12

70 11 1
                                    

Anak mata pen bergerak di atas helaian kertas itu. Mencatat segala isi penting untuk dijadikan sebagai nota ringkasnya. Fokus Thaqif sedikit terganggu apabila ada yang menarik kerusi kosong di hadapannya dan melabuhkan punggung di situ.

Kepala diangkat menatap figura tersebut. Apabila wajah Atiya menyapa retina matanya, dia kembali menunduk untuk menyambung kerjanya yang tergendala sebentar.

Atiya tidak pula terasa apabila jejaka itu hanya memandangnya sekilas. Malah langsung tidak menegurnya. Dia tersenyum nipis. Thaqif sememangnya sering bersikap begitu. Sejak dulu lagi. Dia sudah terbiasa.

"Aku nak bagi kau ini. Semalam mak aku datang. Selepas itu, ibu suruh sampaikan ini kepada kau. Ibu kata yang ibu ada mesej kau tapi kau langsung tak balas." ujarnya lalu mengeluarkan sebuah sampul surat dari dalam totebag yang dipakainya.

Sampul surat itu diletakkan di atas meja lalu ditolak ke arah jejaka itu.

Kata-kata Atiya itu berjaya menarik perhatiannya. Sampul surat itu direnungnya. Pen di tangan diletakkan di sisi buku notanya lalu sampul surat tersebut dicapainya.

Isi dalam sampul surat itu dilihatnya. Matanya dipejamkan sebentar. Beberapa keping gambar di dalamnya dipandang tanpa rasa minat.

"Ibu nak kau pilih mana satu design yang kau suka." terang Atiya dengan senyuman.

Tanpa kata Thaqif merenyukkan sampul surat tersebut. Digumpalnya menjadi bebola kertas. Tanpa membalas kata-kata gadis itu, dia kembali mencapai pennya.

Mati senyuman Atiya dibuatnya apabila melihat tindakan jejaka itu. Kelihatan jelas reaksi wajah Thaqif yang tidak senang apabila melihat gambar-gambar tersebut.

Tangan yang berada di atas ribanya diramasnya perlahan. Dia masih setia merenung jejaka itu.

"Siapa aku kepada kau, Thaqif?" soalnya ingin tahu.

"Kau kawan aku. Aku tak pernah berharap kita lebih daripada itu." tutur Thaqif tanpa menoleh.

Retak seribu hati Atiya apabila mendengar bicara jejaka itu. Cincin yang tersarung di jari manisnya dilihat. Jelas kecewa dengan jawapan yang diberikan jejaka di hadapannya itu.

"Tapi aku berharap kau akan ada simpan sedikit rasa suka dekat aku." Perlahan saja dia mengungkapkan kata-kata itu.

"Kita terlalu muda untuk hubungan sejauh yang keluarga kita harapkan. Masih ada impian yang aku ingin capai dan aku tak nak terikat dengan semua itu sampai menghalang apa yang aku inginkan." jelas Thaqif.

Kata-katanya cukup dalam. Langsung tidak peduli jika katanya-katanya bakal melukakan hati gadis di hadapannya itu. Apa yang dia tahu, Atiya sepatutnya sedar selama ini dia tidak pernah mempunyai perasaan terhadap gadis itu.

Dia tidak mahu Atiya terus berharap dan terluka dengan lebih dalam lagi. Dia mahu gadis itu sedar dan sehabis baik tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap hubungan mereka sekarang.

"Kenapa kau tak pernah tolak? Kenapa kau terima?" tanya Atiya bertalu-talu. Biasan pandangan matanya jelas kelihatan kecewa.

"Pernah ke kau orang dengar pendapat aku? Termasuk kau, Atiya. Aku dah pernah beritahu tapi kenapa kau masih teruskan? Kenapa kau masih terus letak harapan tinggi? Sedangkan kau tahu perasaan sebenar aku." Thaqif membalas pandangan itu dengan pandangan yang dingin.

Segera dia mengalihkan pandangannya apabila melihat mata berkaca itu. Dia juga tidak ingin melukakan hati gadis itu tetapi dia tidak tahan memendam perasaannya. Dia juga terluka.

Terangguk-angguk kepala Atiya. Segera dia bangkit dari duduknya. Tanpa berpamitan, kaki terus menapak melangkah pergi meninggalkan Thaqif kembali bersendirian.

