Bab 18

159 13 5
                                    

Dahiku dicium sebelum berlalu ke pintu. Melihat dia yang hilang sebaik menutup pintu. Pinggan berisi mihun goreng air tangan Darma dipandang. Bibir mengorak senyuman bila teringat yang hubungan kami semakin erat selepas sesi luahan kelmarin malam. Dah dapat bernafas dengan lega dalam rumah ni. Tak ada lagi perselisihan.

Hujung minggu macam ni aku patut manfaatkan dengan menyambung tidur. Ingin mengganti waktu tidur yang tak cukup sepanjang lima hari lalu yang dihabiskan dengan kelas dan menyiapkan tugasan.

Usai sarapan, dapur dikemas. Menyapu kejap sebelum naik ke bilik untuk membersihkan diri. Lepas tu aku telefon umi dan ibu untuk bertanya khabar. Ingin memberi perhatian yang sama dan tak ingin mereka anggap yang aku dah lupakan mereka. Ibu mestilah tanya macam mana layanan Darma terhadapku. Bimbang sangat kalau aku diabaikan oleh anak terunanya itu.

Heh, anak teruna!

Lepas tamat panggilan, aku pusing badan ke kiri dan ke kanan. Ingin menyelesakan diri sementara menunggu kantuk tiba.

Tiga jam kemudian, aku terjaga. Bangun menunaikan solat Zohor sebelum turun ke dapur. Cup maggi dicapai. Sambil menunggu mi lembut, aku bawa cup ke ruang tamu. Ingin melayan tv. Nasib baik ada cerita yang hendak ditonton. Maklumlah kebanyakan saluran sekarang ni dah dikuasai oleh WowShop.

Aku baru saja menyuap mi ke dalam mulut apabila telefon berbunyi. Melihat nama Darma yang tertera di skrin, kelam-kabut cup diletak atas meja. Kalau Darma tahu aku makan benda macam ni, habislah. Tak pasal-pasal waktu rehatnya digunakan untuk pulang ke rumah semata untuk memasak makanan buatku.

"Assalamualaikum." Aku terlebih dahulu memulakan perbualan.

Dia menjawab perlahan. "Hani dah makan?"

Aku pandang cup maggi. "Tengah makan ni."

"Makan apa?"

Liur ditelan. "Makan mi. Awak pula?"

Haraplah dia ingat mi yang aku maksudkan ni adalah mihun pagi tadi. Bila dia tak tanya, aku hembus nafas lega.

"Tengah rehat. Kejap lagi baru makan."

Aku tersenyum. Rasa seronok pula bila bergayut macam ni. Lama tak rasa. Macam orang tengah bercinta. Heh! Perhatian dah diberikan sepenuhnya dengan si pemanggil. Giliran tv yang tengok aku.

Kami berbual untuk agak lama sebelum aku tersedar yang dia tak makan lagi. Terus digesa agar dia pergi isi perut. Layan aku ni bukannya boleh buat dia kenyang. Nasib baik dia dengar kata lepas aku bebel kononnya dia jaga pemakananku tapi tak reti jaga diri sendiri.

Telefon diletak atas meja. Menyambung suapan mi yang dah kembang. Darma punya pasal. Nasib baik seronok berbual dengannya. Kunyahan terhenti.

Aku dah termasuk alam bercinta dengan Darma.

***

Aku berlari anak turun ke bawah selepas mendengar keretanya menjalar masuk ke laman. Laju menyembunyikan diri di belakang pintu. Tidak lama kemudian, dia membuka pintu. Aku terus melompat keluar ingin mengejutkannya. Darma terkejut sehingga terundur beberapa langkah. Reaksi spontan bila tak jangka aku akan buat perangai.

"Hani!"

Aku meletuskan tawa. Riak wajahnya yang panik bercampur terkejut itu menjadi modal ketawaku hari ni. Terhibur betul dengan reaksinya. Kalau macam ni hari-hari pun aku sanggup demi melihat aksinya. Biar seri wajahku naik terus.

"Saya patut rakam muka awak tadi. Kelakarlah!"

Dia tersengih. Tak terasa dengan perbuatanku. Malah menarik aku ke dalam pelukannya. Aku membalas senang. Aku suka diperlakukan begini. Terasa tepi kepalaku dikucupnya.

Dia SempurnaWhere stories live. Discover now