Erfan melangkah masuk ke dalam rumah sewa yang dihuni Thaqif itu. Rumah yang boleh dikatakan seperti sebuah bilik itu. Rumah kecil yang cukup selesa dan begitu lengkap dengan dapur, ruang makan dan tandas.
"Berangan apa?" soalnya lalu merebahkan tubuhnya di atas katil Thaqif. Cukup selesa apabila seharian ini dia menghadiri kelas yang langsung tidak berhenti. Lagi-lagi apabila ada kelas ganti.
Thaqif yang sejak tadi merenung skrin komputer ribanya mula mengalihkan pandangan menatap sahabatnya itu. Badannya disandarkan pada kepala kerusi.
"Kau dah fikir nak apply intern dekat mana? Tak lama lagi dah nak habis belajar."
"Belum. Kau pula? Kau nak intern dekat sini atau balik ke negeri kau?" balas Erfan penasaran.
"Aku tak pasti." tutur Thaqif perlahan.
"Dekat sini sajalah. Kau ada aku. Kalau kau balik sana, mesti kau sunyi. Tak ada kawan." gurau Erfan cuba membuat sahabatnya tersenyum.
Thaqif tersenyum kecil. Ya, dia tidak ada sesiapa di sini kecuali Erfan, sahabat baiknya itu. Jam di dinding dilihat. Sudah hampir pukul enam petang.
"Aku nak pergi kerja. Jangan lupa kunci pintu nanti bila nak balik." pesannya sambil menukar t-shirt yang dipakainya kepada pakaian khas kerjanya.
"Okey." sahut Erfan lalu memejamkan matanya. Rasa mengantuk menguasai dirinya.
Langkah dibawa menuju ke kedai serbaneka yang dibuka 24 jam tidak jauh dari kedudukan rumah sewanya. Thaqif menarik senyuman kecil ke arah rakan sekerjanya serta rakan seuniversitinya, Atiya. Senyuman yang hampir tidak kelihatan.
Mereka berdua bertukar tempat. Atiya melangkah keluar dari dalam kaunter dan Thaqif pula menggantikannya. Kotak yang berisi dengan stok barang dibuka lalu disusun di almari di belakang kaunter itu.
"Qif."
"Hm."
"Kau nanti selepas tamat belajar, ikut aku balik, tak?" tanya Atiya ingin tahu. Dia dan Thaqif sudah kenal lama. Apatah lagi mereka dulu berada di sekolah menengah yang sama.
"Aku tak tahu lagi. Kau?" balas Thaqif. Dia begitu ralit menyusun stok barangan.
"Mak aku suruh balik. Dia suruh aku intern dekat sana saja. Hm...kau tak ada terfikir nak balik, ke?" Dengan penuh berhati-hati Atiya menyoal lagi. Dia tahu bahawa jejaka itu cukup sensitif dengan soalan sebegitu.
"Tak tahu lagi." balas Thaqif ringkas.
"Okey." Akhirnya Atiya tidak bertanya lebih lagi apabila melihat Thaqif yang bagaikan mahu tidak mahu saja menjawab. Terus saja dia meninggalkan kedai serbaneka itu. Waktu kerjanya sudah tamat.
Keluhan dilepaskan. Thaqif mengangkat kotak kosong itu untuk disimpan ke dalam stor. Kaki dibawa melangkah ke arah peti ais. Bahagian minuman yang sudah kosong mula diisi dengan stok yang baharu.
Mata mengerling ke arah dua orang lelaki yang sedang berbual sesama mereka sambil menapak ke arah peti ais itu. Thaqif tidak bersuara. Dia cukup kenal dengan kedua-duanya. Mereka ialah rakan sefakultinya dan paling penting sekali mereka tidak menyukainya.
Prang!
Thaqif tersentak apabila melihat salah satu minuman yang diisi di dalam botol kaca telah pun pecah. Kedua-dua orang jejaka itu ditatapnya.
"Bayar ganti rugi." ujarnya.
"Eh Thaqif. Kau kerja dekat sini?" Jamie, lelaki yang berkulit sawo matang itu menyoal dengan senyuman mengejek.

ANDA SEDANG MEMBACA
Forelsket
RomanceRomance | On going Inspired by Secretly, Secretly But Unable To Hide It _________ Erika Dayana merupakan seorang gadis yang sering menyelesaikan masalah dengan kekerasan. Malah namanya juga sudah tidak asing lagi di bilik disiplin. Kerana sudah bebe...