Pintu dibuka dengan anak kunci di tangannya lalu tombol dipulas untuk menguak pintu rumah yang tertutup rapat. Plastik yang diletakkan di atas lantai itu diambil kembali.
Suis lampu dihidupkan lalu pintu kembali ditutup. Thaqif melangkah ke arah dapur untuk menyusun semua barang-barang dapur yang dibelinya tadi.
Usai dia menyelesaikan kerjanya yang satu itu, tubuhnya direbahkan di atas katil melepaskan lelah. Matanya dipejam rapat.
Ting!
Matanya dicelikkan kembali. Telefon yang berada di sisi kepalanya dicapai untuk melihat notifikasi yang baru saja masuk. Mesej yang dihantar daripada Atiya itu dibaca.
Keluhan dilepaskan apabila dia mendapat panggilan daripada ibunya. Panggilan segera diangkat.
"Baru balik dari beli barang." ujarnya usai menjawab salam. Matanya dipejam rapat.
"Qif dah tengok. Atiya hantar tadi. Tak cepat sangat, ke? Qif ingat nak tinggal dekat sini dulu dan intern dekat sini. Selepas dah graduate nanti, baru Qif balik sana."
Lengannya direhatkan di atas dahi. Setiap bait bicara ibunya didengar dengan baik.
"Qif janji selepas Qif graduate, Qif akan balik sana. Bagi Qif masa." tuturnya cuba menabur janji.
Keluhan lega dilepaskan. Panggilan dimatikan.
Ting!
Ruangan mesej di antaranya dan Erika dibuka. Senyumannya terbentuk manis apabila gadis itu menghantar gambar tiga keping tiket untuk ke taman hiburan itu.
Segera nombor telefon gadis itu ditekan untuk membuat panggilan. Telefon kembali dilekapkan ke pada telinganya.
"Untuk Qif sekali, ke?" soalnya. Badannya mengiring ke arah kanannya. Tangan kanannya pula dijadikan sebagai alas kepalanya.
"Haah. Fan yang belikan. Tak tahu kenapa dia itu tiba-tiba saja jadi baik. Buang tabiat agaknya." balas Erika di hujung talian.
Thaqif melepaskan tawa kecilnya kerana terhibur.
"Kau kutuk abang?"
"Betullah. Abang! Pulangkan balik telefon aku!"
"Kau jangan layan budak gila ini, Qif." tutur Erfan di dalam talian pula.
Perbalahan adik-beradik itu hanya didengari dengan selang tawanya saja. Benar-benar terhibur dengan adik-beradik itu yang tidak lepas daripada bertikam lidah.
"Qif. Nanti jumpa esok tahu. Eri naik bas. Malas nak naik dengan Fan. Dia itu bawa motor macam nak ajak orang pergi mati saja gayanya." omel Erika dengan nada tidak puas hati.
Sekali lagi tawa Thaqif terlepas. Benar-benar tidak kering gusi apabila berteman dengan adik-beradik itu. Ada saja yang mampu membuatnya geli hati dengan tingkah mereka.
Setiap kali dirinya bersama mereka, dia benar-benar merasakan bahawa itulah dirinya yang sebenar. Langsung tidak berselindung sama sekali dengan kepura-puraannya.
Erfan dan Erika sangat baik dengannya. Begitu juga Gina. Mereka melayannya seperti dirinya merupakan sebahagian daripada mereka bertiga seperti sebuah keluarga.
Erfan lah orang pertama yang menegurnya dan menjadi rapat dengannya. Walaupun lelaki itu seorang yang hati batu tetapi sahabatnya itu cukup baik dengannya.
Erika pula. Walaupun pada permulaannya dia ditipu dan dimanfaatkan oleh gadis itu tetapi sebenarnya gadis itu cukup baik. Luarannya nampak agak kasar tetapi sebenarnya Erika seorang gadis yang sangat penyayang dan sangat peduli kepada orang sekelilingnya.
Tidak lupa juga Gina. Wanita itu sangat baik dan sering menjemputnya untuk makan bersama-sama di rumah wanita itu. Sama seperti Erika. Hanya luaran sahaja kasar tetapi sebenarnya seorang yang penyayang.
"Jumpa esok. Selamat malam." ucapnya sebelum menamatkan panggilan.
Matanya segera dipejam kembali apabila mengantuk sudah menguasai dirinya.
