Telefon di tangan mula disimpan ke dalam poket seluar sebaik saja dia keluar dari pasaraya mini yang berdekatan dengan kawasan perumahannya. Langkah dibawa menuju ke rumahnya. Begitu tenang langkah Erika sambil di tangannya menghisap lollipop yang baru saja dibelinya sebentar tadi.
Dari kejauhan ada yang sudah mampu menarik perhatiannya, iaitu sebuah kereta putih yang diparkir di hadapan pagar rumahnya. Berkerut dahinya kehairanan.
"Siapa pula yang datang tu?" gumamnya perlahan. Dengan penuh rasa tertanya-tanya, kaki tetap jua menapak untuk masuk ke dalam rumah. Sesekali dia masih menoleh ke arah kereta yang cukup asing dari pandangannya. Siapakah pemilik kereta tersebut?
"Assalamualaikum." ucapnya sebaik sahaja sebelah kakinya menapak masuk ke dalam rumah.
"Gina. Kereta siapa tu dekat luar?" soalnya apabila Gina datang menghampirinya.
Kelihatan wajah Gina yang bagaikan teragak-agak ingin menjawab pertanyaan itu. Berkerut dahi Erika dibuatnya. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah sofa yang diduduki seseorang.
Berubah air mukanya apabila melihat seraut wajah yang begitu tampak tidak asing pada retina matanya. Pandangan mereka bersatu. Seorang lelaki yang tidak asing buatnya.
"Paksu?" Panggilan itu terbit dari dua ulas bibirnya. Pantas pandangannya beralih ke arah Gina yang hanya membisukan diri. Wajah wanita itu pula hanya mendung saja.
"Dah besar Erika rupanya." ujar Rian kepada anak saudara Gina itu.
Erika hanya tersenyum nipis. Dia menoleh ke arah Gina yang tiba-tiba saja bangkit berdiri meninggalkan ruangtamu dan menuju ke arah dapur tanpa bersuara.
Rian bagaikan mahu memanggil wanita itu tetapi Erika pantas menahan. Isyarat diberikan supaya jejaka itu kembali duduk. Dia juga mengambil tempat di atas sofa. Pandangannya dilemparkan tepat pada wajah lelaki itu. Dia fikirkan bahawa dia tidak akan berjumpa dengan jejaka itu lagi tetapi rupanya sangkaannya silap. Setelah beberapa tahun, jejaka itu kembali semula ke rumah itu.
"Kenapa paksu datang sini?" soalnya tanpa berselindung lagi.
"Cuma nak menjenguk." balas Rian bersama senyuman kecil.
"Atau paksu rindukan Gina?" tanya Erika serkap jarang. Melihat dari riak wajah kedua-duanya sepertinya mereka masih menyimpan perasaan buat satu sama lain.
Rian tersenyum pahit. Tanpa berselindung dia hanya menganggukkan kepalanya. Walaupun tiga tahun sudah berlalu sejak penceraian mereka, perasaannya terhadap Gina masih sama. Tidak sekalipun berkurang. Dia masih cintakan wanita itu sepertimana kali pertama dia meluahkan rasa cintanya itu terhadap Gina.
"Tapi Gina lebih bahagia lepas bercerai dengan paksu." tutur Erika tanpa sebarang reaksi di wajahnya. Datar saja apabila dia mengucapkan bait perkataan itu.
Kepala dipanggung memandang gadis muda itu. Rian tertampar dengan kata-kata yang dilontarkan gadis itu. Dia melepaskan keluhan apabila mengingat kembali kisah pahit itu.
"Paksu minta maaf sebab tak dapat pertahankan maksu, Erika dengan Erfan." ucap Rian dengan reaksi wajah yang jelas serba salah dan sedih.
"Antara saya, Erfan dan Gina, Gina lebih sakit dengan apa yang terjadi dulu. Walaupun waktu tu saya masih terlalu muda tapi saya masih ingat apa yang berlaku. Saya tak nak perkara yang sama berulang. Saya benci bila ada yang sakitkan hati Gina." tegas Erika mengutarakan apa yang dirasakannya.
