksa tahap kesedaran suaminya. Ada kalanya dia mengira denyutan nadi di pergelangan tangan Khairul, khuatir tekanan darah yang jatuh mendadak akan melemahkan jantung pengepam darah. Sisa air wuduk di wajah berhampiran bergantian dengan renik peluh dingin. Mulut Khairul terenggang, di situ desahan nafas mencuri hirupan.
"Awak..." Kebimbangan terbit di bibir munggil si gadis
Semakin perlahan bunyi pernafasan, semakin memberat tubuh yang cuba ditahan. Yang akhirnya jatuh perlahan-lahan. Jantung Alya berhenti berdetak.
Berderu darah panas ke seluruh anggota. Dia yang berlagak tenang pada mulanya jadi tidak keruan melihat suami sendiri jatuh ke lantai tandas. Tangan menepuk bahagian dada di tulang klavikel Khairul, cuba menyedarkan lelaki berkenaan dengan panggilan nama.
"Mana ambulans..." bisik hati Alya yang keresahan. Jangan ditanyakan soal lensa mata yang berkaca, kerana gadis berpakaian baju akad nikah itu telah pun melinangkan air mata. Dia terlalu sayangkan Khairul biarpun baru sebentar detik perkenalan. Dan sekejap masa diluangkan bersama belum cukup bagi Alya, mahu lebih bahkan menghitung hari bersama-sama selamanya.
Bunyi kenderaan hospital tidak pernah dinanti melainkan hari itu. Alya benar-benar hendak mendengar siren ambulans di atmosfera hening. Khairul amat memerlukan bantuan oksigen. Barangkali saluran pernafasannya akan membengkak sepenuhnya dan menghalang semua udara. Lebih parah jika bekalan oksigen ke organ-organ penting terpotong, terutama sekali pada bahagian otak. Kecatatan kekal adalah perkara yang paling tidak diingini selepas kematian.
YOU ARE READING
TUAN KHAIRUL ✓ [C]
RomansSekuel TRIO Luth Mahfuz Luth Hentian Akhir Fatihah : Mahfuz . [[Sila baca sekuel Fatihah Mahfuz dahulu]] BOOK #7 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 Romance ft. Tarbiyah [ Bahan bacaan 15+ tahun ke atas] Cover & banner novel atas ihsan @the_nismicha ...