Geli perut aku melihat Darma yang sedang dipaksa melakukan pelbagai gaya untuk video oleh bridesmaids aku. Kedua belah tangan sedang diinai merah oleh dua orang perempuan lingkungan umurku. Nama mereka Farhana dan Farhani. Kembar. Khusyuk mereka mencorakkan sebaiknya.
Majlis berinai ni lebih tertutup dan tenang sebab hanya dihadiri oleh keluarga terdekat dan dilakukan di rumah sendiri. Aku hormati permintaan Darma yang tak berapa sukakan keramaian. Malu katanya. Muzik yang beralun perlahan membuatkan aku berasa tenang.
Kedengaran gelak tawa budak-budak kecil yang sedang berlari di bawah kanopi. Rumah ni lebih bercahaya daripada sebelum ni. Berhias indah dan meriah. Ada juga yang sedang berkaraok dan menjamu selera. Haih, laparlah pula. Sibuk bercerita dan bersiap tadi sampai tak sempat nak makan.
"Hani?"
Aku tersentak mendengar suara itu. Wajahnya dipandang. Sejak bila dia berjaya melepaskan diri daripada bridesmaids aku dan sejak bila dia panggil aku macam tu?
"Saya ke?"
Darma mengangguk. Aku mengerutkan kening mendengar gelak tawa si kembar. Suka betul mereka bila dengar Darma panggil aku macam tu.
"Kenapa?"
"Nak makan tak?"
Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Terus aku nak berdiri namun laju saja si kembar menahan aku.
"Sikit lagi nak siap ni." Farhana buat muka kurang senang.
"Tak kering lagi inai ni. Nanti rosak." Farhani menambah.
Yalah. Aku buat muka reda dengan Darma. Beri isyarat yang aku tak dapat lepaskan diri. Tak ingin kerja keras mereka berdua menjadi hancur hanya disebabkan pengantin perempuan yang banyak songeh macam aku.
"Awak pergi dululah. Nanti saya datang."
Cakap macam tu, tapi aku yakin aku takkan dapat bergerak untuk dua jam lagi. Hanya mampu memandang Darma yang berlalu turun ke bawah. Haih, kena hiburkan hati ni. Lantas aku memanggil empat orang pengiringku yang sedang sibuk bergambar tak habis sejak tadi. Mengarahkan agar mereka duduk bercerita dengan aku di sini.
"Kau kena tidur puas-puas malam ni sebab esok awal pagi dah nak gerak ke bandar." Pesan Intan sambil membetulkan tudungnya.
"Sanding mula jam lapan malam, kan?" tanya Effa.
Aku angguk. "Tapi kenapa kena gerak awal?"
Mereka saling berpandangan termasuklah si kembar.
"Mestilah kena gerak awal. Kau nak rehearsal lagi. Kau nak main langgar je masa masuk dewan nanti? Ramai yang akan hadir malam nanti tahu? Kalau tak bersedia, ada yang jatuh masa naik tangga nanti." Intan putarkan mata.
Eh, kenapa stres sangat minah ni? Aku tanya je. Tak cukup tidurkah?
"Lepas tu kena mekap awal. Takut ada masalah dengan baju ke kasut, boleh selesaikan awal." Mastura menambah.
"Takut jammed juga." Maisarah mencelah.
Betul juga.
"Sambung tidur masa dalam kereta nanti kalau tak cukup rehat malam ni." Farhana memberi cadangan.
Aku angguk. Semua mata tertuju kepadaku apabila aku diam. Dahi berkerut. Apa?
YOU ARE READING
Dia Sempurna
عشوائيDua manusia yang memiliki kisah silam tersendiri, bertemu melalui taaruf lalu disatukan dengan ikatan perkahwinan. "You're perfect, Darma. Being vulnerable to me doesn't make you any less." - Hanisah Aulia, gadis yang serba kekurangan. "You don't...