Erika melambai tangannya ke arah Keisha apabila gadis itu ingin melangkah masuk ke dalam perut kereta milik ayah temannya itu. Tali beg yang sedikit melorot jatuh dari bahunya dibetulkan. Tubuh dipusingkan untuk ke perhentian bas.
Tanpa dapat ditahan, senyumannya melebar apabila melihat sosok tubuh Thaqif yang berada di perhentian bas itu. Jejaka itu sedang elok bersandar pada salah satu tiang. Begitu ralit bermain dengan telefonnya.
Dengan penuh rasa teruja, dia berjalan menghampiri jejaka itu secara senyap-senyap. Kelihatan Thaqif masih berada di dalam dunianya sendiri.
"Oit." Telefon digunakan buat mencucuk bahu jejaka itu.
Thaqif pantas menoleh ke sisinya. Senyuman kecilnya terbentuk apabila gadis itu memunculkan diri. Dia mula berdiri tegak.
Segera Erika berdiri di sisi lelaki itu lalu memandang ke arah jalan. Begitu juga dengan Thaqif.
"Kenapa tiba-tiba datang?" tanya Erika penasaran. Bukan main teruja tadi dirinya apabila melihat jejaka itu.
Setiap kali melihat lelaki itu, dia tidak mampu menahan senyumannya daripada terukir di bibirnya. Perasaannya terhadap jejaka itu tidak mampu dinafikan lagi. Dia sudah jatuh suka kepada Thaqif Aqeel dan ini merupakan pertama kalinya dia mempunyai perasaan itu.
Namun, perasaan itu mampu dipendamnya saja. Dia masih seorang gadis yang bersekolah dan baginya usia semuda itu tidak seharusnya dia terlalu fokus dengan semua itu.
"Erfan kata Eri bodoh Matematik. Dia minta Qif ajarkan sebab SPM dah dekat." balas Thaqif.
Mati senyuman Erika. Dengusan kasar dilepaskan apabila mendengar balasan tersebut. Sangat menyakitkan hati.
Terlepas tawa Thaqif apabila melihat reaksi yang diekspresikan gadis itu. Sangat kelakar pada pandangan matanya. Dia tidak pernah kering gusi apabila melihat interaksi di antara Erfan dan Erika. Adik-beradik itu sangat lucu.
"Belajar lagi? Ini hujung minggulah, Qif. Eri baru habis kelas tambahan Matematik." rungut gadis itu dengan wajah tidak percaya.
"Nak berjaya, kena usaha." Beg sekolah gadis itu ditariknya apabila bas sudah pun tiba.
Dengan begitu pasrah, dia hanya mengekori saja. Thaqif yang membayar tambang bas itu diperhati. Dia sembunyi senyum.
Salah sebuah kerusi di sebelah tingkap menjadi pilihannya untuk melabuhkan duduk. Seperti biasa, Thaqif lebih memilih untuk berdiri di sebelah tempat duduk gadis itu saja.
"Tak nak duduk?" tawar Erika. Di sebelahnya masih ada kerusi kosong.
Thaqif menggelengkan kepalanya. Dia lebih selesa begitu. Mengawasi gadis itu dari situ.
Akhirnya, Erika hanya menganggukkan kepalanya saja. Dia bersandar dengan selesa.
"Eri ada buat masalah lagi dekat sekolah? Ada bergaduh?" soal Thaqif sekadar ingin mencari topik untuk mereka berbual berdua.
"Tak ada."
"Jangan bergaduh lagi tahu. Pergi sekolah sepatutnya belajar. Bukan bergaduh. Selepas itu, Qif juga yang tolong Eri." pesan jejaka itu.
Erika mencebik apabila dirinya dibebel oleh jejaka itu. Sama macam Erfan. Pasti Thaqif sudah berjangkit virus membebel abangnya itu.
"Dengar tak Qif cakap apa?" Matanya memincing memandang ke arah gadis itu. Geram saja dibuatnya apabila Erika selamba sahaja menguap di hadapannya.
Dasar budak kecil keras kepala.
"Daripada Eri panggil Qif dengan nama Qif. Lagi baik Eri panggil mama Qif. Sama macam abang. Membebel saja kerja. Patutlah berkawan." kutuknya selamba.
"Geramnya dengan dia ini. Menjawab saja kerja." Bahu gadis itu ditolaknya dengan menggunakan telefon di tangannya.
Tawa Erika terlepas. Dia menatap jejaka itu apabila tawanya kian reda.
"Tapi kalau Eri bergaduh pun, Eri kan dah kata yang Eri tak nak susahkan Qif lagi." sambungnya. Mengingatkan kembali jejaka itu tentang kata-katanya sebelum ini.
