"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir."
QS Ar-Rum: 21
Buku lima tergenggam erat. Urat di pelipis menegang. Haji Daud terkilan mendengar khabaran kandungan satu-satunya anak gadis di dalam rumah itu. Dia memandang Alya tidak percaya.
Dua hari berlalu, memberi kekuatan buat Alya sendiri bercakap secara terus terang pada Haji Daud dan bondanya. Hajah Norma telah tahu terlebih dahulu sebelum lelaki tua ini. Yang akan mengamuk teruk pastilah ayah kepada Alya.
"Mana jantan tu?" soal Haji Daud keras. Penumbuk tadi dihentak pada tangan kerusi jati ruang tamu rumah. Wajah Khairul Iddin terlayar penuh kebencian dalam ruang fikiran. Ikutkan hati, nyawa lelaki durjana itu mahu dijadikan sebagai pengganti. Betapa insan bernama Khairul jijik untuk mereka sekeluarga.
"Ayah, tak payah cari dia," kata Alya tenang. Di sebalik kain nipis baju kelawarnya terselindung bawaan perut yang sedikit membukit. Kandungan itu baru berusia empat bulan. Alya memandang ayahnya sayu.
"Ayah nak cari dia juga... Dia dah buat anak ayah..." Nada Haji Daud jelas kedengaran sedang menahan geram yang teramat. Kedudukan dua beranak ini sebelah menyebelah, setiap bait kata kebencian dapat ditangkap hati yang menadah.
Gadis bunting sulung berkenaan menjatuhkan pandangan. "Alya tak nak jumpa perogol tu. Biarlah kita teruskan hidup tanpa kacau orang lain. Dah ni bahagian Alya, Alya terima..."
"Kalaulah dia ada depan mata..." Haji Daud kekal dengan bengangnya.
"Tak payah, ayah. Dia bukan siapa-siapa pada kita..." pujuk Alya pula. Lengan ayahnya diusap perlahan.
"Kalau aku dapat dia..."
Hajah Norma mendiamkan diri di tepi. Tidak mencelah sedikit pun tika api kemarahan suami dicucuh minyak panas. Sudah anak sendiri dirogol orang gila, boleh pula termengandung anak si perogol itu.
Alya menggeleng perlahan. Biasan matanya menandakan dia tidak pun mahu membungakan kebencian kepada Khairul. "Cukup Alya ada ayah dengan ibu di sisi... Alya tak nak minta lebih..."
"Tapi Alya mengandung..." kesal Haji Daud. Terasa diri itu tak berguna sebagai seorang bapa.
"Ya, Alya mengandung. Ini ujian untuk Alya... Ayah kan selalu pesan, setiap manusia ada ujian masing-masing. Alya ingat pesanan ayah," kata Alya penuh yakin. Secalit senyuman dihadiahkan pada Haji Daud dan Hajah Norma. Dia mahu meneruskan hari esok dengan bahagia biarpun terpaksa membawa anak istimewa itu.
Ada sebuah tarikan hadir, menarik tubuh Alya jatuh ke dalam dakapan. Haji Daud bertindak memeluk si bunga yang tak disunting siapa-siapa namun telah dihirup madunya. Dia mengusap kepala Alya, kelopak mata jatuh terpejam. "Kenapa Alya kuat macam ni?" bisiknya.
"Kenalah kuat... Alya kan anak ayah..." balas Alya. Terkadang berdamai dengan diri sendiri itu perlu. Semua akan berlaku indah pada waktuNya, bagi mereka yang menerima dan kembali kepada Allah di kala perih kehidupan mendatangi.
"Baik, ayah takkan cari jantan tu... Tapi..." Pelukan itu dileraikan Haji Daud sendiri. Mata coklat pekat anak gadisnya dipandang lama. "Alya jangan putus harapan dengan Allah..."
"Tak." Tersenyum gadis berambut separa bahu itu dalam tangis halus. Dia kembali memeluk tubuh ayahnya, menyelesakan diri. Empat bulan telah hamil, tanpa suami. Barangkali hidupnya akan kekal tanpa kehadiran mana-mana lelaki lagi.
YOU ARE READING
TUAN KHAIRUL ✓ [C]
RomanceSekuel TRIO Luth Mahfuz Luth Hentian Akhir Fatihah : Mahfuz . [[Sila baca sekuel Fatihah Mahfuz dahulu]] BOOK #7 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 Romance ft. Tarbiyah [ Bahan bacaan 15+ tahun ke atas] Cover & banner novel atas ihsan @the_nismicha ...