31

82 6 1
                                    

Tawa kecil terlepas dari bibir Gina sewaktu dia menonton siaran drama di televisyen itu. Erfan dan Erika yang baru saja selesai mengemas dapur mula menyertai ibu saudara mereka di ruang tamu itu.

"Gelak, gelak. Seronok sangatlah tu." tegur Erika.

"Suka hati aku lah. Bising je mulut kau." balas Gina. Gadis itu dijelingnya menyampah.

"Kau selalu tegur aku macam tu boleh pula?"

"Ikut suka aku lah." Bantal kecil dilempar ke arah gadis itu. Senyuman ditahan apabila bantal kecil tersebut tepat mencium wajah Erika.

"Kau ni..." Tangan sudah bersiap sedia ingin membalas tetapi Erfan lebih pantas merampas bantal kecil tersebut dari tangan Erika.

"Sudah." ujar Erfan.

Erika menarik muka apabila abangnya itu membela Gina. Pandangan dialihkan ke arah meja kopi di hadapannya. Plastik kecil berwarna putih itu dicapainya. Plastik yang terdapat logo klinik itu mula dilihat isinya.

"Kau tak makan ubat lagi?" soal Erika apabila kelihatan ubat tersebut belum mempunyai tanda-tanda sudah disentuh.

"Sekejap lagi." balas Gina. Matanya begitu fokus menatap skrin televisyen. Kiri dan kanan pelipis kepalanya dipasang koyok.

Erfan mengambil bungkusan tersebut dari tangan Erika. Ingin melihat ubat-ubatan yang wanita itu dapat daripada doktor.

"Makan ubat maksu." arah Erfan. Tangan wanita itu ditarik lalu setiap jenis ubat diletakkan sebiji di atas telapak tangan wanita itu.

Kaki melangkah ke arah dapur lalu segelas air dibawa bersamanya kembali ke ruang tamu. Gelas tersebut dihulur ke arah Gina.

"Haih. Aku tahulah nak makan. Kau buat aku macam budak-budak." bebel Gina tetapi tetap jua arahan anak saudaranya itu diturutinya.

"Biar cepat baik, maksu." tutur Erfan sebelum kembali mengambil tempat duduk di atas sofa.

Gina tidak membalas. Dia kembali menonton televisyen. Erfan turut sama menatap skrin televisyen tersebut.

Anak mata Erika tidak lepas dari menatap Gina. Bibirnya terkatup rapat. Ditilik wajah wanita itu dari kejauhan. Kemudian, dia menatap ke arah tangan yang terdapat beberapa parut.

Jika difikir kembali, sudah cukup lama Gina menjaga mereka. Tidak seperti ibu kandung mereka yang langsung tidak menunjukkan batang hidung selepas meninggalkan mereka.

Walaupun dia dan Gina sering bertikam lidah, tetapi tidak bermakna dia tidak menyayangi wanita itu. Wanita itu bagaikan sosok seorang ibu buatnya dan Erfan.

Terlalu banyak yang Gina pertaruhkan di dalam hidupnya untuk membesarkan mereka. Budi wanita itu tidak mampu dia balas. Kerana Gina ialah segalanya buat mereka. Di saat ibu kandung mereka meninggalkan mereka, Gina yang menerima dan menjaga mereka tanpa mengeluh.

"Gina." panggil Erika kepada wanita itu yang begitu fokus dengan siaran dramanya.

"Apa?" Gina membalas ringkas. Dia juga hanya memandang gadis itu sekilas.

"Kau tak nak kahwin lagi?"

Pandangannya beralih ke arah Erika. Tawa kecilnya terlepas. Merasakan begitu lucu dengan soalan tersebut.

"Haah, maksu. Maksu tak terfikir nak kahwin lagi?" Erfan menyokong soalan yang dilontarkan adiknya itu. Kucing yang berada di atas ribanya dibelai lembut.

"Kau orang dah kenapa? Buang tabiat?" sindir Gina.

Tawanya terhenti apabila melihat wajah serius Erfan dan Erika. Terasa begitu canggung apabila topik perkahwinan menjadi bualan mereka secara tiba-tiba.

"Aku tak rasa nak kahwin lagi. Ada dua mahluk yang aku nak bela dalam rumah ni." ujarnya.

"Maksu muda lagi. Masih 38 tahun." celah Erfan.

"Merepeklah kau ni. Malas aku nak layan." Wajahnya beralih menghadap hadapan semula. Dia berdecit perlahan apabila dramanya sudah pun tamat tanpa dia tahu jalan cerita.

"Kau orang lah ni punca. Aku tak sempat nak tengok tapi dah tamat. Aku masuk bilik dululah." sambungnya lalu bangkit berdiri. Langkah dibawa meninggalkan adik-beradik itu di ruang tamu.

"Aik kita pula yang kena?" protes Erika tidak puas hati. Alat kawalan jauh dicapai lalu siaran televisyen ditukar.

"Nanti tutup lampu ruang tamu." pesan Erfan. Kucing milik Erika dibawa bersamanya naik ke tingkat atas.

"Eh kucing aku!"

"Dia tidur dengan aku malam ni!" tutur Erfan dari tingkat atas.

"Tch." Erika berdecit perlahan.

Gina menutup pintu biliknya perlahan sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik tidurnya. Terngiang-ngiang di dalam fikirannya akan perbualannya bersama anak-anak saudaranya itu.

Telefonnya diletakkan di atas katil lalu dia berjalan ke arah almari bajunya. Di salah sebuah laci, terdapatnya sebuah album yang disimpannya tanpa diketahui Erfan mahupun Erika. Dia kembali mengambil tempat duduk di atas katil.

Helaian pertama album tersebut mula diselaknya. Gambar-gambar tersebut diisi oleh wajahnya, arwah ayahnya, Puan Zahara dan Suraya. Kemudian, dia menyelak ke helaian seterusnya. Terdapat wajah Erfan dan Erika sewaktu mereka di bangku sekolah.

Terlepas tawa kecilnya melihat wajah Erfan tanpa reaksi dan Erika dengan wajah masamnya. Sehingga sekarang sikap kedua-duanya masih sama. Erfan yang tidak suka menunjukkan sebarang reaksi. Sering saja menayang wajah kosongnya. Dan Erika yang sering melawan dan cukup keras kepala.

Sudah enam tahun anak-anak saudaranya itu di dalam jagaannya. Dia yang menggalas tanggungjawab itu selepas kepergian Puan Zahara.

Album tersebut diselaknya lagi. Sekadar ingin menggamit kenangan dahulu. Akhirnya dia tiba pada helaian yang terakhir. Senyuman pudar apabila melihat foto-foto yang mengisi helaian terakhir itu.

Disentuh perlahan foto wajahnya yang tersenyum lebar di dalam busana berwarna putih itu. Wajah lelaki yang berbaju melayu putih lengkap bersamping dan bersongkok itu turut disentuhnya.

ForelsketWhere stories live. Discover now