03

315 23 1
                                    

MATA tekun memandang sekeliling. Mana tahu dia dapat berjumpa dengan lelaki misteri itu di sini. Keluhan dilepaskan apabila merasakan semuanya hanya sia-sia.

"Nisa, makanlah. Ajak mak makan luar tapi bila dah keluar, kamu tak makan pula. Asyik sibuk pandang sana, pandang sini macam orang jakun. Kamu ni ada agenda lain ke? Nak bawa bakal menantu jumpa mak dekat sini?"

Mahu tersedak air liur Hanisa dibuatnya. Dia? Bawa bakal menantu untuk Puan Salmah? Kahwin? Wah, lambat lagi!

"Apa mak ni? Nisa tengah cari orang itulah. Mana tahu dapat jumpa dekat sini. Mak ni pun, menantu apanya," cebikan muncul di bibir kecil milik Hanisa.

"Manalah tahu. Tak payah dicarilah orang itu, Nisa. Kalau ada rezeki, korang berdua berjumpa lagilah nanti tu," kata Puan Salmah yang turut naik pening dengan tingkah laku anaknya. Benda kecil aje, risau dia mengalahkan telur di hujung tanduk.

"Betul tu. Apalah kau ni, Nisa? Kalau nak bunyi lebih cantik lagi, kalau dah jodoh tak akan ke mana. Ada maknalah tu cari si dia, kan? Kan?" Helmi senyum mengusik. Keningnya dijongket-jongketkan. Ketawanya terkekeh-kekeh melihat Hanisa yang sudah menayang muka menyampah buatnya.

"Abang long ni fikir dalam sangat, sudah sedalam lautan Hindi." Hanisa menghadiahkan jelingan buat satu-satu abangnya yang ada. Benci mana sekalipun, dia tetap abang kesayangan Hanisa.

"Dalam lagi perasaan Nisa terhadap orang tu, kan? Kan? Eceh diam-diam ubi berisi betullah kau ni, Nisa! Nasib abang long tak datang awal hari tu, kalau tak melepaslah kau nak jumpa dengan si dia yang istimewa tu."

Helmi sambung menyakat. Dia ambil peluang ini untuk kenakan Hanisa. Bukan mudah dia melihat adiknya itu berbicara mahupun berfikir tentang mana-mana lelaki.

"Istimewalah sangat. Abang long jelah yang tambah keturunan untuk mak dan ayah. Tak kuasalah Nisa." Apa lagi abangnya itu, mesti nak petik isu kahwin kan?

"Abang long okey je. Alright, macam ni. Kalau ada rezeki abang long dapat anak lagi nanti, masa tu juga kau kena kahwin. Deal, princess?" Hujung bibirnya dinaikkan. Helmi sudah bersiap sedia jika dimarahi Hanisa.

"Apa benda abang long ni!" Hanisa memberontak tanda tidak setuju. Tangan naik menumbuk bahu Helmi. Ini sudah melampau!

Farah tersenyum melihat telatah dua beradik itu. Puan Salmah juga naik tergelak kecil. Perbualan antara anak-anaknya berjaya mencuit hatinya.

Helmi ketawa besar.

Muka cemberut Hanisa kelihatan sangat lucu di matanya. Okey, next time sakat lagi!

"Ish, apa abang long ni doakan yang tak baik untuk Nisa. Kata-kata tu satu doa, tahu tak?" Hanisa mencebik. Baginya kahwin itu memang bala.

"Iyalah, sorry," ucap Helmi meskipun dia tidak tahu dari mana datangnya perkara yang tidak baik yang dikatakan oleh adiknya itu.

Makanan yang tidak diusik dari tadi mula dijamah. Hanisa memasang niat untuk tidak memeningkan kepala lagi dengan memikirkan lelaki misteri itu. Bak kata Puan Salmah, kalau ada rezeki nanti adalah tu berjumpa lagi.

Mungkin Hanisa yang lebih-lebih di sini sedangkan lelaki itu langsung tidak mengharapkan sebarang balasan darinya.

Kepala yang tidak gatal digaru.

...

Darling Hanisa. Nama yang agak unik turun padanya. Bukan tidak bersyukur, tapi dia agak anti jika ada hamba Allah yang memanggilnya dengan gelaran nama depannya sendiri.

Darling? Nampak over pun ada.

"Betul, kak long. Tak apa. Nisa boleh je jalan seorang-seorang dalam mall ni sementara menunggu," Hanisa meyakinkan kakak iparnya.

