Kepala digaru. Apa yang susah sangat soalan ni sampai aku tak dapat jawapan? Tak jumpa langsung. Tanya Google, dia sendiri pening dengan soalan aku. Telefon dicapai. Nak tanya Intan, mesti dia tahu. Kalau tanya esok takut tak sempat dan mesti akan lupa sebab berdebar nak masuk dewan peperiksaan.
Sementara tunggu Intan balas, aku pergi soalan seterusnya. Sejak awal pagi dah duduk depan laptop dan buku-buku untuk mengulang kaji untuk peperiksaan akhir tu. Rasa malas tu ada tapi separuh nyawa ditolak. Tak ingin gagal. Dah masuk jam sepuluh ni naik keras punggung aku. Serabut kepala dan badan naik lenguh.
Ah!
Badan direbahkan ke lantai. Meregangkan setiap sendi tubuhku sebelum terbaring kaku. Mata berkerdip memandang siling sehingga hidung terhidu sesuatu yang enak beserta derapan tapak kaki menghampiriku. Mata mengikuti pemiliknya yang baru duduk bersila di sebelahku.
Oh, lupa! Dia bercuti hari ni.
Sesuatu dihulur depan mataku.
"Cream puffs!" Berkecur liur. Tangan menyambut sebelum bangun duduk.
Darma tersenyum. "Rajin Hanii belajar sampai tak sedar apa yang saya lakukan di dapur."
Aku sengih. Dah dia buat kerja senyap je. Seolah tak ingin menganggu aku. Manalah aku perasan. Laki sendiri pun boleh lupa masa belajar ni. Pencapaian yang bagus sebab itu bermakna tahap kefokusan aku dah makin baik bila didesak masa.
Kuih itu dibawa ke mulut. Sebaik mengambil satu gigitan, mata terpejam menikmati keenakannya. Kunyah cukup syarat dan telan. Buka mata memandang Darma yang sedari tadi memerhatikan aku. Tangan spontan naik menolak wajahnya perlahan tanda tak ingin dilihat sedemikian.
Dia tergelak kecil. "Kenapa?"
Aku jarakkan duduk. "Setiap kali saya cuba masakan awak untuk kali pertama, awak mesti tengok saya macam tu."
Dia ikut menggeser punggung merapatiku semula.
"Saya nak tengok reaksi sayang je. Kalau muka senyum, badan melentok, goyang badan sikit, lepas tu meloncat macam kanak-kanak ribena tu maknanya masakan saya sedap."
Hai, dia ada kamus khas berkaitan perbuatan dan percakapan akukah? Senyuman diberikan kepadanya dan dia membalas manis.
Aku teruskan suapan. Tak menjawab lagi. Membiarkan keadaan di antara kami senyap. Tak berasa kekok lagi. Sedar tak sedar, begitu banyak perubahan sikap kami berdua sekarang. Dulu tak berani aku nak buat gaya manja atau bersikap terbuka, tapi sekarang sikit-sikit nak mengada. Darma pun dua kali lima. Makin sibuk melekat dengan aku. Macam belangkas. Touchy sana touchy sini. Agaknya ini love language dia. Aku patut ajak dia buat test.
"Sayang..."
Aku pandang dia. Memberikan tumpuan.
"Ingat lagi apa yang ibu bagitahu minggu lalu masa beraya?"
Aku mengangguk. Masih ingat sambutan dan layanan baik keluarga belah Darma ketika kami datang ke sana untuk beraya sekaligus berjumpa bapa dan ibu yang telah bermalam di sana. Lepas tu ada pergi beraya dekat rumah keluarga belah ibu juga. Cuma ibu kata dia tak suka dekat sangat dengan keluarganya sebab mereka pernah bergaduh besar masa dia mula-mula berkahwin dengan bapa dulu. Lebih baik berjauhan untuk menjaga silaturahim. Dan tentulah aku masih ingat berita kurang baik tu.
"Semalam sepupu saya ada telefon. Keadaannya agak stabil setelah beberapa hari di rumah sakit."
"Alhamdulillah." Syukur. Tangan naik memegang pipinya. "Awak okey?"
Darma angguk. Riaknya biasa tapi siapa tahu isi hatinya bagaimana? Sukar untuk menebak kerana menurut ceritanya, dia tak rapat sangat dengan mak cik bapa aka adik kepada arwah kakeknya tu. Katanya sikap dan ketegasan mereka berdua sama. Cuma arwah nenek iaitu isteri kepada kakeknya saja yang baik. Mana tak baik kalau separuh hartanya diwariskan kepada Darma selain daripada bergelar cucu sulung.
YOU ARE READING
Dia Sempurna
RandomDua manusia yang memiliki kisah silam tersendiri, bertemu melalui taaruf lalu disatukan dengan ikatan perkahwinan. "You're perfect, Darma. Being vulnerable to me doesn't make you any less." - Hanisah Aulia, gadis yang serba kekurangan. "You don't...