Tangan disilangkan ke dada sambil matanya dipincingkan menatap figura Erika yang sedang bersantai di atas sofa. Mentang-mentang sudah menamatkan zaman sekolahnya, bukan main lagi senang hidup macam anak raja.
Gina menghampiri gadis itu dari arah belakang. Dia menjenguk sedikit skrin telefon Erika. Entah apa yang anak saudaranya itu lihat sampai seronok begitu.
"Hoi!" Bahu Erika ditunjalnya.
"Hish! Kau ini! Nak apa?" Erika mengerling wanita itu. Ada saja mahu mengganggu.
"Bukan main seronok kau, ya? Goyang kaki macam anak raja. Cubalah tolong aku masak ke apa. Dah habis sekolah, kan?"
"Tak nak." balas Erika laju.
Gina membuat gaya ingin mencubit anak saudaranya. Geram betul dia dengan perangai Erika itu. Namun, gadis itu pantas mengelak daripada menjadi mangsa cubitan wanita itu.
"Aku pelik dengan kau ini. Kalau datang tegur aku tak marah, tak boleh agaknya. Datang saja mesti nak marah." komen Erika pedas. Dia kembali menatap skrin telefonnya.
"Sebab kau ini tak faham bahasa! Kalau aku cakap dengan kucing kau itu, dia lagi dengar kata aku daripada kau. Pemalas!" herdik Gina pedas. Bercakap dengan anak saudaranya ini sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi.
Erika hanya memutarkan bola matanya. Langsung tidak peduli dengan omelan wanita itu terhadap sikapnya.
"Maksu. Saya nak keluar." Erfan yang baru menapak turun dari tingkat atas mula berpamitan.
Serentak Gina dan Erika menoleh ke arah jejaka itu. Pantas Erika duduk tegak.
"Pergi mana? Aku nak ikut! Tunggu aku, Fan!" ujar Erika lalu dengan langkah yang besar, dia menapak naik ke tingkat atas.
"Geramnya aku dengan adik kau itu." gerutu Gina geram. Memang bebelannya hanya masuk telinga kiri, keluar telinga kanan sahaja. Buat membazir air liurnya saja.
Erfan hanya tersenyum nipis. Sudah biasa dengan suasana di dalam rumah itu. Siapa saja tidak pening dengan tingkah Erika yang kerasa kepala itu?
"Kita nak pergi mana, Fan?" soal Erika sebaik saja menanggalkan helmet dari kepalanya. Rambut yang sedikit serabai mula dirapikan.
"Kau nampak kita depan mall ini? Rasa macam aku nak bercucuk tanam ke dekat sini?" balas Erfan sarkastik. Adiknya dijeling. Helmet di tangan gadis itu dicapai.
Mencebik Erika dibuatnya apabila mendengar sindiran tersebut. Tanya pun salah. Tali beg silangnya dipegang lalu langkah kaki abangnya itu mula diekori.
Senyumannya melebar saat anak matanya menjamu wajah Thaqif dan Qaseh yang menanti di hadapan pintu pusat beli-belah tersebut. Laju dia merapati jejaka itu dengan teruja.
"Qif!" tegurnya cukup gembira.
Thaqif melambai tangannya ke arah gadis itu yang sudah berdiri di hadapannya. Dia berpandangan dengan Qaseh sebentar. Hanya senyuman yang ditayang di hadapan sepupunya itu.
Terjongket naik hujung bibir Erfan apabila melihat betapa terujanya adiknya itu setiap kali bertemu dengan Thaqif, sahabatnya. Isyarat diberikan kepada Thaqif untuk mereka melangkah masuk ke dalam pusat beli-belah itu.
"Dia orang nak beli baju untuk hari graduasi nanti." Qaseh berjalan di sebelah Erika.
"Qaseh?" soal Erika pula.

ANDA SEDANG MEMBACA
Forelsket
Storie d'amoreRomance | On going Inspired by Secretly, Secretly But Unable To Hide It _________ Erika Dayana merupakan seorang gadis yang sering menyelesaikan masalah dengan kekerasan. Malah namanya juga sudah tidak asing lagi di bilik disiplin. Kerana sudah bebe...