Buka saja pintu rumah, dia dapat rasa kedinginan dan kesuraman di segenap rumahnya. Suasana menjadi sangat sayu. Tiada lagi serinya. Bagaimana hilang penghuni, begitulah hilang cerianya.
Di segenap ruang, terimbau kenangan bersama Zandra. Di setiap sudut, dia terasa seperti bayang Zandra ada di mana-mana. Inilah sebab dia tak mahu balik ke rumah. Dia gusar, dia akan sedih kembali. Begitu banyak memorinya bersama Zandra di rumah. Bagaimana dia mahu lupakan?
Sampai saja di tangga, dia menghentikan langkah. Mata terus memandang ke arah dapur. Perlahan kaki melangkah ke situ.
Berada sahaja di depan bilik Zandra sepanjang gadis itu mengandung, dia menghembus nafas berat. Tombol pintu dipulas. Kosong. Gelap. Tiada cahaya langsung. Hanya sunyi menghuni bilik itu.
Kaki melangkah masuk ke dalam. Suis lampu dibuka. Terus bilik itu menjadi terang-benderang. Namun, hanya cahaya yang terasa tetapi tidak sinarnya.
Mata meliar melihat ke segenap bilik. Dari katil hingga ke meja yang terdapat di sudut tepi. Seketika, dahi berkerut lebat melihat buku yang terletak elok di atas meja. Tiba-tiba hati terdetik hendak melihat. Terus dia mencapainya dan dilabuhkan duduk di atas katil.
Helaian pertama diselak. Kosong. Diselak lagi untuk helaian yang seterusnya. Masih kosong. Namun, Aqeel tetap terus menyelak sehingga dia terjumpa helaian yang terdapat tulisan yang memenuhi kertas itu. Mata ralit membaca ayat demi ayat. Baris demi baris.
Assalammualaikum abang,
Abang sihat? Apa perasaan abang hari ini? Kerja abang masih banyak ke? Hmm... Betapa Zandra harap Zandra dapat tanya macam ni pada abang. Tapi, Zandra tahu kita tak lagi seperti dulu. Jadi, Zandra harap abang baik-baik saja. Abang jangan terlalu kuat bekerja, ya? Abang dah buat yang terbaik untuk keluarga kita. Abang jangan risau. Abang sentiasa ada Zandra sebagai tulang belakang abang.Abang...
Zandra sedih sangat. Zandra sedih bila abang langsung tak pedulikan Zandra. Zandra nak sentiasa dekat dengan abang tapi Zandra takut. Zandra takut abang marah Zandra. Zandra nak sentiasa ada dalam pelukan abang tapi nak tatap wajah abang pun Zandra takut. Zandra rindu abang. Zandra rindu suami Zandra yang dulu. Zandra rindu nak gelak dengan abang macam dulu. Kenapa terlalu cepat abang berubah? Ke mana perginya suami Zandra yang sangat mencintai Zandra? Ke mana perginya syurga Zandra yang sentiasa membahagiakan Zandra?Abang...
Kenapa abang tak hiraukan Zandra lagi? Kenapa abang tak hiraukan anak dalam kandungan Zandra? Ini anak kita, abang. Zandra mengandungkan zuriat abang. Sejak Zandra mengandung, Zandra selalu rindukan abang. Zandra nak abang peluk Zandra, tidurkan Zandra, belai Zandra... tapi abang makin jauh. Zandra perlukan perhatian abang... kenapa abang pulaukan Zandra? Zandra sedih...Abang...
Zandra minta maaf. Zandra tahu Zandra banyak buat salah dengan abang. Abang janganlah marahkan Zandra lama-lama. Zandra takut. Zandra minta maaf kalau selama ni Zandra banyak susahkan abang tambah lagi ketika Zandra mengandung. Zandra janji Zandra tak susahkan abang lagi. Maaf ya abang?
YOU ARE READING
𝐎𝐔𝐑 𝐖𝐑𝐈𝐓𝐓𝐄𝐍 𝐃𝐄𝐒𝐓𝐈𝐍𝐘
Romance[ Book 4 ] Khalaf Aqeel- seorang arkitek yang bekerja di syarikat keluarga. Seorang yang matang, tegas terutama sekali berkaitan agama dan sangat menghormati wanita. Tiada sesiapa tahu, di sebalik ketegasannya, di hati terdapat seorang gadis yang su...