"Qif tak kisah kalau Eri nak susahkan Qif banyak kali pun." ungkapnya ikhlas. Senyumannya ditarik manis buat gadis itu.
Pantas Erika mengalihkan pandangannya. Jantungnya kembali menggila kerana kata-kata yang dilemparkan jejaka itu.
Tidak tahukah Thaqif bahawa setiap kata-kata dan perilaku jejaka itu sangatlah tidak sihat buat jantungnya. Sering saja jantungnya berdetak hebat apabila bersama lelaki itu.
Dia tidak tahu bahawa menyukai seseorang bakal sebahagia ini. Dan lelaki bernama Thaqif Aqeel itulah yang menyalurkan perasaan tersebut kepadanya tanpa disedari.
"Jom." Ajakan Thaqif itu berjaya mematikan lamunan Erika.
Pantas dia bangkit berdiri lalu mengekori langkah jejaka itu. Erika tidak menyoal lebih apabila mereka masuk ke dalam perpustakaan awam. Kelihatan dari jauh Erfan yang sedang sibuk mengulangkaji.
Dengan selamba, Erika menjentik dahi abangnya itu sebagai tanda sapaan. Siapa suruh menjadi punca untuk dia menghadap buku lagi?
Erfan menyentuh dahinya. Kekuatan adiknya itu memang tidak usah dinafikan lagi. Hampir setanding dengan lelaki.
Tangan diangkat ala-ala ingin memukul tetapi Erika tetaplah Erika. Tiada rasa takut di dalam diri gadis itu. Malah siap menjelirkan lidah lagi ke arah lelaki itu.
Pantas Thaqif menarik beg gadis itu memaksanya untuk duduk agar perbalahan di antara adik-beradik itu tidak tercetus. Pantang berjumpa ada saja ingin berkelahi. Dia turut mengambil tempat duduk di sebelah Erika.
"Macam anjing dengan kucing." gumamnya.
"Yang pasti anjing itu Erfan." celah Erika laju.
Erfan mengangkat bukunya. Berura-ura ingin melempar ke arah gadis itu. Peratus kesabarannya sememangnya semakin menipis apabila menghadap gadis itu. Ada saja cara adiknya itu untuk menguji kesabarannya.
"Sudah." Thaqif menghalang sahabatnya itu daripada meneruskan niat lelaki itu.
Senyuman kemenangan ditayang di hadapan Erfan. Puas hatinya apabila berjaya mencetuskan kemarahan jejaka itu. Satu pencapaian yang sangat membanggakan.
"Eri. Buka buku." arah Thaqif.
Erika hanya menurut. Buku rujukan dan kertas latihan yang diberikan gurunya dikeluarkan dari dalam beg. Dia sudah bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran tersebut walaupun dia tidak bersemangat.
"Soalan mana yang Eri tak faham? Biar Qif terangkan." soal Thaqif perlahan.
Erika mula menyelak mencari soalan yang baginya cukup sukar untuk difahami. Sudah beberapa kali dia mencubanya dan setiap kali itulah dia merasakan mahu mengoyakkan kertas latihan Matematiknya itu. Jiwanya sangat berkobar-kobar ingin mengoyakkan kertas latihan tersebut.
Penselnya mengetuk menunjuk soalan tersebut. Sudah kelihatan banyak bekas tulisan menggunakan pensel yang sudah dipadam. Nampaknya sememangnya Erika sudah beberapa kali mencuba untuk menjawab tetapi tidak menemukan jawapan yang tepat.
Anak mata mula bergerak membaca soalan tersebut. Pensel di tangan Erika diambilnya lalu dia mula mengajar gadis itu agar lebih faham.
Kepala Erika terangguk-angguk. Namun, konsentrasinya beralih ke arah jejaka itu yang sibuk mengajar. Dia mencuri pandang Thaqif.
"Fokus." Pensel mengetuk perlahan kepala Erika agar kembali fokus. Bukan dia tidak perasan gadis itu mencuri pandangnya. Entah apalah yang difikirkan gadis itu. Banyak main saja.
"Baik." sahut Erika lalu kembali menatap kertas latihannya. Dia tersenyum sendiri.
YOU ARE READING
Forelsket
RomanceRomance | On going Inspired by Secretly, Secretly But Unable To Hide It _________ Erika Dayana merupakan seorang gadis yang sering menyelesaikan masalah dengan kekerasan. Malah namanya juga sudah tidak asing lagi di bilik disiplin. Kerana sudah bebe...