21 Website

4.6K 250 30
                                    

Tiga bulan kemudian...

"Tuan."

Khairul mengangguk kecil tanpa menjawab apa-apa. Paginya disapa dengan teguran mesra pekerja sang ayah. Sempat melihat pantulan susuk tubuh sendiri di bilahan satah cermin lift yang dinaiki. Khairul tidak tersenyum melihat wajah beku berkumis nipis yang terpampang. Kemeja biru lembut tersarung elok pada tubuh tegap, dikenakan pula dengan tali leher biru gelap.

Anak tunggal Dato Muhsin memang segak orangnya.

Para pekerja sudah maklum bahawa Khairul bakal menjadi timbalan pengarah syarikat tidak lama lagi. Pada mulanya mereka menganggap itu sekadar khabar angin dek Khairul Iddin masih lagi muda dan tidak mempunyai kelayakan. Namun, mereka terlupa bahawa Dato' Muhsin boleh melayakkan Khairul ke jawatan tertinggi sekelip mata. Itulah yang menjadi gossip hangat sepanjang kemunculan Khairul sebagai watak baharu di syarikat perlancongan Monarch Travel and Tours Sdn Bhd.

Khairul Iddin melajukan langkah mahu keluar bangunan pejabat itu bagi mengambil udara segar. Terasa sesak pula dalam keadaan keramaian. Derapan kasut kulit hitamnya mengisi benak pendengaran.

Sejujurnya diri itu masih belum pulih daripada tekanan yang menghentam jiwa. Terkadang perkara yang sama membuatkan lelaki ini sesak nafas dan hilang arah.

Khairul Iddin menenyeh kelopak mata perlahan setelah tiba di lobi utama. Kunci kereta yang baru hendak dikeluarkan ditolak kembali ke dalam saku seluar.

"Mak teh," bisik hati kecil Khairul. Tiba-tiba sahaja kilasan wajah arwah ibu susuannya terlayar di fikiran.

Acap kali dihinggap rasa sunyi ini. Di kala bayu pagi mengelus kulit kekura tangannya lembut, pemuda itu lekas memeluk tubuh. Sebuah pacuan hitam legap yang terpakir menjadi arah tujuan. Deretan kenderaan mewah lain dipandang kosong.

Setibanya di pinggir kereta, Khairul menghenyakkan papan punggung ke tempat duduk pemandu sebelum daun pintu terkatup rapat.

"Khairul, jangan ingat Mak Teh. Nanti kau juga yang sesak dada..." pesan sang jiwa. Khuatirkan kesihatan diri sendiri yang tidak stabil. Begitu lemah tanpa Mak Teh di sisi.

Khairul meraup wajah kasar. Sarat di dadanya membungkam jiwa.

Memori silam menjadi penjara kebahagiaan. Setapak pun Khairul tidak berganjak daripada kenangan bersama-sama mak teh dari kecil hingga dewasa. Tampak sahaja Khairul  Iddin beku wajahnya seakan tidak menghiraukan sesiapa walhal diri itu setiap hari bertarung dengan perasaan berbaur.

Terketar-ketar senyuman membentuk di wajah. Vermilionnya naik sedikit.

"Mak teh, mak teh tak sayangkan Khai?" Khairul membisik tanpa sebarang suara.

Air mata itu jatuh lagi. Berlinangan membasahi lekukan tulang pipi dan rahang. Desahan nafasnya yang stabil kian tersekat-sekat.

Khairul tahu, rindu yang hadir bertapak di hati kecilnya mana mungkin bisa terbalas jika ajal menjemput. Dia bersandar lemah.

Hirupan udara secara berkala dilakukan mengikut tempo. Dengan itu, hadir sedikit ketenangan dalam kemarau resahnya. Hujung jemari menarik keluar dompet kulit daripada saku seluar. Mata Khairul mahu menatap wajah insan kesayangan.

Sekeping gambar lusuh menayangkan figura Mak Teh bersama-sama si kecil Khairul. Kedua-dua muka itu tersemi kegembiraan yang hanya dikongsikan bersama.

Kian lebar senyuman bibir kering Khairul saat itu. Sungguh rindu. Andaikan saja masa dapat diputarkan kembali, pasti lelaki ini sanggup membayar intan dan permata. Hanya seketika, buat memeluk insan bergelar Mak Teh.

TUAN KHAIRUL ✓  [C] Where stories live. Discover now