16 Ramadan 1444

25 4 1
                                    

SIFAT ALLAH TIDAK SAMA DENGAN SIFAT MAKHLUK

SOALAN :
Apakah hukumnya seorang yang berkata manusia bersamaan dengan Tuhan kerana semua sifat Tuhan dipunyai oleh manusia seperti melihat dan mendengar dan berkuasa dan berkehendak dan sehingga dikatakan Tuhan juga berkaki dan bertangan seperti manusia.
Adakah boleh berkata seperti itu?

JAWAPAN :
Wajib atas sekelian mukallaf beriktikad bahawa Allah tidak bersamaan dengan makhluk pada zatnya dan sifatnya dan perbuatannya.
Adalah mustahil manusia itu menyamai dengan Allah kerana manusia itu sendiri dicipta oleh Allah.
Lihatlah di sekeliling kita apabila ada orang yang membuat suatu perkara adakah sama perkara itu dengan orang yang membuatnya?
Maka sangatlah mustahil manusia pempunyai kesamaan dengan Tuhan yang menciptanya.

Firman Allah :
إِنَّا خَلَقْنَا ٱلْإِنسَٰنَ مِن نُّطْفَةٍ أَمْشَاجٍ نَّبْتَلِيهِ فَجَعَلْنَٰهُ سَمِيعًۢا بَصِيرًا

Artinya : “Sungguhnya Kami telah mencipta akan manusia itu dari air mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya lalu Kami jadikan manusia itu mendengar dan melihat.” (Al-Insan : 2)

Jadi apabila dikatakan manusia juga bersifat dengan mendengar dan melihat hendaklah diketahui mendengar dan melihat itu hanya bersamaan pada sebutan sahaja bukan pada hakikat kerana mendengar dan melihat manusia itu dijadikan oleh Allah.

Berkata Imam Ibnu Hibban :
الحمد لله الذي ليس له حدّ محدود فيحتوى، ولا له أجل معدود فيفنى، ولا يحيط به جوامع المكان، ولا يشتمل عليه تواتر الزمان

Artinya “ Segala pujian itu milik Allah yang tiada bagi-Nya sempadan yang disakatkan dan tiada bagi-Nya tempuh hidup sebelum mati dan tiada meliputi-Nya sekelian tempat dan tiada mengandungi atasnya turutan masa dan zaman.” (Kitab As-Siqat)

Berkenaan dakwaan Allah berkaki tangan seperti manusia itu adalah perkataan yang mengkufurkan kerana mengatakan perkara yang mustahil kepada Allah kerana telah ijmak sekelian orang Islam bahawa siapa yang menyerupakan Allah dengan makhluk maka orang itu adalah kafir.

Orang yang berkata Tuhan beranggota seperti manusia itu adalah orang yang sangat jahil dengan akidah yang benar tiada kenal ia akan Allah dari kerana sungguhnya orang yang mempunyai ilmu dan kenal akan Allah pasti akan menyucikan Allah dari menyamai makhluk.

Berkata Imam Ahlul Hadith Al-Khattabi :
والله سبحانه موصوف بصفاته منفي عنه ما لا يليق به من صفات الآدميين ونعوتهم، ليس بذي جوارح ولا بذي أجزاء وأبعاض، ليس كمثله شيء وهو السميع البصير

Artinya : “Dan Allah itu maha suci Ia dan bersifat Ia dengan sifat ketuhanan yang menafikan segala perkara yang tidak layak dengan-Nya dari sekelian sifat manusia dan kelakuan mereka itu. Tidak ada Allah mempunyai anggota dan tidak berjuzuk dan tidak berbahagi tidak ada yang seperti Allah itu suatu pun. Dialah Tuhan yang sangat mendengar sangat melihat.” (Kitab Ma’aalim As-Sunan)

wallahua’lam
ustaz azhar idrus

Random TarbiahWhere stories live. Discover now