BAB 47

381 21 0
                                    

BAB 47

Wooo! Nasib baik lutut dia tak lembik saat itu. Gila! Qaizer memang gila. Tapi kenapa hanya Qaizer saja yang mampu buat dia rasa macam ni saat mendengar ungkapan keramat tu. Sedangkan Qaizer bukan lelaki pertama. Semua calon daddy sebelum ni dengan mudah ungkap tiga patah perkataan tu, tetapi langsung tidak memberi sebarang kesan kepadanya. Tapi Qaizer...nasib tak pengsan. Tak cukup oksigen dibuatnya. Penuh semacam dah dada. Tapi akhirnya...bibir merekah dengan senyuman tanpa paksa.

"Hai...lebar senyum nampak Long," suara Azam menyedarkan Aafiya dari terus tenggelam dalam dunia Qaizer. Nasib tak lemas!

"Senyum pun tak boleh," balas Aafiya dengan sebuah jelingan. Kaki melangkah masuk ke dapur. Baik dia teguk air, tenangkan fikiran sikit. Halau jauh-jauh bayangan Qaizer. Ini silap hari bulan boleh masuk dalam mimpi.

"Mana yang lain?" soal Aafiya bila dia sedar rumah agak sunyi malam ini. Nak kata lewat sangat, belum pukul sepuluh malam lagi.

"Ada kat bilik kut...mama dengan daddy tak balik lagi. Ada jamuan kat mana entah," jawab Azam lantas bersandar di table top sambil memerhati kakaknya yang sedang meneguk minuman sejuk di dalam gelas. Menatap wajah bahagia kakaknya sudah mampu buat dia rasa tenang.

"Along...aku tanya sikit boleh?"

Aafiya yang baru memasukkan semula baki jus ke dalam peti sejuk terus sahaja berdiri mengadap adiknya sambil berpeluk tubuh. Pelik. Kenapa terlebih sopan ni? Bukan ke selama ni Azam hanya main terjah! Kalau nak tahu, dalam tiga orang adik lelakinya, Azam paling sama dengan dia. Dari segi paras rupa dan perangai juga. Seorang yang baran, agak dingin, tapi dalam masa yang sama penyanyang yang jarang orang luar nampak. Memang sama macam dia!

"Nak tanya apa?"

"Kau sukakan Qaizer?" soal Azam berterus-terang. Dari pemerhatian, dia yakin lelaki itu tidak lagi bertepuk sebelah tangan. Tengok seri yang terpancar pada wajah kakaknya setiap kali nama Qaizer disebut pun dia dah boleh tahu. Dah boleh baca. Dia pun bukannya budak-budak lagi.

"Kenapa tiba-tiba nak tanya soalan tu? Kalau ya kenapa? Bukan ke Angah pun sukakan Qaizer?" bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Aafiya. Raut wajah serius yang tergambar jelas pada wajah Azam buat dia risau. Ada sesuatu yang tak kena ke?

"Aku tak kisah siapa pun pilihan kau, Long. Elok pada kau elok jugalah pada aku. Tapi dah tentulah aku nak yang terbaik untuk kau. Lelaki yang boleh jaga kau, boleh lindungi kau dan kesimpulannya boleh gantikan tempat aku dan Alang. Kau faham kan apa maksud aku, Long?"

Aafiya akhirnya kembali tersenyum. Kepala diangguk beberapa kali. Dia faham sangat. Ya! Dia tahu, Azam dengan Adif yang paling banyak melindungi dia selama ini. Pantang dengar dia berada dalam kesusahan, ada masalah sikit, dua lelaki inilah yang paling kalut dan paling risau. Kadang-kadang kalah mama dan daddy. Sebab mama dan daddy sangat tenang. Tak mudah melatah dan tidak suka membuat sebarang tindakan yang melulu. Tapi kalau Azam dan Adif, terutamanya Azam, pantang dia mengadu ada lelaki yang cuba buat tak senonoh dengan dia, memang nayalah lelaki tu kalau dia sendiri tak halangnya dari awal lagi.

"Angah kenal Qaizer kan? Angah yang paling setuju bila daddy nak kenenkan Along dengan Qaizer kan?" tanya Aafiya semula. Nak tahu juga kalau ada yang tak kena pada Qaizer yang buat Azam tak senang hati. Pandangan lelaki kepada lelaki lain, mungkin berbeza. Nampak sesuatu yang perempuan tak mampu nak melihatnya.

