"Umi dah agak dah, dia bukan perempuan yang baik!" Daripada tadi, Puan Aqilah tidak berhenti mengutuk menantunya. Walaupun dia terkejut dengan apa yang jadi, namun dia yakin dia tak salah. Mujur hatinya dari awal tidak percayakan gadis itu. Naluri ibunya sudah membuktikan Zandra bukan wanita terbaik untuk Aqeel.
Aqeel hanya diam. dia menongkat tangan di lutut. Kepala ditunduk ke bawah. Dia sudah tak tahu mahu berkata apa lagi. Apa yang jadi membuatkan dia terduduk. Ujian yang diberi menjadikan dia manusia yang paling lemah tika ini. Suami mana saja mampu kuat apabila isteri sendiri ditangkap berdua-duaan dengan lelaki lain? Siapa saja mampu bertahan apabila diri dikhianati tanpa belas? Dia tak tahu di mana silapnya sehingga Zandra berbuat demikian. Apa lagi yang tak cukup? Apa lagi yang dia tak berikan pada Zandra? Semuanya sudah diserahkan pada gadis itu. Tetapi mengapa dia dipijak sebegini?
Benarlah. Jangan terlalu berharap kepada manusia. Jangan terlampau mencintai manusia melebihi cinta kepada Allah. Kita akan kehilangan segala-galanya. Semua akan berubah sekelip mata tanpa disangka. Dia terima, dia tahu dia sedang diuji ketika ini. Dan tiada apa yang dapat dilakukan selain daripada mengharunginya.
"Umi nak Aqeel ceraikan dia."
Kata-kata Puan Aqilah membuatkan Aqeel mengangkat wajah memandang uminya. Tidak disangka, itu yang keluar dari mulut itu.
"Astaghfirullahhalazim... Aqilah, apa yang awak cakap ni?" Sampuk Encik Aziz. Dia yang daripada tadi diam terpaksa bersuara apabila dia rasa isterinya sudah melampau.
"Buat apa Aqeel nak simpan dia lagi? Dia dah curang belakang Aqeel!" Sambung Puan Aqilah. Baginya, inilah masa yang sesuai untuk anaknya berpisah dengan perempuan itu.
Aqeel menghembus nafas berat.
"Aqeel takkan ceraikan dia." Ujar Aqeel senafas. Yakin.
Puan Aqilah terbungkam. Dia menggeleng perlahan.
"Kenapa pula? Aqeel, dia bukan perempuan yang baik!"
"Aqeel sayangkan dia, umi..." jawab Aqeel sayu.
"Tapi dia tak sayangkan Aqeel! Kalau sayang, dia takkan curang! Dia perempuan murah, Aqeel! Entah-entah sebelum kahwin lagi dia dah serah tubuh dia pada lelaki lain!" Tuduh Puan Aqilah.
"Umi!" Pintas Aqeel laju. Nafas menderu kuat.
Puan Aqilah terdiam.
"Aqeel suami dia. Aqeel tahu dia masih suci atau tidak. Dan Aqeel paling pasti, dia tak pernah serah tubuh dia pada mana-mana lelaki pun sebelum kahwin." Balas Aqeel. Hal ini dia harus pertahankan Zandra. Dia masih ingat, dia adalah lelaki pertama yang menyentuh isterinya.
Puan Aqilah teguk liur kesat. Namun hanya seketika sebelum dia kembali bersuara.
"Tapi itu sebelum kahwin. Lepas kahwin?" Sinis Puan Aqilah menyoal.
YOU ARE READING
𝐎𝐔𝐑 𝐖𝐑𝐈𝐓𝐓𝐄𝐍 𝐃𝐄𝐒𝐓𝐈𝐍𝐘
Romance[ Book 4 ] Khalaf Aqeel- seorang arkitek yang bekerja di syarikat keluarga. Seorang yang matang, tegas terutama sekali berkaitan agama dan sangat menghormati wanita. Tiada sesiapa tahu, di sebalik ketegasannya, di hati terdapat seorang gadis yang su...