24

53 8 0
                                    

Beg dicampak ke atas sofa. Punggung dilabuhkan di sebelah begnya. Erfan memandang ke arah Thaqif yang baru saja melangkah masuk ke dalam rumah sewa miliknya itu.

"Kau yang bayar duit sewa rumah ini?" soal Thaqif kepada sahabatnya itu. Dia ingatkan setelah dia memberitahu tuan rumah bahawa dia tidak akan lagi menyewa di situ, dia sudah tidak menjejakkan kaki lagi di situ. Rupanya Erfan yang membayar dan menyewa atas namanya.

"Aku sayang rumah ini." tutur Erfan perlahan sambil memandang ke arah bingkai gambarnya dan Thaqif yang terletak di atas meja kopi itu.

Dulu ketika mereka di zaman universiti, rumah itulah yang sering menjadi tempat persinggahannya jika dia tidak larat ingin pulang ke rumah apabila menyiapkan assignment yang berlambak. Rumah itulah yang bakal menjadi tempat tidurnya untuk melepaskan lelah.

"Kau dekat sini sampai bila?" tanya Erfan ingin tahu.

"Hari graduasi saja." Thaqif mengisi tempat kosong di sebelah Erfan. Dia turut sama merenung gambar mereka berdua yang menghiasi meja kopi tersebut.

Erfan mendiamkan diri. Bermakna, tiga hari lagi. Waktu yang cukup singkat. Mereka sudah menginjak dewasa. Ada komitmen lain yang perlu mereka lebih pentingkan.

"Waktu aku pergi itu, ibu aku sakit. Qaseh cuba telefon aku tapi aku tak jawab. Aku ingat dia macam ibu, nak cakap tentang hal perkahwinan aku dengan Atiya. Jadi Atiya datang cari aku. Waktu itu pula kebetulan memang dia nak balik rumah dia. Jadi aku tumpang." Thaqif memulakan ceritanya.

Pandangan dialihkan memandang sisi wajah Thaqif. Wajah itu kelihatan mendung saja.

"Selepas ibu dah sihat dan keluar hospital, aku nak balik ke sini semula tapi nenek aku halang. Dia beri pilihan. Antara aku kahwin dengan Atiya atau tak jejakkan kaki lagi dekat rumah itu untuk jumpa ibu dan Qaseh." Senyuman hambar ditayang.

Thaqif mengeluh perlahan. Dia benar-benar tersepit dengan keadaan.

"Dan kelmarin, aku ingat hari jadi Eri. Aku dah janji dengan dia untuk sambut bersama-sama. Jadi aku ajak Qaseh untuk teman aku sebab aku tak nak nenek marahkan aku dan tunaikan kata-kata dia. Aku masih nak jumpa ibu dengan Qaseh."

"Kau masih tak tahu alasan sebenar kenapa nenek kau suruh kau dan Atiya kahwin?" tanya Erfan.

Kepalanya digelengkan. Thaqif bermain dengan jari-jemarinya.

"Apa yang aku tahu, keluarga kita orang terhutang budi dengan keluarga Atiya. Itu saja. Nenek macam sembunyikan sesuatu dan sampai sekarang aku masih tak tahu alasan sebenar." terangnya.

Bibirnya diketap. Berura-ura ingin menyampaikan apa yang bermain di dalam fikirannya.

"Fan." panggil Thaqif perlahan. Skrin telefonnya dihalakan ke arah sahabatnya itu.

Erfan menoleh. Dia menatap telefon Thaqif itu. Kedua-duanya terdiam. Tidak ada seorang pun yang bersuara lagi.

Suasana di antara dua orang gadis itu hanya sunyi saja. Sejak tadi, mereka berdua hanya berjalan beriringan tetapi kedua-duanya hanya mengunci rapat mulut mereka.

"Aku tertanya-tanya. Kau dah kenal Qif berapa lama?" Akhirnya, Qaseh bersuara. Tidak betah rasa sunyi mengisi suasana di antara mereka itu.

Dia juga ingin tahu sejak bila gadis itu mengenali sepupunya itu. Thaqif langsung tidak pernah bercerita dengannya berkaitan adik-beradik. Jadi dia ingin tahu.

"Hampir setahun. Masa itu Qif datang rumah buat pertama kalinya. Dari situ kita orang kenal." jelas Erika. Dia tersenyum kecil. Jika diingat balik, kisah pertemuan mereka cukup lucu.

ForelsketWhere stories live. Discover now