18

47 6 0
                                    

"Qif!" Tangan dilambai tinggi ke arah jejaka itu yang baru saja keluar dari rumah sewa jejaka itu. Erika tersenyum riang apabila melihat Thaqif yang menapak turun dari tangga untuk menghampirinya.

Tali beg sekolahnya dipegang. Langkah jejaka itu dipandang dengan penuh rasa gembira.

"Eri buat apa dekat sini?" soal Thaqif hairan setibanya dia di hadapan gadis itu.

"Tunggu Fan. Katanya ada hal. Dia suruh tunggu dekat tempat kerja Qif tapi Eri tengok Qif tak ada. Eri datanglah sini." jelas Erika.

Kepala Thaqif terangguk-angguk faham. Mereka berdua mula berjalan seiring.

"Dah makan?" soalnya prihatin.

"Belum." Erika menggelengkan kepalanya dengan pertanyaan itu.

Jam di pergelangan tangan dikerling. Thaqif menarik senyuman kecil. "Qif teman makan, nak? Masih ada masa sebelum Qif masuk kerja."

Tersenyum lebar Erika dibuatnya. Kepalanya diangguk laju. Peluang yang ada jangan disia-siakan. Terus saja dia menyaingi langkah kaki jejaka itu dengan penuh rasa teruja.

Mereka berhenti di sebuah kedai makan berdekatan. Salah sebuah meja yang memuatkan untuk empat orang menjadi pilihan mereka.

"Qif tak makan?" soal Erika hairan apabila hanya dia seorang yang memesan makanan. Manakala Thaqif hanya memesan minuman.

Thaqif tersenyum kecil. Dia menggelengkan kepalanya. "Tak lapar."

Terjongket sebelah kening Erika dibuatnya.

Thaqif hanya tersenyum. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Telefonnya dikeluarkan. Skrin telefonnya dihalakan ke arah gadis itu.

"Lawa Eri lukis." pujinya sambil menunjukkan lukisan yang sempat dia tangkap gambar itu.

"Qif ambil gambar?" Membulat mata Erika.

"Haah. Lawa. Eri nak buka kafe ya satu hari nanti?" tutur Thaqif penasaran.

Erika menganggukkan kepalanya mengiyakan.

"Ya, salah satu impian Eri nak buka kafe. Qif dengan Fan kena jadi orang pertama yang datang dekat kafe Eri nanti." ujarnya ceria.

Thaqif tersenyum manis dengan permintaan gadis itu.

"Qif dengan Fan dah habis exam, kan? Selepas ini, Eri pula." tutur Erika perlahan. Dia jadi risau jika mengingat tentang peperiksaan besar yang bakal didudukinya tidak lama lagi.

"Eri mesti boleh buat. Nanti dah habis exam, Qif kasih hadiah. Eri, Qif dengan Fan celebrate bersama-sama. Hari jadi Eri selepas habis exam, kan?"

"Hm." Cukup teruja Erika mendengar kata-kata yang diutarakan jejaka itu.

"Tapi Eri kena buat betul-betullah."

"Okey!"

Perbualan mereka terhenti apabila seorang pelayan menghantar pesanan mereka.

"Abang. Saya nak pinggan satu." pinta Erika sebelum pelayan tersebut berlalu pergi.

Beberapa saat selepas itu, pelayan tersebut membawa pinggan kosong seperti yang diminta gadis itu. Erika mengucapkan terima kasih.

Tanpa suara, nasi goreng yang dipesannya dibahagikan dua. Separuh diletakkan di atas pinggan yang baru saja dia dapat itu. Sudu dan garpu diambil dan diletakkan di atas pinggan. Pinggan tersebut ditolak ke arah Thaqif.

"Qif pun makan sekali." arahnya.

Tangan ditadah lalu doa makan dibaca. Kemudian, dia mula menikmati makanannya itu.

ForelsketTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang