Sebaik sahaja memberi salam selepas solat, Aqeel beristighfar seketika sebelum tangan diangkat untuk membaca doa. Zandra seakan terkelu mendengar alunan merdu surah yang dibaca suaminya. Buat pertama kali, dia terasa tenang mendengarnya. Wujud satu rasa asing dalam hati. Jantung usah dikata, berdetak sangat laju. Tidak berkalih matanya dari memandang belakang Aqeel. Dia menjumpai satu lagi sisi Aqeel. Sisi pemimpin. Tanpa disedari, terbit senyuman kecil di bibirnya.
"Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim... sesungguhnya hanya kau Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Terima kasih, Ya Allah atas nikmat yang Kau beri pada kami. Terima kasih kerana permudah segala urusan kami. Terima kasih atas rezeki yang kau limpahkan pada kami."
"Ya Allah Ya Tuhanku, tiuplah rasa bahagia dalam rumahtangga kami. Berkatilah rumahtangga kami. Jauhkan lah segala keburukan dan malapetaka daripada kami. Jauhkan lah kami dari hasutan-hasutan syaitan yang boleh menggoyahkan masjid yang telah dibina. Semoga kami sentiasa kuat dalam mengharungi segala ujian dan dugaan yang kau berikan kepada kami. Semoga kami terus teguh di jalanMu, Ya Allah."
"Hanya padaMu kami memohon, dan hanya padaMu kami berserah."
"Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar. Wassalllalahuala saidina muhammad wa a'la alihi wasobihi wassalim, walhamdulillah hirabbil alamin."
"Aamin ya rabbal alamin."
Terlalu ralit dia termenung sehingga tidak perasan Aqeel sudah pun selesai membaca doa. Lelaki itu kemudian memusingkan tubuhnya memandang wajah Zandra. Dihulur tangannya kepada Zandra. Zandra yang seperti baru faham, lambat-lambat mencapai tangan Aqeel lalu dikucup lembut kekura tangan itu. Dia yang kemudiannya hendak menarik tangannya semula terus terbantut apabila Aqeel bertindak menarik tangannya rapat ke arah lelaki itu sebelum kepalanya dipegang perlahan malah dahinya dikucup lembut. Zandra terkedu. Lama bibir itu hinggap di dahinya. Terpejam matanya seketika.
Aqeel tersenyum seraya menjauhkan wajahnya. Dia memandang wajah Zandra. Zandra pula tidak senang duduk apabila ditenung sebegitu. Dia berdehem kecil untuk mengelakkan rasa canggung. Tatapan Aqeel terlalu tajam. Dia boleh pitam jika ditenung sebegitu rupa.
"Kenapa... tengok I macam tu?" Matanya meliar melihat sekeliling. Tidak mahu membalas pandangan Aqeel. Lelaki itu pula masih sama. Masih memandangnya seperti tak mahu lepas.
Terbit senyum manis di bibir Aqeel.
"Macam ni rupa-rupanya rasa pandang seseorang yang halal untuk kita."
Zandra terdiam. Keadaan menjadi sunyi semula.
"Rasa tenang. Rasa indah." Sambung Aqeel lagi.
Zandra meneguk liur kesat. Tolonglah, dia rasa nak pengsan betul ni...
"Abang suka tengok Zandra macam ni. Kan cantik kalau tutup aurat macam ni. Baru pakai telekung, dah cantik. Kalau pakai tudung, mungkin lebih berseri." Ujar Aqeel. Terselit pujian buat isterinya.
YOU ARE READING
𝐎𝐔𝐑 𝐖𝐑𝐈𝐓𝐓𝐄𝐍 𝐃𝐄𝐒𝐓𝐈𝐍𝐘
Romance[ Book 4 ] Khalaf Aqeel- seorang arkitek yang bekerja di syarikat keluarga. Seorang yang matang, tegas terutama sekali berkaitan agama dan sangat menghormati wanita. Tiada sesiapa tahu, di sebalik ketegasannya, di hati terdapat seorang gadis yang su...