"Khai."
Jarang sekali namanya dipanggil oleh seorang gadis bertudung litup elok. Khairul menunding wajah sendiri mahu kepastian. Takut syok sendiri pula.
"Mak teh, siapa tu?" soalnya pada Mak teh tika pintu kereta dibuka bagi mempelawa ibu susuannya masuk. Hairan sungguh apabila ada gadis berpakaian sukan bertandang di hadapan pagar rumah setinggi dua meter lebih.
Mak teh turut memanjangkan penglihatan. Ada anak dara jiran perumahan rupanya sedang mencuri lihat Khairul Iddin. "Tu Asyilla."
"Oh, maaflah. Tak nampak sangat pagi-pagi ni." Matanya ditenyeh perlahan. Bukan biasa bangun di awal pagi, diikutkan hati mahu membongkang sahaja hingga tengah hari. Namun hasrat itu terpaksa ditolak ke tepi demi membawa mak teh ke hospital.
"Dia nak jumpa Khai la tu." Dicuit siku anak bujangnya. Mak teh tersenyum-senyum sendiri. Siapa lagi yang mengkhabarkan kepada Asyilla bahawa tuan muda rumah ini pulang ke rumah pada hujung minggu melainkan mak teh sendiri.
Khairul yang berseluar jeans dan tshirt kosong kelihatan seperti tidak berminat pada kedatangan anak rakan karib kedua-dua ibu bapanya. "Buat apa? Khai ni bukan kawan dia pun."
Kaki melangkah ke bahagian pintu pemandu pula. Sifat tidak endah Khairul menggeramkan hati mak teh sendiri. Sejak kecil lagi Khairul seperti tidak suka berkawan dengan Asyilla. Tak siapa tahu mengapa.
"Sembanglah sekejap. Tak baik buat tetamu macam ni." Mak teh sudah menjeling, itu petanda tidak baik.
Khairul terpaksa akur kali ini. Kereta Ford Mustang Shelby Black dibiarkan panas enjinnya sebelum pergi berdating dengan mak teh. "Hm, okay. Mak teh masuklah dulu. Khai dah hidupkan air cond."
Iris Khairul meneliti anak gadis jiran atas dan bawah. Kasut sukan merah jambu, jumpsuit dan selendang hitam. Wajah tetamunya tampak kemerahan, barangkali kerana penat merembeskan peluh di pagi hari.
Butang automatik pada alat kawalan jauh diteka Khairul seraya melangkah ke hadapan gadis berselendang itu. "Hai, Asyilla. Baru balik jogging?"
"Hai, selamat pagi. Ya, baru balik jogging. Kau nak ke mana pagi-pagi ni? Ke pasar?" Punyalah Asyilla melonjak kegembiraan, dapat juga berjumpa dengan crush sejak zaman sekolah rendah.
Dewasanya Khairul bak jejaka malaya, kiranya cocok sekali dengan gadis seayu itu. Soal rupa paras mungkin Khairul telah cemerlang tetapi sisi jahatnya tak siapa tahu lagi.
"Takdelah... Nak ke hospital. Mak teh sakit perut," jawab Khairul.
Asyilla mengangguk faham. Sebenarnya bukanlah dia kepenatan berjogging di taman namun merahnya pipi dek berkejaran mahu mengambil sekotak coklat khas buat lelaki yang diminati. Barang yang terselindung di belakang badan dibawa ke depan bersama-sama segaris senyuman. "Baik-baik pergi sana. Aku ada buah tangan sikit ni. Ambillah."
"Coklat?" tebak Khairul. Elok pula kotak itu berbalut seperti hadiah hari lahir walhal ulang tahun kelahirannya lambat lagi. "Aku dah besarlah Asyilla... Kau tak boleh umpan aku dengan benda ni."
Cepat-cepat Asyilla melonggarkan atmosfera dan berlagak tenang. Selendangnya dibaiki satu tangan. "Siapa kata umpan? Ini cuma... tanda aku ingat kau. Walaupun dah lama tak jumpa."
Bibir terketap seketika. Khairul memandang kotak itu lama. "Takde kacang, kan?"
"Takkanlah aku nak bunuh kau. Ini coklat famous dekat London, spesial sangat masa musim salji," kata Asyilla bagi menyucuk Khairul. Mulut saja kata tidak mahu, namun gadis itu yakin Khairul akan tewas juga dengan mana-mana coklat.
YOU ARE READING
TUAN KHAIRUL ✓ [C]
RomansaSekuel TRIO Luth Mahfuz Luth Hentian Akhir Fatihah : Mahfuz . [[Sila baca sekuel Fatihah Mahfuz dahulu]] BOOK #7 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 Romance ft. Tarbiyah [ Bahan bacaan 15+ tahun ke atas] Cover & banner novel atas ihsan @the_nismicha ...