25

64 8 0
                                    

"Abang." Bilik tidur Erfan itu diterjah tanpa mengetuk terlebih dahulu. Kelihatan sosok tubuh jejaka itu yang sedang bersandar di atas katil. Belakang tubuh disandarkan pada kepala katil manakala kaki pula diunjurkan lurus.

"Hm." gumam Erfan perlahan. Dia begitu ralit bermain permainan video di dalam telefonnya. Anak matanya kekal fokus di skrin telefon.

"Aku suka Qif." luah Erika jujur tanpa berselindung lagi.

"Kau merepek apa ini, dik?" Senyuman sinis tersungging di bibir Erfan. Entah apa-apa sajalah adiknya itu. Ada terhantuk di mana-manakah?

Erika mendengus geram apabila abangnya itu langsung tidak menganggap kata-katanya itu dengan serius. Dia menyeluk tangannya ke dalam poket seluar. Tangannya menghulur gambar polaroid milik Thaqif itu.

"Abang. Ini siapa?" soalnya ingin tahu.

Erfan mengerling sekilas sebelum kembali fokus pada permainan videonya. "Tunang."

Retak seribu hati Erika apabila mendengar balasan abangnya itu. Bibirnya diketap rapat. Segera tubuhnya dipusingkan dan melangkah keluar dari dalam bilik Erfan.

"Aku dah kata yang kau akan kalah. Rasakan." cemuhnya kepada pihak lawannya. Jarinya begitu laju bergerak di atas skrin telefon yang dipegang secara melintang itu. Langsung tidak peduli dengan kepergian adiknya itu.

Keluhan berat dihela perlahan. Erika menyandarkan belakang tubuhnya di tepi katil. Gambar polaroid tersebut direnungnya dengan seribu satu rasa yang tidak mampu dia luahkan.

Patung dinosour yang terletak elok di atas katil itu dicapainya. Ditatap wajah patung dinosour pemberian Thaqif itu.

"Qif dah bertunang?" ujarnya perlahan dengan rasa kecewa yang kini tidak usah kata menggunung tinggi.

Tidak pernah terjangkau dek akal bahawa selama ini dia menyukai seseorang yang sudah pun bertunang. Tidak pernah sekali pun Thaqif membuka topik perihal status lelaki itu.

Sedih. Perasaan sedih sudah menggebu di dada. Perasaan itu kian memberat menghempap dadanya.

Bibirnya dikemam rapat. Sehabis baik cuba untuk tidak terlalu melayan perasaannya.

"Sampai hati tak pernah bagitahu aku tentang hal ini." rintihnya sendirian. Dahinya direhatkan pada patung dinosour tersebut. Kepala lututnya ditarik rapat ke dadanya.

Bagaimana dia mahu melupakan jejaka itu? Ini pertama kalinya dia menyukainya seseorang. Dan ini pertama kalinya dia merasakan patah hati. Apakah ada cara yang cukup mudah dan pantas untuk dia melupakan perasaannya terhadap Thaqif?

Telefon yang berdering nyaring mengisi suasana yang suram itu. Erika mengangkat kepalanya. Tangannya meraba-raba mencari keberadaan telefonnya yang diletakkan di atas katil.

Apabila jari-jemarinya bersentuhan dengan permukaan yang keras, terus saja dia mencapainya. Nama si pemanggil dilihat. Thaqif.

Baru saja memikirkan tentang lelaki itu, kini dia sudah memunculkan diri. Akhirnya, Erika tetap jua mengangkat panggilan tersebut dengan hati yang berat.

"Hello." tegurnya kepada jejaka itu.

"Eri datang graduasi Qif dengan Fan nanti?" soal jejaka itu di hujung talian.

"Kenapa?" soalnya ingin tahu.

"Tak ada. Saja tanya. Eri datang, kan?" Thaqif di hujung talian sana kedengaran begitu mengharap bahawa dia bakal datang ke hari graduasi jejaka itu dan Erfan.