"Ya...sebab daddy tanya aku dulu. Bila aku kenal dia, aku setuju. Sebab tulah aku sokong rancangan daddy. Tapi tak bermakna aku akan diam saja kalau dia buat sesuatu yang tak baik dengan kau. Dia kena ingat, kau bukan sesiapa lagi pada dia. Lainlah kalau kau dah jadi bini dia, waktu tu memang aku mungkin dah tak berhak nak masuk campur urusan kau lagi," suara Azam kedengaran sedikit mendatar namun masih berbaur amaran awal. Orang lain mungkin tak mengerti dengan apa yang dia rasa saat ini. Macam berat pula nak lepaskan kakak kesayangannya kepada lelaki lain. Kawan baik tapi dalam masa yang sama musuh ketat. Mesti sunyi dia nanti kalau Aafiya dah tak ada.

Senyuman Aafiya semakin melebar. Tak sia-sia dia lindungi adik-adiknya sejak kecil. Walaupun garang, suka marah-marah, kaki pukul juga, adik-adiknya tetap hormat dia. Kadang-kadang tu sanggup beralah dengan dia. Sebab mereka tahu, dalam garangnya Along mereka, Along mereka sayang sangat dengan mereka! Seronok kut jadi 'Along' untuk tiga orang adik lelaki. Rasa macam berkuasa besar sangat!

"Along tahu Angah sayangkan Along. Angah paling sayangkan Along kan?" Aafiya dah tersengeh-sengeh. Kening Azam pula dah terjongket sebelah. Dah buang tebiat apa perempuan ni?

"Eeiii...menyampah betul la dengan perempuan ni! Orang cakap sikit dah touching habis. Perasan pulak tu!" Azam dah menyampah gila. Ini yang dia geli. Malas betul nak melayan kerenah luar alam kakak dia yang jarang-jarang dapat dilihat. Kalau dengan daddy, boleh la kakak dia selalu tunjuk, tapi dengan dia, rasa macam nak hempuk je kepala kakak dia ni. Eh! Jangan tak percaya, kecil-kecil dulu mereka selalu bertumbuk apa! Mama la yang paling pening kepala layan kerenah mereka. Bertumbuk sampai lupa, siapa lelaki dan siapa pula perempuan.

"Eh! Mana ada perasan. Betul la kan? Betul tak? Betul tak?" Aafiya dah masuk mood nak mengusik. Dicuit-cuit bahu adik lelakinya itu beberapa kali. Belum sempat dia nak geselkan kepala dia ke bahu Azam, Azam dah menolak kepalanya dengan kasar.

"Eiii rimas la Long! Malas aku nak layan mengada-ngada kau ni tahu! Sejak dah angau dengan Qaizer, kau dah jadi lembik semacam dah! Geli tahu tak!" Azam akhirnya cepat-cepat keluar dari dapur. Menyesal dia buka sesi luahan perasaan. Akak dia dah lupa agaknya, adik dia ni lelaki. Bukan perempuan boleh nak tergedik-gedik macam tu.

"Alaa Angah! Bila lagi Along nak bermanja dengan Angah. Nanti bila Along dah kahwin, dah tak boleh manja-manja dengan Angah dah!" Aafiya mengejar dari belakang. Masih dalam mood nak mengusik. Seronok pula. Dah lama rasanya mereka tak bermanja dan bergurau kasar seperti selalu. Sekarang masing-masing dah sibuk dengan kerja. Ada tanggungjawab sendiri. Nanti bila masing-masing dah berkeluarga, lagi la susah untuk mereka duduk bersama. Rindu la pulak!

"Tak payah! Simpan la sikit gedik kau tu untuk Qaizer. Bukan apa...kesian pula Qaizer kalau dapat bini beku dan tak ada perasaan macam kau. Kesian Long...merana jiwa raga kami orang lelaki yang impikan perempuan lembut dan pandai menggoda suami!" Nah! Ambik! Sekarang dah masuk sesi bergurau kasar. Ini silap hari bulan, kalau dia lambat menyelamatkan diri, dia boleh kena sepak terajang kakak dia yang sememangnya ganas.

"Kau ulang sekali lagi Ngah?" Kan betul! Jeritan tu saja dah buktikan Aafiya dah masuk mood menyinga. Baik dia cepat-cepat lari. Tapi sempat jugalah dia hamburkan tawa yang kuat buatkan muka kakak dia yang putih tu dah bertukar merah!

ZER & FIYA [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now