Tak sangka tempat yang ditempah angah untuk tempat akad nikah ni boleh berubah menjadi seindah ini. Jauh berbeza dengan kali pertama ketika aku datang melawat. Tema coklat lembut dan putih dihiasi dengan bunga-bunga menjadi pilihan untuk outdoor wedding ni. Satu meja terhias indah bersaiz sederhana terletak di tengah-tengah laman ni. Para tetamu berada di sebelah kanan dan kiri. Di tengah-tengah pula terdapat satu permaidani berwarna coklat lembut yang dihamparkan untuk menjadi laluan dari meja tersebut sehingga ke pintu.
Aku menelan liur. Jantung berdegup kencang. Tubuh agak menggigil. Debaran, rasa takut, rasa gembira dan seribu perasaan lain bergelombang dalam dada. Mujur kedua belah tangan yang berhias inai putih sedang menggenggam tangan umi di sebelah kanan dan tangan Ibu Salma di sebelah kiri. Sedikit sebanyak menghulurkan tenaga kepadaku. Sebaik kami melangkah keluar dari pintu dan kaki memijak permaidani, muzik perlahan beralun. Mengundang tumpuan semua orang yang hadir.
Para tetamu sudah menoleh ke arah kami seakan menyambut kedatanganku. Dapat aku kesan beberapa orang yang aku tak berapa kenali. Namun melalui wajah dan pemakaian mereka, aku yakin itu adalah keluarga dari sebelah Darma. Aku kekal tersenyum lembut seperti yang diajar oleh keluarga aku semalam. Terutamanya abah yang beriya-iya ajar aku melangkah. Kaki melangkah perlahan semakin menghampiri kedudukan mereka di sana.
Imam Ismail dan Pak Agung duduk mengapit abah di tengah. Along dan angah duduk di sebelah Imam sebagai saksi. Darma pula dah berdiri dari kerusinya, menanti. Menunggu kedatanganku.
Matanya memerhatikan aku. Lebih teliti dan lama kali ini. Aku dapat bezakan cara pandangan dia kali ini dengan beberapa kali sebelum ini. Jauh beza.
Gilakah aku kalau aku kata matanya seakan bersinar sekarang ni?
Untuk mengatakan dia ada perasaan denganku, dia tak pernah cakap dan masih terlalu awal. Atau mungkin kerana dia kagum dengan persalinan Sunda yang aku kenakan?
Kebaya putih yang berjahit manik, berkain batik sido mukti, bertudung putih dan kepala dihiasi siger Sunda iaitu mahkota yang melambangkan harapan akan kebijaksaan dan kehormatan dalam perkahwinan. Selain itu, ada juntaian Bunga Melati hingga paras pinggang yang melambangkan kesucian. Sama dengan yang Darma kenakan di lehernya sekarang.
Apabila mata kami bertemu, dia tersenyum. Secara automatik, rasa debaran yang sedang dialami berkurang. Aku tahu dia turut rasakan benda sama seperti aku. Namun senyuman yang dihulurkan seakan memberitahu bahawa aku boleh percayakan dia.
Tiba di hadapannya, dia menarik kerusi untuk aku duduk. Kemudian barulah dia duduk di sebelahku diikuti along dan angah di sebelah sana. Ini kali pertama aku duduk sehampir ini dengannya walaupun masih berjarak. Mesti jaga sebab dah berwuduk.
Aku melirik umi dan Ibu Salma yang sudah duduk sebaris dengan para bridesmaids aku. Ada dua kakak ipar aku juga bersama anak kak ngah, Maya. Mereka tersenyum lebar memberi semangat kepadaku. Aku kembali memandang ke depan. Abah mengangguk memberi keyakinan bahawa semuanya akan baik-baik saja.
Mata di bawa ke hadapan. Melirik along dan angah. Aku rasa hiba bila sedar mereka sedang menahan emosi sendiri. Cuba dikawal namun mata dah merah.
Kalau tak kenangkan muka yang dah cantik bermekap dengan Kak Eja, mesti aku dah nangis dekat sini. Agaknya inilah yang dirasakan semua pengantin walaupun kahwin tanpa cinta. Bezanya aku bersetuju untuk semua ni dan bukannya atas paksaan sesiapa.
Tenang, Hanisah. Belum mula majlis lagi.
Beberapa minit kemudian, juruacara memulakan majlis. Imam Ismail mulai membacakan doa pembuka dan zikir. Sebelum abah memulakan akad. Aku perhatikan setiap satu pergerakan mereka berdua. Daripada saat tangan abah dan Darma berjabat sambil memulakan ayat,
YOU ARE READING
Dia Sempurna
RandomDua manusia yang memiliki kisah silam tersendiri, bertemu melalui taaruf lalu disatukan dengan ikatan perkahwinan. "You're perfect, Darma. Being vulnerable to me doesn't make you any less." - Hanisah Aulia, gadis yang serba kekurangan. "You don't...