Lambat-laun Farah mengangguk juga. Dia ingin membeli seluar sukan untuk anak kembarnya. Namun, bila dia mengajak Hanisa untuk turut serta, adik iparnya itu menolak pula.

Helmi tidak usah dikata, semestinya dia melekat dengan isterinya memandangkan lelaki itu agak cerewet dalam bab pakaian. Lagi-lagi pakaian itu buat anak-anaknya. Untuk anaknya kalau boleh semua kena sempurna.

Puan Salmah pula awal-awal lagi sudah menerobos kedai bunga yang ada di pusat beli-belah itu. Nak tambah koleksi bunga dekat rumahlah tu!

"Jangan keluar mall. Nak jalan, jalan dalam ni aje. Nanti kalau dah selesai urusan, kami call Nisa. Faham?" Pesan Helmi dengan tegas.

"Iya."

Hanisa mula berjalan seorang diri di dalam pusat beli-belah itu. Berjalan seorang begini, apalah sangat hendak ditakutkan. Orang tak kenal dia, dia pun tak kenal orang. Ibarat kehidupan masing-masing.

Tidak sampai 15 minit berjalan, mata Hanisa melekat pada sebuah kedai muzik. Wah, ada banyak alat muzik! Dengan perasaan teruja Hanisa memasuki kedai itu.

Gitar yang tergantung elok di bahagian pusat kedai itu sungguh menarik perhatian Hanisa. Sampai terlopong mulut gadis itu dibuatnya. Tambah lagi warna kegemarannya, hitam pekat.

"Kau tunggu hujung bulan nanti aku datang balik untuk lamar kau."

Hanisa berkata sendirian. Kagum benar dia dengan gitar itu. Cantik dan berkilau, sungguh menepati cita rasanya!

"Cantik, bukan? Gitar ni agak lain dari yang lain. Harga pun agak berbaloi dengan kualitinya," terang seorang pekerja yang berumur kira-kira bawah 20 tahun. Cantik molek orangnya.

Hanisa sekadar mengangguk.

Cantik memang cantik. Harga pun cantik. Kualitinya pun sudah sememangnya santik!

"Cik mahu cuba main? Kedai kami akan memuat naik video pelanggan semasa memainkan alat muzik, sesiapa yang berjaya mendapatkan bilangan like yang tertinggi akan diberikan ganjaran," gadis berumur belasan tahun itu berbicara lagi. Tidak hilang senyumannya di bibir.

"Tak apalah, dik. Terima kasih atas tawaran. Saya ni pemalu orangnya."

Mahu terjatuh rahang Hanisa mendengar tawaran yang ditawarkan. Dia tak ada masalah dalam memainkan alat muzik, cuma sudah lama rasanya dia tidak memegang alat muzik itu. Gitar, piano, drum, malah mikrofon pun dia pernah pegang semasa menjadi seorang penyanyi pada zaman persekolahan dulu.

Tidak tahu pula bagaimana dengan sekarang. Paling tidak suaranya sudah pecah.

Hanisa kemudian pamit pergi.

Kedai muzik itu ditinggalnya. Tidak mahu berlama di situ, kelak terbeli juga gitar yang satu itu. Naya, awal bulan ni!

Langkah Hanisa terhenti apabila terasa dirinya sedang diseru. Ceh, memang nak kena beli ke gitar itu? Tidak mahu Hanisa melangkah pergi pula lagaknya. Kira-kira Hanisa baru saja 4 langkah keluar dari kedai muzik itu.

"Cik yang berbaju biru laut di sana, tunggu sekejap!" Pinta orang itu dan orang itu adalah seorang lelaki. Dia mengejar langkah Hanisa.

Hanisa terpinga-pinga namun dia tetap berhenti dan setia menunggu lelaki itu datang ke arahnya. Semakin bertambah rasa hairannya apabila pekerja lain dari kedai muzik itu turut memandang ke arahnya juga.

"Cik sangat licik. Perbuatan cik hampir terselindung dengan kecantikan yang ada pada wajah cik. Saya tak sangka," bicara lelaki itu dengan nada yang agak kecewa.

Hanisa mengerutkan dahinya. Dia mengangkat keningnya sebagai respons. Okey, ini pelik. Dia tidak mengerti. Licik? Dia buat apa? Dia cuma jenguk-jenguk gitar yang satu itu saja sedari tadi.

"Mari ikut saya ke balai."

MR HANS MIKHAEL Where stories live. Discover now