08

70 9 0
                                    

Tubuh remaja itu jatuh tersungkur ke tanah apabila ada tangan yang melepaskan tumbukan ke arah wajahnya dengan begitu padu. Erfan meringis kesakitan apabila dia merasakan pipinya merasakan kebas dan hujung bibir yang merasakan perit.

Dia terdorong ke hadapan apabila kolar baju sekolahnya digenggam kuat. Pandangannya tajam menikam senior tingkatan lima itu.

"Berani kau pandang aku macam itu? Aku suruh kau bagi aku duit tapi tak nak. Itu balasannya." ujar pelajar lelaki itu.

"Kau tak malu ke minta dekat budak tingkatan tiga? Kau dah tak ada duit sangat, ke?" sindir Erfan pedas dengan cukup berani.

"Kurang ajar." Buku limanya diangkat tinggi apabila dia merasakan tercabar dengan budak lelaki tersebut.

Buk!

"Argh!" Kepala disentuh. Pelajar lelaki tingkatan lima itu memegang belakang kepalanya yang terasa berdenyut.

Erfan tersentak apabila melihat botol air mineral yang masih belum dibuka itu bergolek di atas tanah. Pantas dia menoleh ke arah si pelaku yang membaling botol air mineral tersebut.

Dirinya tersentak apabila melihat kanak-kanak perempuan itu yang rupanya menyerang. Apabila seniornya itu ingin bangkit menyerang pantas dia menahan. Tidak mahu Erika diapa-apakan.

"Lepas!" Tengking pelajar lelaki itu. Dengan sepenuh tenaganya, tubuh Erfan ditendangnya kuat sehingga terbaring.

Penumbuk dikepal kuat apabila melihat abangnya itu dipukul sehingga sebegitu rupa. Erika mengambil langkah lalu dia mula berlari dan menendang kuat tubuh lelaki itu seperti yang dipelajarinya di dalam kelas taekwondo hari ini.

Senyuman puas terlakar di bibirnya apabila tubuh itu tersungkur di atas tanah. Jejaka itu pantas dihampiri.

"Aku akan call polis kalau kau berani pukul dia lagi. Aku tak akan teragak-agak dan aku tak main-main." gertak Erika dengan tegas.

Telefonnya dikeluarkan lalu dia menunjuk rakaman video bagaimana pelajar lelaki itu memukul abangnya dan meminta duit. Telefonnya disimpan ke dalam poket seluarnya.

Dia terus membantu Erfan untuk bangun. Senyuman terbit apabila lelaki itu tidak berkutik membalas. Pasti gentar dengan gertakkannya.

Adik-beradik itu melangkah pergi dari situ. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki bas, tidak ada seorang pun yang bersuara.

Langkah Erika dikejar lalu lengan adiknya itu ditarik apabila gadis itu ingin membuka pintu pagar rumah mereka itu. Erfan menatap gadis itu tajam.

"Kenapa Eri pukul dia?" soal Erfan sedikit garang.

"Dah dia pukul abang. Eri pukullah dia balik." balas Erika sakit hati. Sudah dibantu malah dimarahi. Langsung tidak bersyukur.

"Kalau ibu tahu, mesti ibu akan marah." ujar Erfan lagi.

"Siapa peduli? Ibu saja lupakan kita. Tengoklah dia kahwin baru. Selepas itu, ke luar negara. Kita pula sesenang itu saja dia suruh nenek jaga." balas Erika dengan rasa marah yang terbuku di hati.

"Jaga mulut Eri!" tengking Erfan cukup marah.

"Betullah apa yang Eri cakap! Kenapa? Ingat Eri masih 12 tahun tapi macam itu saja ke Eri boleh diperbodohkan? Kalau betul ibu sayang kita, dia takkan tinggalkan kita! Dia akan bawa kita sekali!" bentaknya dengan nada tinggi.

"Erfan. Erika. Kenapa bergaduh ini?" Wanita tua itu berlari keluar dari rumah apabila mendengar pertengkaran di antara cucu-cucunya itu.

"Tak ada apa." balas Erika sedikit kasar kepada neneknya itu. Wajah abangnya ditatap buat kali yang terakhir sebelum dia masuk ke dalam rumah.

ForelsketWhere stories live. Discover now