Buku ditutup apabila dia sudah merasakan lelah. Mendengar saja pintu rumah yang ditutup rapat, pantas dia menoleh. Kelihatan wajah Erfan yang cukup kepenatan.
Erika hanya memerhati abangnya yang mengambil tempat duduk di atas sofa. Penampilan jejaka itu juga sudah tidak serapi pagi tadi. Tali leher entah ke mana. Rambut pula sudah kelihatan serabai.
"Penat." keluh Erfan sendirian. Kedua belah matanya dipejam rapat sebentar untuk melepaskan lelahnya buat seketika.
Senyuman terbentuk apabila kucingnya, Mary menggesel di kakinya. Pantas Erika mengangkat Mary naik ke atas ribanya dan dibelai manja.
"Maksu tak balik lagi?" tanya Erfan apabila dia tidak melihat ibu saudaranya itu. Matanya dicelikkan memandang adiknya itu.
"Dah. Gina dah tidur." balas gadis itu.
Belaian Erika terhenti. Senyuman yang tadi terukir indah kian memudar. Tiba-tiba saja dia teringatkan Thaqif.
Sejak kepergian lelaki itu waktu itu, batang hidung Thaqif sudah tidak kelihatan lagi. Thaqif terus saja pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal. Lebih teruk lagi, Erfan memberitahunya bahawa jejaka itu sudah pun pulang ke negeri asalnya.
"Qif ada mesej kau?" soalnya ingin tahu.
Dia rindukan sosok jejaka itu. Untuk bertanya khabar, dia merasakan bahawa dirinya tidak sepenting itu di dalam hidup lelaki itu. Apatah lagi sejak kepergian lelaki itu, tidak sekalipun Thaqif menghantar mesej kepadanya.
"Tak. Dah lama. Mungkin dia sibuk." tutur Erfan perlahan.
Retina matanya menatap tepat ke arah siling. Pandangannya melekat di situ. Dia tidak tahu apa yang sahabatnya itu sorokkan daripadanya tetapi dia merasakan sedikit kecewa.
Bukankah Thaqif sudah berjanji kepadanya untuk tinggal di sini sehingga mereka graduasi? Tetapi mengapa sahabatnya itu pergi tanpa berpamitan?
"Kenapa tak tidur lagi? Dah lewat." ujar Erfan kepada adiknya itu. Cuba untuk melupakan sebentar hal berkenaan Thaqif itu.
Jika dia bertemu dengan sahabatnya itu, memang habis lelaki itu disekehnya. Berani-berani pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal. Geram saja dia dibuatnya.
"Baru siap study." balas Erika ringkas. Mary dibaringkan di atas karpet itu. Kelihatan kucingnya itu mula tertidur pulas.
Senyuman nipis terbentuk apabila abangnya itu cuba mengalihkan topik berkaitan Thaqif. Mereka mempunyai kekecewaan sendiri.
Dia masih tertanya-tanya tentang punca lelaki itu pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal. Mengapa sehingga kini Thaqif tetap berdiam diri? Dia fikir mereka sudah cukup dekat.
Keluhan dilepaskan. Buku-bukunya mula dikemas. Esok merupakan peperiksaan terakhirnya sebelum dia menamatkan zaman persekolahannya. Tanpa sedar Thaqif sudah cukup lama meninggalkan mereka.
"Hm. Terus tidur. Jangan main telefon. Esok nak bangun awal." pesan Erfan sambil memerhati gadis itu yang sudah mengangkat buku-buku untuk dibawa ke tingkat atas.
"Okey." sahut Erika perlahan.
"Eri."
Panggilan itu membuatkan Erika kembali memutarkan tubuhnya kembali menatap Erfan. Sebelah keningnya dijongketkan.
"Selamat hari jadi." ucap Erfan dengan senyuman nipis.
Pantas kepala Erika menoleh ke arah jam yang tergantung di dinding. Tepat jam 12 malam. Senyuman di bibirnya terukir.
"Dah naik sana." arah Erfan bersama isyarat tangan.
Erika kembali berpaling. Kaki mula menapak ke tingkat atas menuju ke bilik tidurnya. Buku-bukunya diletakkan di atas meja belajarnya.
YOU ARE READING
Forelsket
RomanceRomance | On going Inspired by Secretly, Secretly But Unable To Hide It _________ Erika Dayana merupakan seorang gadis yang sering menyelesaikan masalah dengan kekerasan. Malah namanya juga sudah tidak asing lagi di bilik disiplin. Kerana sudah bebe...