"Erika. Paksu minta maaf." Sekali lagi Rian mengucapkan kata maaf. Dia turut bangkit berdiri apabila Erika berdiri.
"Awak pergilah balik. Saya tak nak jumpa awak." celah Gina yang baru saja tiba dari dapur. Wajah wanita itu masih mendung. Mungkin tidak sangka dengan kedatangan bekas suaminya itu.
"Gina. Saya nak lagi satu peluang untuk kita. Kita mula semula dari awal." pinta Rian.
Gina memejamkan matanya sebentar. Dia mengambil nafas dalam dan dihembusnya perlahan. Matanya kembali menatap Rian.
"Saya tak nak hidup dalam hubungan tanpa restu lagi. Saya sakit hati bila tengok keluarga awak layan buruk dekat anak-anak saudara saya. Dia orang darah daging saya juga. Jadi awak kuburkan je niat awak tu. Kisah antara kita dah lama tamat. Awak pergilah balik. Saya tak nak tengok muka awak." luah Gina tanpa berselindung lagi. Kaki terus menapak naik ke tingkat atas.
"Gina!"
"Paksu baliklah. Jangan paksa orang yang tak sudi." halau Erika. Dia menyilangkan kedua belah tangannya ke dada.
"Tak boleh ke paksu dapat peluang tu lagi?" soal lelaki itu dengan rasa kecewa.
"Kalau keluarga paksu mampu terima saya dan Erfan seadanya dan layan kami baik, Gina boleh pertimbangkan. Tapi tu lah, keluarga paksu nampak benci sangat dengan kita orang." Pekat sindiran itu dilemparkan. Dia tidak akan melupakan dengan apa yang telah terjadi di antara mereka.
Akhirnya, Rian hanya mengangguk. Bukan dia tidak tulus mencintai Gina dan menyayangi Erfan dan Erika tetapi keluarganya sendiri yang tidak senang dengan kehadiran mereka di dalam keluarganya.
Dia mula berpaling ingin melangkah pergi. Langkah dibawa menuju ke pintu utama rumah.
"Tapi kalau paksu mampu buat keluarga paksu terima kita orang, berapa tahun akan datang sekalipun dan perasaan paksu masih sama, saya akan sokong hubungan paksu dengan Gina. Saya nak Gina gembira." bicara Erika lagi.
Rian menoleh ke belakang menatap gadis itu. Senyuman nipisnya terbit. Kepalanya dianggukkan.
"Paksu balik dulu." pamitnya lalu sambung melangkah.
Erika tersenyum kecil. Dia menoleh ke arah tangga. Dia tahu Gina mencuri dengar perbualan di antaranya dan Rian itu.
"Kau pun masih sayangkan paksu, kan?" soalnya lalu kembali mengambil tempat duduk di atas sofa.
"Kalau ya pun, keluarga dia bukannya terima kau orang. Aku benci bila ada yang tak mampu terima kehadiran anak saudara aku dalam keluarga dia." luah Gina jujur. Dia turut melabuhkan punggungnya di atas sofa.
"Sweet juga kau ni ye." usik Erika cuba menceriakan suasana.
Gina hanya memutarkan bola matanya saja apabila mendengar pujian tersebut. Dia memerhati Erika yang mula menonton televisyen. Jika Suraya menjadi punca senyuman gadis itu hilang, dia ingin menjadi punca kepada kebahagiaan gadis itu. Dia sangat sayangkan Erfan dan Erika. Mereka berdua adalah segalanya buatnya.
ANDA SEDANG MEMBACA
Forelsket
RomansaRomance | On going Inspired by Secretly, Secretly But Unable To Hide It _________ Erika Dayana merupakan seorang gadis yang sering menyelesaikan masalah dengan kekerasan. Malah namanya juga sudah tidak asing lagi di bilik disiplin. Kerana sudah bebe...
