بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعينDengan nama Allah, aku menulis picisan karangan cerita. Semoga yang menulis dan yang membaca peroleh manfaat bersama.
.
.
.
Mulut dibuka luas ternganga. Kanak-kanak lelaki itu begitu menikmati setiap suapan kek coklat indulgence pemberian ibunya. Bibir tersenyum-senyum sebaik sahaja lidah disapa kemanisan dan kepahitan coklat yang digaul baik dengan sentuhan istimewa.
"Nak lagi?" tanya seorang pembantu rumah wanita. Khairul mengenali wajah itu sejak daripada lahir lagi.
"Nak, Mak Teh," sahut si cilik berkenaan. Habis sekitar vermilion menjadi comot tatkala hantu coklat bertemu dengan santapan. Mujur sahaja uniform sekolahnya tidak dicemari tumpahan kek coklat.
Mak Teh menyuapkan lagi kek bersulamkan lelehan coklat berkenaan. Hatinya senang melihat tuan muda majikannya berselera menikmati 'upah' dek berjaya ke sekolah buat pertama kaki. Bukan senang mahu memujuk Khairul Iddin ke sekolah. Ada sahaja drama air matanya yang ingin belas kasihan.
"Seronok pergi sekolah?" Mak Teh mengesat hujung bibir Khairul dengan tisu. Kasih sayangnya pada anak itu sejak lahir lagi.
"Tak." Khairul memencilkan mata tidak puas hati. Kedua-dua tangan disilangkan ke dada. Automatik bibir comotnya dimuncungkan.
"Janganlah macam ni, sayang. Pergilah sekolah... Nanti Khai dapat kerja bagus-bagus nanti..."
"Tak nak. Tak payah buat apa-apa pun papa boleh hulurkan Khai duit. Buat apa nak ke sekolah," omel Khairul. Petah sungguh bidasannya buat pertahankan diri yang lebih gemar meluangkan masa bersama-sama orang gaji. Biarpun mulut telah memuncung bak seekor itik, anak itu tetap membuka mulut seluas mungkin tatkala Mak Teh menyuakan sesudu kek.
" Hm... Janganlah macam ni. Khai kena ke sekolah juga... Nanti Khai jadi bodoh sama macam lembu. Lembu pun tak buat apa-apa juga. Dia cuma tunggu tuan dia bagi rumput kering je," balas Mak Teh. Pertama kali Khairul membuat onar tak mahu ke sekolah mungkin boleh dimaafkan, namun persekolahan kanak-kanak yang sebaya dengannya telah berlangsung selama sebulan. Silap hari bulan, sepanjang tahun tuan muda ini tak mahu ke sekolah.
" Lembu tak makan coklat..." Mata Khairul membulat. Apa pula disamakan wajahnya yang comel dengan seekor lembut berselut.
"Tapi lembu tak sekolah, samalah dengan Khai," potong pembantu rumah itu.
"Tak sama juga," dengus Khairul. Rahang bawahnya jatuh, menanti suapan kek yang seterusnya.
"Kenapa Khai tak mahu ke sekolah?" Kali ini Mak Teh menyoal baik-baik. Takut ada lagi yang berkecil hati setelah disamakan dengan lembu.
"Sebab Khai nak tolong Mak Teh buat kerja rumah..." Keikhlasan Khairul itu membuatkan Mak Teh tersenyum kecil. Rambut Khai diusapnya, terharu mendengar ayat sedemikian. Hati Khairul terlalu suci dan hanya mahukan kebaikan.
"Ini tugas Mak Teh. Tugas Khairul kena ke sekolah. Tugas papa dan mama ke tempat kerja..." terang Mak Teh pula. Dia melihat potongan kek yang tersisa, telah habis kesemuanya dinikmati hantu coklat ini.
"Tak nak..." Gumam Khairul. Dia terus menggumamkan sesuatu yang hanya difahami bahasa sendiri. Mata pula menekur ke jubin lantai dapur. Kakinya yang pendek terhuyung ke depan dan belakang di atas kerusi.
"Mak Teh tak nak lah kawan dengan Khai dah kalau Khai berdegil," putus sang pembantu rumah. Wajah Khairul dibersihkan daripada segala comotan coklat.
"Mak Teh, cabut baju Khai dulu... Nanti habis comot," tegur Datin Farina yang baru melintasi ruangan dapur rumah banglo itu. Kelihatannya wanita bekerjaya itu terburu-buru mahu ke tempat kerja kembali setelah membelikan kek coklat buat anak tunggalnya.
Khairul bagaikan sudah terbiasa berenggang dengan kedua-dua orang tua. Besarnya di sisi Mak Teh dengan segala perhatian.
"Baik, puan," akur Mak Teh. Seraya dengan itu, tangannya membuka butang vest coklat Khairul Iddin. Dicuit pucuk hidung tuan muda berkenaan hendak memujuk.
"Tak payah, Khai boleh cabut sendiri." Kononnya hendak merajuk dan tak perlu pertolongan Mak Teh. Sudahnya dia juga yang terkial-kial mahu membuka tali leher hingga terjerut leher sendiri.
Mak Teh tersenyum sahaja melihat anak jagaannya kian membesar. Dahulu tangan itu yang memandikan Khairul, memakaikan pakaian dan segala macam. Kini, Khairul sudah berkehendak mahu membuka baju sendiri tanpa pertolongan sesiapa.
"Biar mak teh buatkan."
Khairul membatukan diri. Wajah diketatkan tidak puas hati. Jika dia ini lembu gara-gara tidak sekolah, sekurang-kurangnya ini lembu yang comel. Baju kemeja putihnya ditanggalkan Mak Teh dengan rela hati.
"Dah habis ke kek tu?" sayu Khairul.
"Kalau nak tambah... Kena ke sekolah esok," umpan Mak Teh. Pakaian tuan muda itu dilipat baik sebelum mahu diletakkan ke dalam mesin basuh di bilik dobi.
"Hmph!" cebik Khairul. Balik-balik mengugut sahaja kerja semua orang di rumah besar itu.
Mak Teh sengaja buat tidak endah dan meninggalkan Khairul sendirian di meja makan. Kotak kek diisi ke dalam tong sampah di bawah singki dapur.
"Ya, baik. Khai akan ke sekolah. Jangan panggil orang lembu dah dan bagi kek coklat macam hari ni..." Khai melepaskan sarat. Sungguh pun tak mahu ke sekolah, godaan coklat lagi melelahkannya.
***
votexkomen
***Selamat datang! Atas permintaan ramai, high demand, kita lahirkan pula novel hijrah seterusnya. Tak mudah juga hidup Khairul.
Nak tahu macam mana Khairul dewasa dan jadi lelaki yang gilakan Fatihah? Cepat add to RL korang! dan promote di message board.
YOU ARE READING
TUAN KHAIRUL ✓ [C]
RomansaSekuel TRIO Luth Mahfuz Luth Hentian Akhir Fatihah : Mahfuz . [[Sila baca sekuel Fatihah Mahfuz dahulu]] BOOK #7 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 Romance ft. Tarbiyah [ Bahan bacaan 15+ tahun ke atas] Cover & banner novel atas ihsan @the_nismicha ...