Rambut yang sedikit serabai kerana ditiup angin dirapikan. Erika masih setia menanti bas awam yang akan membawanya ke taman hiburan itu tiba.
Apabila bas tiba, segera dia membayar tambang. Mata melilau mencari tempat duduk kosong tetapi sudah penuh. Senyumannya melebar apabila pandangan matanya menangkap Thaqif yang menggamitnya untuk merapati lelaki itu. Segera dia menapak menghampiri lelaki itu.
Thaqif segera bangkit dari duduknya untuk memberi ruang kepada Erika duduk. Dia pula berdiri di sebelah tempat duduk gadis itu dan memegang pemegang tangan di dalam bas tersebut.
"Kenapa Qif tak naik motor?" soal Erika ingin tahu.
"Saja. Rasa malas nak naik motor. Biar Qif teman Eri." ujarnya dengan senyuman.
Erika menyembunyikan senyumannya. Hatinya sedikit merasakan berbunga-bunga apabila jejaka itu mengatakan sebegitu rupa.
Pandangan dibuang ke luar tingkap. Menikmati perjalanan mereka yang menuju ke taman hiburan itu yang berada di tengah bandar.
Sebaik sahaja tiba di destinasi mereka, sudah terlihat Erfan yang menanti mereka di luar tapak taman hiburan itu. Jejaka itu sedang menyilangkan tangan ke dada dengan wajahnya yang ditayang dingin itu.
"Lambat betul. Kau orang ingat aku ini apa? Tugu negara nak diri lama-lama?" bebel Erfan.
Erika menggulingkan bebola matanya ke atas tanda menyampah. "Dasar orang tua kuat membebel."
"Argh!" jeritnya apabila Erfan bertindak menyekehnya dengan buku lima lelaki itu. Sakit tahu, tak?
"Dah, jangan bergaduh. Jom, masuk." ajak Thaqif cuba menghalang daripada pergaduhan di antara adik-beradik itu tercetus.
Ketiga-tiganya mula melangkah masuk ke dalam taman hiburan itu usai menunjukkan tiket. Erika kelihatan cukup seronok apabila melihat semua permainan di situ.
"Kenapa tiba-tiba kau ajak kita orang datang sini?" tanya Thaqif sambil berjalan seiring dengan sahabatnya itu.
"Bila kau beri nasihat dekat aku, aku sedar sesuatu. Eri tak salah. Cuma disebabkan masa lalu dia yang buatkan dia jadi macam sekarang. Sedangkan semua tindakan yang dia buat, ada niat baik." jelas Erfan.
Anak matanya memandang ke arah Erika yang tersenyum lebar. Sudah lama dia tidak melihat senyuman gadis itu yang selebar dan sebahagia itu.
"Bila dia kata yang dia cuma menyusahkan dan menjadi beban untuk semua orang, aku rasa sakit sangat. Aku selalu marah dia dan buatkan dia rasakan semua itu. Sedangkan aku abang dia. Sepatutnya aku dengar penjelasan dia tapi aku lebih pilih untuk ikut perasaan sendiri."
Senyuman kecil Erfan itu kelihatan begitu terluka. Sepertinya dia sangat merasakan serba salah.
"Dari dulu Eri teringin ke sini tapi aku tak layan. Dia pernah minta dengan ibu aku dan ibu aku dah janji tapi tak pernah sekalipun bawa dia ke sini. Ibu aku cuma tabur janji tapi tak pernah mengotakan apa yang dia janjikan."
Bahu Erfan ditepuk beberapa kali. Erfan sangat menyayangi Erika. Thaqif dapat merasakan semua itu.
"Kita naik roller coaster dulu nak, tak?" ujar Erika teruja. Sekaligus mematikan perbualan dua sahabat itu yang sejak tadi hanya mengekori gadis itu.
"Jom." ajak Erfan bersama anggukan. Pergelangan tangan Erika digenggamnya. Tidak mahu gadis itu hilang dari pandangannya.
Thaqif pula hanya mengikut. Senang hatinya apabila dia dapat membantu dan menyedarkan Erfan sehingga membuatkan sahabatnya itu mampu mengubah persepsi jejaka itu terhadap Erika.
YOU ARE READING
Forelsket
عاطفيةRomance | On going Inspired by Secretly, Secretly But Unable To Hide It _________ Erika Dayana merupakan seorang gadis yang sering menyelesaikan masalah dengan kekerasan. Malah namanya juga sudah tidak asing lagi di bilik disiplin. Kerana sudah bebe...