Keluar ke ruang tamu mengikuti umi membawa dulang minuman dan biskut. Kedengaran mereka sedang berbual ramah. Tak pelik sebab aku tahu mereka dah berkawan lama. Sejak dari zaman muda lagi. Aku tak berani nak angkat muka. Tangan pun dah sehabis baik dikawal agar tak terketar. Kalau tak habis tumpah nanti minuman ni. Tak ada yang nak diteguk, tinggal sisa je.
Aku menghidangkan minuman berdasarkan bilangan tubuh yang berada di situ. Kaki abah aku kenal. Kaki lelaki seusia abah, kaki wanita seusia umi. Maksudnya mereka ialah suami isteri, yakin. Minuman seterusnya diletakkan di hadapan manusia berkaki panjang yang berseluar jeans potongan lurus berwarna biru tua ni. Kemudian tiga lagi gelas minuman untuk umi, aku dan Effa.
Aku lirik Effa yang sudah menepuk ruang kosong sofa di sebelahnya. Aku turuti. Sumpah, rasa tak selesa. Kejap rasa macam berada di Planet Uranus yang sejuk dan kejap rasa macam di Planet Utarid yang panas. Panas sejuk, sejuk panas dan entah-entah esok pagi demam. Penat badan aku nak regulate body temperature sendiri.
Tanganku disentuh umi. Aku pandang umi. Umi beri isyarat agar angkat muka pandang tetamu. Aku rasa nak pitam. Umi tak tahu macam mana hebatnya jantung aku ni dah berdegup macam tak ada hari esok. Kalau didengari melalui stetoskop, mungkin dah boleh buka kelab DJ.
Tangan yang berada di paha aku kepalkan. Mengumpul tenaga.
"Ha, Agung! Ingat lagi dengan anak aku, kan?" Abah mulai mengalihkan topik.
Oh, great!
Aku mengangkat muka. Menarik senyuman segaris sambil memandang muka lelaki di sebelah abah itu. Ya, memang benar tekaan aku. Dia dan... aku mengalihkan mata ke wanita dia sebelahnya. Dia dan isterinya memang seusia abah dan umi.
Sampai situ saja. Aku tak berani nak larikan mata ke orang yang ketiga. Aku tahu dia adalah lelaki yang menjadi punca segala ketidaktenteraman aku sekarang ni. Cukuplah lima orang saja yang berada di ruangan mataku saat ini. Hujung mata memang dapat menangkap kelibatnya, tapi yang penting ia tak jelas.
"Mestilah ingat, Rahman. Semasa mereka kecil, saya dan Salma yang selalu memberikan mereka hadiah."
Sejak tadi bercerita, baru sekarang aku sedar perbezaan slanga mereka. Cuba mengingat kembali butir-butir bicara umi, abah, along, angah atau Effa. Pernahkah mereka beritahu aku tentang ni? Rasanya ya, cuma aku yang tak pernah ambil pusing.
"Ingat saya siapa?" soalnya kepada aku.
Aku angguk bersama sengihan. Pernah, tapi tak berapa nak ingat. Dia dan isterinya mengangguk berpuas hati.
"Effa, kamu mesti ingat saya dan Ibu Salma."
"Mestilah ingat. Dah banyak kali jumpa Pak Agung dengan Ibu Salma. Tahun ni je jarang datang sini."
Aku kerling Effa yang selamba menjawab. The perks bila dah banyak kali berpeluang berjumpa mereka. Maksudnya dekat sini, aku je yang asing dengan mereka. Patutlah panas sejuk dirasa.
Pak Agung ketawa. "Reaksi mereka berdua itu... different sekali ya."
Aku tak rasa pun benda ni lawak sebab jelas Pak Agung tujukan ayat tu untuk aku.
Tapi abah dan umi ketawa pula.
"Dia malulah, Agung. Dia mana pernah jumpa kamu semua sejak dah besar ni. Kalau kamu datang sini, dia mesti hilang." Abah melirik aku.
Aku buat tak nampak. Nak larikan diri je.
"Effa dengan Hanisah, kan?" tanya Ibu Salma.
Aku dan Effa mengangguk serentak.
"Cantik betul anak-anak kamu ni, Mariam. Macam kamu ketika muda dulu."
Umi tersenyum malu mendengar pujian itu.
YOU ARE READING
Dia Sempurna
RandomDua manusia yang memiliki kisah silam tersendiri, bertemu melalui taaruf lalu disatukan dengan ikatan perkahwinan. "You're perfect, Darma. Being vulnerable to me doesn't make you any less." - Hanisah Aulia, gadis yang serba kekurangan. "You don't...