56 Akad Khairul

5.1K 304 51
                                    

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."

QS Ar-Rum: 21

"Mimpi pasal seorang lelaki yang mengaku hantar santau pada kau..." Mahfuz meringkaskan penceritaan tetamunya. Sunyi rumah pengajian setelah sesi pembelajaran di waktu asar berakhir. Di ruangan pejabat yang berpendingin hawa, Khairul dan Haji Daud berlabuh seketika.

Khairul mengangguk. "Mimpi tu datang beberapa kali. Buat aku tak senang duduk selagi tak jumpa Azzam."

Lihatlah pada raut lelaki itu, gayanya yang berkerut dahi, pandangan yang kejap ke sana sini menyatakan kebimbangan. Tiada siapa tahu dalang di sebalik kiriman ilmu hitam ke atas Khairul. Mimpinya juga masih belum tentu benar untuk terus mencekup Azzam sebagai pelaku.

"Dah pergi rumahnya?" soal Mahfuz tenang.

"Baru je tadi. Tapi ibu dia kata... Azzam dah lama menghilangkan diri tanpa jejak. Tapi aku rasa Azzam ada sahaja berdekatan kita."

"Macam ni lah, kau pulang ke rumah. Tenangkan fikiran dulu," balas Mahfuz. 

"Aku risau," bisik Khairul pula. Sejak memiliki insan tercinta, dia mula mempunyai kebimbangan sebegini.

"Pulang ke rumah, rehatkan diri. Jangan beratkan fikiran macam ni. Bila kau akan bernikah?"

"Minggu depan."

"Aku sendiri akan ke rumah Azzam esok lusa. Kalau ada apa-apa berita, aku akan sampaikan kepada kau secepat mungkin."

Haji Daud di sebelah menzahirkan kebimbangan yang sama. Cuma tidak terungkap pada raut wajah. Dia tahu episod kehidupan sebelum ini agak mencabar buat mereka sekeluarga. Entah apa lagi yang bakal menimpa. Nafas halus dihela lelaki tua itu sebelum senyuman nipis terukir di bibir. "Khairul, kita balik dan rehat. Insya Allah, Allah akan lindungi kita sekeluarga."

Khairul menjatuhkan pandangan ke lantai. Seperti masih tidak berpuas hati selagi tiada kata putus. Dia benci hidup dalam berteka teki.

Mahfuz tersenyum juga. Melihat pada langit senja, keadaan petang yang tidak terduga menambahkan rasa. Tidak jangka lelaki yang kejam dan zalim dikurniakan hidayah dalam sekelip mata.

"Alya dan Zara mesti tengah tunggu di rumah. Ada baiknya kau bermalam di rumah aku malam ni. Mesti Zara gembira." Haji Daud menepuk bahu bakal menantunya. Orang tua itu berpura-ura hendak beredar dengan harapan Khairul tidak terlalu membebani bahu sendiri dengan timbunan masalah lagi.

Akhirnya, Khairul meleraikan wajah kusut. Mata dipejamkan seketika.  "Mahfuz, terima kasih."

Kalimat itu dilantunkan lalu dia bangkit berdiri disusuli Haji Daud.

"Maaflah tak hidang apa-apa." Mahfuz mengusap belakang leher. Tetamunya sudah hendak pulang. Mereka cuma membincangkan masalah sahaja, langsung terlupa untuk memberikan penyejuk anak tekak.

"Kalau ada apa-apa, beritahu aku," kata Khairul Iddin. Dia berjabat tangan dengan ustaz muda di hadapannya.

"Ya, Khairul. Kita kawan, bukan? Aku akan cuba leraikan masalah kau yang ini."

TUAN KHAIRUL ✓  [C] Where stories live. Discover now