Thaqif hanya menatap ke arah meja di hadapannya. Wajahnya langsung tidak diangkat untuk menatap si lawan bicara. Perbualan di antara keluarganya dan keluarga Atiya itu langsung tidak dipedulikannya.
Qaseh pula? Gadis itu sejak awal lagi sudah melarikan diri masuk ke dalam bilik. Nampak sahaja keluarga Atiya itu, dia awal-awal lagi tidak mahu masuk campur di dalam perbincangan di antara hubungan Thaqif dan Atiya.
Kini Thaqif merasakan waktu begitu berputar lambat. Jam dinding yang tergantung di dinding ruang tamu itu dikerlingnya.
"Kalau kita pilih tema yang macam ini okey tak? Nampak simple saja." ujar Karmila memberi cadangan.
"Ini? Tak cantik. Aku rasa yang macam ini lagi elok. Lagipun takkan kita nak buat majlis biasa-biasa saja. Anak aku cuma Atiya saja. Takkan aku nak biarkan anak aku buat majlis simple saja." Faridah, ibu kepada Atiya membidas laju.
Karmila memandang ke arah Thaqif yang hanya membisukan diri. Thaqif tidak menyukai majlis yang terlalu gah tanpa mengukur baju di badan sendiri.
Pandangan lembut itu dibalasnya. Thaqif mengeluh apabila Karmila tidak lagi bersuara untuk menentang apa yang dikatakan Faridah. Ibunya bukan seorang yang reti untuk menegakkan pendiriannya. Wanita itu sering saja mengalah.
"Mahal." ucapnya sepatah.
Kini semua mata terarah ke arah Thaqif yang mula membuka mulut. Berkerut-kerut dahi Faridah dibuatnya. Dia memandang ke arah Jamal, suaminya.
"Majlis cuma sekali. Takkanlah nak buat majlis yang biasa-biasa saja." tutur Faridah tidak puas hati.
"Ya, majlis cuma sekali. Tapi kena fikir juga keadaan selepas majlis. Takkanlah nak ikat perut hanya disebabkan nak adakan majlis yang cukup gah. Saya dan Atiya graduan baru. Kami masih tak bekerja." ujar Thaqif berani.
Dia sudah lelah mengikut telunjuk orang sekelilingnya. Biar dia membidas berani mempertahankan haknya.
Pandangannya bersatu dengan Atiya. Pantas dia mematahkan renungan itu tanpa ekspresi di wajahnya. Pandangan yang cukup dingin kembali terhala ke arah wajah Faridah.
"Kamu..."
"Saya nak lambatkan majlis." potong Thaqif laju.
Semua terkejut dengan bicara pemuda itu secara tiba-tiba.
Puan Kalsum yang baru tiba di ruang tamu itu memandang tajam ke arah Thaqif. Berani-berani cucunya itu mengatakan perkara sebegitu rupa. Bukankah mereka sudah bersetuju untuk mempercepatkan majlis perkahwinan Thaqif dan Atiya? Kenapa cucunya berubah fikiran pula?
"Qif! Jangan nak memandai-mandai! Semua benda kita dah siap rancang! Barang hantaran semua dah siap beli! Tinggal nak pilih tema untuk majlis kahwin nanti saja! Takkan nak anjak tarikh lagi?" marah Puan Kalsum garang.
"Agak-agak selepas kahwin nanti Qif nak bagi Atiya makan apa? Nak tinggal mana? Nak ke mana-mana naik apa? Qif masih tak kerja. Takkan semua benda Qif nak harapkan duit semua orang? Bagi Qif cari kerja dulu. Bila dah ada kerja stabil, barulah Qif mampu untuk tanggung Atiya." ujar Thaqif panjang lebar.
Suasana di ruang tamu itu mula tegang. Puan Kalsum terduduk di atas sofa. Pening memikirkan dengan tingkah cucunya itu.
"Pak cik Jamal pun tak mungkin nak biarkan Atiya hidup dengan saya yang masih menganggur, kan? Mampu ke lepaskan anak pak cik dekat tangan lelaki yang langsung tak ada apa-apa? Tak ada rumah, tak ada kereta dan langsung tak ada pendapatan." Thaqif cuba memanipulasikan fikiran sosok-sosok yang mengisi ruangan itu.
Dia sehabis baik untuk melambatkan majlis perkahwinan yang sepatutnya diadakan enam bulan dari sekarang. Dia tidak bersedia dan dia tidak cintakan Atiya. Satu perkara mustahil buatnya untuk hidup sebumbung bersama gadis itu.

ANDA SEDANG MEMBACA
Forelsket
RomanceRomance | On going Inspired by Secretly, Secretly But Unable To Hide It _________ Erika Dayana merupakan seorang gadis yang sering menyelesaikan masalah dengan kekerasan. Malah namanya juga sudah tidak asing lagi di bilik disiplin. Kerana sudah bebe...