57 Solat zohor

4.3K 266 42
                                    

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21

Lelaki itu sedikit hairan melihat isterinya tidak menjamah hidangan di atas meja. Dia meletakkan sudu dan garfu ke tepi. Dipandang sahaja sisi wajah Alya sebelum mulut direnggangkan.

"Kenapa tak makan?" Khairul menggapai kekura tangan Alya yang terselindung di bawah alas meja.

"Teringat Zahra. Lama kita tinggalkan dia."

Terus lelaki itu melihat jam tangan. Sudah pukul 3 petang. Kemudian, matanya terarah ke sekeliling pula. Para tetamu sedang menjamu selera di meja yang tersedia. Pelayan juga berjalan ke sana ke mari bagi memastikan setiap perut terisi. Pengantin baharu itu berlabuh sedikit ke depan, hanya mereka berdua. Sayang sekali lauk yang tersedia tidak mengecurkan liur Alya.

"Saya tak pernah tinggalkan dia lama macam ni..." adu Alya. Daripada pagi hingga ke petang si kecil itu dibiarkan di bawah jagaan penjaga.

Khairul jadi tidak sampai hati. "Kita makan dalam bilik persalinan nak dengan Zahra?"

Lelaki itu mengambil satu pinggan seramik kosong. Dia mengalihkan beraneka pemanis mulut ke ruangan pinggan dengan berhati-hati dek baju Melayu putih yang tersarung senang sekali dikotori. Kebanyakannya terdiri daripada ketulan kuih pastri. Hidangan nasi langsung tidak menarik perhatian Khairul ketika itu. Dia lebih fokus pada pemanis mulut sahaja.

Alya di sebelah memerhati sesaat dua. Pasti Khairul kelaparan. "Awak makanlah dulu dekat sini."

"Tak nak. Dekat sini tak boleh manja dengan awak. Dekat dalam bilik boleh minta suapkan."

Gadis itu memencilkan matanya yang bulat. "Awak ni mengada."

"Awak tu yang mengada. Dari tadi asyik nak pegang tangan saya."

"Awak yang pegang tangan saya... Saya tak minta pun." Sesuka hati sahaja lelaki itu memutar belitkan fakta semasa.

Khairul ketawa seiring dengan wajah cemberut gadis yang merona merah bak tomato. Jelingan tajam Alya dibuat tidak endah. "Biarlah saya nak pegang. Baru cantik gambar kita. Jomlah kita cari Zahra."

"Tak apa ke? Inikan masih majlis..." Alya melalukan mata ke sekeliling. Dia sedikit khuatir tindakannya yang menghilangkan diri bakal menyusahkan semua pihak.

"Ini waktu makan. Semua orang tengah makan. Kita sahaja belum lagi," gumam Khairul Iddin. Rasanya tiada salah mereka keluar sejenak bagi menghirup udara segar. Berdasarkan tentatif majlis, segalanya berjalan dengan lancar. Bersyukurlah Datin Farina yang banyak mengatur majlis ini. Maka Khairul dan Alya tidak perlu bersusah hati.

Alya tersenyum kecil pada kek berwarna biru laut yang baru dipotong mereka berdua ketika sesi bergambar. Dia mengasingkan sepotong kek, lalu dibaringkan ke atas piring berdekatan.

"Suka makan kek?" soal Khairul.

"Saya ambilkan untuk awak. Awak suka kek, kan?"

TUAN KHAIRUL ✓  [C] Where stories live. Discover now