Bab 8

192 7 2
                                    

Intan tersenyum lebar sambil membelek cincin belah rotan di jari manisku. Ini dah masuk kali ketiga dia teliti. Aku turut tersenyum namun ditahan. Berasa malu sebab dia asyik mengusik aku sejak sampai di rumah sewa semalam. Nasib baik aku sempat melarikan diri dan mengunci pintu, kalau tak memang tak tidurlah jawabnya. Nasib baik juga Intan tak buat kerja gila dengan mengumpil tombol pintu bilik. Bukan dia tak pernah buat masa aku tertidur mati sehingga dia ingat aku pengsan sebab dipanggil berulang kali tak ada jawapan. Masa tu aku terlalu penat sebab seharian menangis. Kenapa? Biarlah rahsia.

"Kau tahu tak aku gembira sangat sekarang ni?" Intan memegang tanganku. "Kawan baik aku dah dirisik orang."

Aku tergelak kecil. Gembira dan senang hati sebab dia turut bergembira melihat kebahagiaanku. Bersyukur sangat-sangat sebab ada kawan macam Intan. Menangis dan ketawa bersama.

"Idham pun gembira bila dapat tahu yang kau akan kahwin masa cuti pertengahan semester nanti."

Aku dekatkan badan bila Intan menunjukkan ucapan tahniah daripada Idham melalui whatsappnya. Intan menekan button voice, merakam suaraku.

"Terima kasih, Encik Idham."

Intan tak hantar terus, malah menyambung.

"Hanisah ni kena risik je terus kahwin. Jadi semoga Encik Idham tetapkan tarikh cepat. Cik tunang awak ni pun nak kahwin juga. Kerja-kerja juga, ingat cik tunang kat sini. Kalau lambat, melepas."

Send.

Kami berdua tergelak. Intan kalau tak buat hal memang bukan namanya Intan. Suka kenakan semua orang. Kalau aku dah diusiknya, apatah lagi encik tunang dia.

Tiba-tiba Intan mengeluh. Laptopnya dikeluarkan. "Nasib baik slide presentation dah siap. Dr. Badrul tu suka buat pembentangan mengejut. Awal pagi tadi baru bagitahu nak buat pembentangan. Nasib baik juga aku dah ambil pengajaran daripada semester lalu lepas kena usir keluar kelas dia sebab tak siapkan slide. Nasib baik dia termakan air mata aku lepas merayu banyak kali demi markah. Malu tapi berbaloi."

"Semoga berjaya." Aku tepuk bahunya.

Dia tersengih. "Seronoklah jadi kumpulan terakhir. Lama lagi nak nak buat pembentangan."

Kepala digeleng. "Jangan kata lama lagi. Entah-entah lusa dia kata nak semua orang habiskan pembentangan sebab kelas dia tiga jam."

"Betul juga. Dah nama pun dia suka buat kejutan."

Pahitnya kenyataan menjadi anak murid Dr. Badrul ni. Suka buat kejutan tu satu hal. Belum masuk bab mengusir pelajar keluar kalau tak siapkan tugasan yang diberikan. Belum tambah lagi kalau ada pelajar yang tertidur dalam kelas. Habis kena suruh berdiri. Boleh trauma dengan dia.

Whatsapp group berbunyi. Beberapa keping gambar dimuat naik oleh Ibu Salma berkaitan tempat-tempat sesuai yang ingin ditempah. Aku teliti satu persatu sementara Intan fokus memeriksa slide presentation mereka buat kali terakhir.

Ibu Salma
Ibu suka tempat yang pertama.
Cukup cahaya.
Luas.

Umi sayang
Umi suka tempat ketiga tu.
Rasa macam dalam taman.
Bunga-bunga.

Aku memegang dagu, berfikir. Memandangkan perkahwinan aku ni banyak yang nak sponsor, jadi hasilnya mesti membawa kepuasan kepada semua orang. Orang dah hulurkan bantuan, kita terima dan manfaatkan.

Berdasarkan perbincangan sehari selepas khitbah itu, kedua-dua belah pihak setuju untuk mengadakan tiga acara. Akad nikah, malam berinai dan persandingan. Aku teruja bila mereka tanya aku nak ikut adat siapa masa kahwin nanti. Aku bagitahu nak ikut adat Sunda dan siap tunjuk persalinan yang aku mahukan. Namun, Darma terus bagitahu yang dia tak setuju. Alasannya dia tak menggemari beberapa perkara berkaitan adat perkahwinan Sunda.

Dia SempurnaWhere stories live. Discover now