Bahu Erfan ditepuk dari arah belakang. Jejaka dingin itu yang sedari tadi hanya termenung, mula mengangkat wajahnya.
"Aku ingat kau dah balik." ujar Erfan. Dia memerhati Thaqif yang mengambil tempat duduk di sebelahnya di atas bangku kayu itu. Pandangan kembali dialihkan menatap tasik yang sememangnya terletak di dalam universiti mereka itu.
"Belum lagi." Thaqif turut sama membuang pandangan ke arah tasik itu.
Kedua-duanya hanya diam. Sunyi terisi di antara mereka. Masing-masing hanya memutarkan kembali memori selama perkenalan mereka di dalam kepala.
"Jangan lupa aku, Qif. Jangan lupa aku yang selalu ada untuk kau. Jangan berdiam diri bila kau ada masalah." ucap Erfan.
Dia sudah kenal lama sahabatnya itu. Thaqif sememangnya sosok yang suka berdiam diri apabila masalah melandanya. Sehinggalah satu masa, barulah dia membuka mulut perihal itu.
"Aku tak janji." balas Thaqif perlahan.
"Kau selalu menghilang bila ada masalah. Setiap kali itu, aku selalu cari kau supaya kau tak rasa yang kau sendiri." tutur Erfan lagi.
Kali ini Thaqif benar-benar terdiam. Kata-kata Erfan ada benarnya. Dia sering menghilang jika mempunyai masalah. Dia cuma berharap dia mampu untuk melarikan diri dari semua masalah itu. Namun setiap kali dia menghilang, Erfan bakal menemuinya. Sering ada menjadi tulang belakangnya untuk dia kembali bangkit semula.
"Tak apa. Kalau kau menghilang lagi, aku akan tunggu kau. Aku tahu kau kuat." Erfan menepuk bahu Thaqif beberapa kali.
Thaqif tersenyum. Erfan sememangnya sahabat yang cukup memahami. Sayangnya mereka terpaksa berpisah kerana masa hadapan yang menuntut mereka untuk berpisah.
"Nanti aku akan datang sini semula. Aku dah terlalu sayang dengan tempat ini. Satu hari nanti, aku akan balik ke sini semula." bicara Thaqif lalu memeluk leher Erfan.
"Pegang kata-kata kau."
"Pernah ke aku mungkir janji? Masih ingat janji aku dengan kau lima tahun lalu? Aku tunaikan. Selepas itu, janji empat tahun lalu, aku tunaikan juga. Kalau tak, tak adanya aku dekat sebelah kau sekarang."
Erfan tersenyum dengan kata-kata sahabatnya itu. Kepalanya diangguk mengiyakan. Thaqif tidak pernah memungkiri janji. Sahabatnya itu seorang yang sering berpegang kepada kata-katanya.
"Kau dah jumpa Eri tadi? Dah ucap selamat tinggal?" tanya Erfan ingin tahu.
Kepala digeleng sebagai jawapan.
"Aku tak nak ucap selamat tinggal. Aku takut aku tak dapat jumpa dia atau kau lagi." jelas Thaqif. Baginya apabila mengucapkan 'selamat tinggal', ianya merupakan satu perpisahan yang abadi.
"Kalau kau menghilang lagi macam sebelum ini, kau tak rasa yang Eri akan sakit hati? Kalau aku tak apa, aku dah terbiasa. Tapi Eri mesti akan sedih. Kau dah macam keluarga kita orang."
"Entahlah, Fan." Thaqif menendang batu kerikil di atas jalan itu.
Sunyi kembali mengisi suasana. Thaqif memandang ke arah sisi wajah Erfan. Wajah dingin itu ditatapnya. Pandangan Erfan itu cukup kosong. Entah apa yang disembunyikan sahabatnya itu.
"Kalau kau ada masalah, jangan pendam seorang. Erika ada. Adik kau itu takkan suka kalau kau tak buka mulut tentang apa yang membebankan fikiran kau. Maksu pun ada. Walaupun dia nampak kasar, aku tahu sebenarnya maksu betul-betul peduli dengan kau orang berdua." Kini Thaqif pula memberi nasihat.
Senyuman nipis terbit pada dua ulas bibir Erfan. Kepalanya diangguk. Nampak gayanya Thaqif sudah perasan tentang apa yang disembunyikannya.
"Aku kadang-kadang keliru. Aku tak tahu jalan mana yang sepatutnya aku pilih." Keluhan dilepaskan oleh Erfan.

ANDA SEDANG MEMBACA
Forelsket
RomanceRomance | On going Inspired by Secretly, Secretly But Unable To Hide It _________ Erika Dayana merupakan seorang gadis yang sering menyelesaikan masalah dengan kekerasan. Malah namanya juga sudah tidak asing lagi di bilik disiplin. Kerana sudah bebe...