Erfan sempat mengelak apabila menonong saja Atiya berjalan sehingga hampir merempuhnya. Berkerut dahinya. Kali ini apa pula?

Tempat yang tadi diduduki Atiya didudukinya. Anak matanya menangkap gumpalan kertas di atas meja itu. Dia berbalas pandangan dengan sahabatnya itu. Tangannya lebih pantas mencapai sebelum Thaqif sempat mengambilnya.

Gumpalan kertas itu dibukanya. Sampul surat. Isi dalam sampul surat itu dikeluarkannya lalu dibelek.

"Kad kahwin?" Wajah Thaqif ditatapnya dengan tidak percaya.

Thaqif melepaskan keluhan. Kepalanya dianggukkan. Belakang tubuhnya disandarkan pada kepala kerusi. Tangannya pula bermain-main dengan pen di tangannya.

"Kau kata lambat lagi. Katanya dalam tiga atau empat tahun selepas habis belajar." tukas Erfan bersama kerutan di dahi.

Hubungan Thaqif dan Atiya sudah diketahuinya lama. Thaqif tidak menyembunyikannya daripadanya. Puncanya juga dia tahu.

"Aku tak tahu pihak mana yang nak percepatkan. Apa yang aku tahu, ibu aku kata selepas aku habis belajar, dia minta untuk aku balik terus ke sana. Uruskan semua ini." cerita Thaqif dengan kepala yang menunduk.

Terdiam Erfan dibuatnya. Di sebalik senyuman yang sering terhias pada dua ulas bibir itu, ada 1001 rahsia yang disimpan oleh Thaqif. Dia merasakan kasihan kerana sahabatnya itu terikat dengan semua itu.

"Kau setuju?"

Kepala digelengkan sebagai jawapan. "Aku minta supaya aku boleh balik selepas graduate nanti. Aku minta supaya boleh lambatkan lagi semua rancangan dia orang itu. Aku masih tak bersedia untuk semua itu."

Matanya dipejam rapat. Thaqif cukup bingung dengan apa yang dilaluinya itu. Tidak ada cara lain untuk dia larikan diri. Apa yang dia mampu, bertahan selagi mampu.

"Aku tak faham. Kenapa mesti aku? Atiya pun sama saja. Dia pun tak faham aku. Dia tahu perasaan aku tapi masih lagi nak pertikaikan kenapa aku masih tetap teruskan pertunangan kita orang padahal aku tak suka dia." luahnya sedikit kesal.

Erfan hanya diam memberikan sepenuh perhatiannya kepada Thaqif. Dia tidak mampu untuk memberikan solusi tetapi sekurang-kurangnya dia mampu menjadi seorang pendengar yang baik.

Dia dan Thaqif sudah berteman rapat sejak pertama kali mereka berdua menjejakkan kaki ke universiti itu. Thaqif tidak memerlukan jalan penyelesaian tetapi melainkan jejaka itu memerlukan seseorang yang mampu mendengar segala isi hatinya.

Mereka bersama-sama bergantung antara satu sama lain. Apa yang membuatkan Thaqif sedih, dia juga merasainya. Begitu juga sebaliknya.

Dia hanya diam menatap Thaqif yang kelihatan serabut itu. Jika dia mampu menolong, dia juga mahu menghulurkan tangan tetapi ini melibatkan keluarga Thaqif dan juga keluarga Atiya. Dia hanyalah orang luar.

Sunyi di antara mereka. Thaqif yang melayan perasaan sendiri dan Erfan yang hanya diam memerhati.

"I know you are strong enough and you always will, Qif." ucap Erfan cuba memujuk.

Senyuman Thaqif terbentuk apabila mendengar kata-kata pujukan itu. Akhirnya kepalanya dianggukkan.

Dia mampu bertahan kerana adanya Erfan yang sering mengatakan bahawa dia cukup kuat dan kata-kata itu sering menjadi dorongan untuknya tetap teguh berdiri. Dia tidak pernah meminta Erfan membantunya menyelesaikan masalahnya tetapi dia hanya berharap bahawa sahabatnya itu sering ada untuknya.

Sentiasa menjadi tulang belakangnya.

ForelsketWhere stories live. Discover now