Bunyi pancuran air di dalam kamar mandi mengalihkan perhatian Aqeel yang tadi fokus melihat skrin telefon pintar. Bibir digigit perlahan. Akal mula memikirkan sesuatu. Sudahnya, dia terus bangkit dari duduk di birai katil. Dia melangkah ke meja solek. Mata menangkap telefon pintar isterinya yang terletak elok. Dia berkira-kira untuk ambil atau tidak. Namun, disebabkan hati yang tidak mampu menahan rasa ingin tahu, akhirnya dia ambil juga. Mujur saja telefon isterinya tiada kata laluan. Jadi, mudah untuk Aqeel membukanya.
Pada mulanya, dia melihat senarai nama yang ada di dalam WhatsApp isterinya. Namun, tiada yang mencurigakan. Tiba-tiba dia terasa hendak membuka gambar di dalam galeri isterinya. Laju tangan menari di atas skrin sebelum terhenti serta-merta. Jantung berhenti berdegup untuk seketika.
Gambar Zandra dan Noah yang kelihatan sangat mesra dan akrab membuatkan Aqeel terkedu. Hati dijentik seketika. Walaupun dia tahu, gambar itu sebelum dia dan Zandra berkahwin tetapi tetap juga dia cemburu. Mereka terlihat sangat rapat dalam gambar tersebut.
Jari Aqeel di atas skrin menggigil kecil. Nafas ditarik dan dihembus berat. Dia cuba untuk tidak memikirkan perkara negatif. Dia cuba untuk bersangka baik. Lagipun, dia tiada hak hendak cemburu kerana waktu itu mereka masih belum ada apa-apa ikatan pun. Jadi, hak Zandra untuk berkawan atau rapat dengan sesiapa pun.
Lamunan Aqeel tersentak apabila terdengar pintu kamar mandi terbuka. Pantas Aqeel meletak kembali telefon Zandra di atas meja. Dia berdehem perlahan. Kaki melangkah ke birai katil semula. Dia buat tidak tahu saja apa yang dia nampak tadi. Tidak mahu mencetuskan apa-apa pergaduhan bersama Zandra. Dia anggap itu semua dah berlalu.
•••
Meja makan dilap sehingga bersih. Peluh yang merenik di dahi dilap kasar. Lelah dia setelah membersihkan segenap rumah. Hari ini tiba-tiba rasa rajin pula hendak mengemas.
Namun, perbuatannya terhenti apabila telefon berdering seketika, bermakna ada notifikasi mesej masuk. Dia mengelap tangannya sebelum laju mencapai telefon di atas rak. Mesej daripada seseorang dibaca. Nombor yang tidak dikenali menghantar mesej kepadanya. Dahi berkerut lebat.
'Zandra... ni I, Noah... Zandra, boleh tak kalau I nak minta tolong you, datang rumah I? Tangan I yang retak ni tiba-tiba sakit...'
Hati Zandra berdebar tak sudah setelah membaca mesej tersebut. Sebenarnya dia keliru, mengapa Noah menggunakan nombor lain untuk menghantar mesej kepadanya? Ada apa-apa berlakukah kepada lelaki itu?
Sedang dia elok mengelamun, satu lagi mesej ringkas masuk ke dalam telefonnya. Mata kembali fokus membaca.
'Please, Zandra... I need your help...'
Zandra menggigit bibir perlahan. Dia masih berkira-kira hendak tolong atau tidak. Tetapi, apabila mengenangkan, Noah yang meminta tolong, dia pantas membalas.
'Tunggu, kejap lagi I sampai.'
Sebaik sahaja dia berkata begitu, laju dia menaiki tangga ke bilik. Dia hanya siap ala kadar sahaja kerana terlalu panik. Risau akan keselamatan Noah. Dia berharap lelaki itu tidak apa-apa.
YOU ARE READING
𝐎𝐔𝐑 𝐖𝐑𝐈𝐓𝐓𝐄𝐍 𝐃𝐄𝐒𝐓𝐈𝐍𝐘
Romance[ Book 4 ] Khalaf Aqeel- seorang arkitek yang bekerja di syarikat keluarga. Seorang yang matang, tegas terutama sekali berkaitan agama dan sangat menghormati wanita. Tiada sesiapa tahu, di sebalik ketegasannya, di hati terdapat seorang gadis yang su...