"Datang." kendur suaranya. Entah apa yang dia harapkan daripada lelaki itu untuk menjawab persoalannya tadi.

Jari telunjuk mencucuk-cucuk wajah patung dinosour tersebut. Talian masih lagi bersambung tetapi tidak ada seorang pun yang bersuara. Bagaikan sudah mati topik begitu saja. Sebelum ini, ada saja yang menjadi topik perbualan mereka tetapi detik ini sepertinya tidak lagi.

Masih terngiang-ngiang di dalam kepala Erika bahawa lelaki yang berada di hujung talian sana merupakan tunangan orang. Lelaki yang sama dia sukai dalam diam. Lelaki yang sama juga mematahkan hatinya tanpa lelaki itu sedari.

"Eri."

"Ya."

"Eri okey?" soal Thaqif prihatin.

"Kenapa pula tak okey?" Soalan dibalas dengan soalan.

"Siang tadi Eri nampak macam tak okey. Sakit sangat ke luka jatuh tadi?"

"Okey. Eri okey." Pantas Erika memintas. Bertambah-tambah rasa kecewanya.

Bagaimana dia ingin melupakan perasaannya jika sikap prihatin Thaqif itu yang membuatkan dia jatuh hati terhadap lelaki itu? Jika Thaqif sering bersikap begini, semakin sukar perasaan itu bakal hilang.

"Eri nak tidur." ujarnya untuk menutup panggilan tersebut. Tidak mahu berlama-lama berbual bersama lelaki itu secara di atas talian itu.

"Selamat malam." ucap Thaqif lembut di hujung talian sana.

Erika pantas menamatkan panggilan. Langsung tidak membalas ucapan tersebut. Patung dinosour di pangkuanya pantas dicampak ke atas katil.

"Hish! Kalau aku tahu dia tunang orang, aku takkan suka dia!" marahnya sendirian.

Pandangan tajam dilemparkan ke arah patung dinosour dan patung arnab yang terletak di tengah-tengah katil itu. Sakit hatinya melihat patung-patung tersebut. Kedua-duanya merupakan pemberian jejaka itu.

"Jahat! Tak tahu ke cara dia layan itu yang membuatkan aku suka dia? Tapi tahu-tahu rupanya dah ada tunang!" Bantal dicapai lalu dipukul-pukul patung-patung tersebut dengan kuat. Melampiaskan rasa tidak puas hatinya.

Tok! Tok! Tok!

"Siapa pula mengacau aku ini?" gumamnya marah.

Bantal yang berada di dalam pegangannya dilepaskan. Langkah diatur ke arah pintu. Tombol pintu dipulasnya dengan kasar.

"Apa?" soalnya dengan suara yang naik seoktaf.

Erfan yang berada di hadapan pintu tersentak dengan bentakkan tersebut. Kelihatan sepertinya mood adiknya itu tidak berada dalam keadaan yang begitu baik.

"Kenapa kau bising malam-malam? Nanti maksu terjaga. Maksu pula yang bising. Lagi satu kau menganggu fokus aku nak main game." tuturnya kepada gadis itu.

"Sibuk!" Erika menghempas pintunya geram. Dia juga sakit hati dengan abangnya itu yang langsung tidak membuka mulut perihal status Thaqif yang sudah menjadi tunangan orang selama ini. Kedua-dua lelaki itu sama saja!

Nampaknya memang dia yang kelihatan bodoh kerana tidak tahu-menahu perihal tersebut. Dia yang membodohkan diri sendiri kerana menyukai Thaqif dalam diam.

Terjongket sebelah kening Erfan dengan kelakuan Erika. Kepalanya digeleng perlahan.

"Memang sah kena rasuk syaitan." bicaranya. Terangguk-angguk kepalanya bersetuju dengan ungkapannya barusan tadi.

Skrin layar telefon kembali dipandangnya. Permainan video yang terhenti, kembali disambungnya. Kaki menapak kembali ke arah biliknya.

"Tak pandai main, ke? Asyik mati saja." cemuhnya.

ForelsketWhere stories live. Discover now