BAB 50

444 26 0
                                    

BAB 50

"Lain kali jangan buat macam tu lagi boleh?" Qaizer kawal suara.

"Buat apa?" Humaira buat-buat tanya. Faham sangat dengan soalan Qaizer tapi buat-buat tak faham. Geram. Puas hati dia dapat tengok wajah kelat gadis itu.

"Aira tahu apa yang abang maksudkan. Kita dah dewasa. Jangan buat perangai macam budak-budak. Abang bersabar sebab abang nak jaga hati ummi, jaga air muka ayah," Qaizer malas sebenarnya nak bertekak tetapi dia harus suarakan agar Humaira tidak mengulangi kesilapan yang sama.

"Apa lebihnya perempuan tu?"

"Abang tak ada masa nak layan sikap budak-budak Aira. Aira kena tahu satu benda saja. Dia bakal kakak ipar Aira. Tolong hormat dia sebagaimana Aira hormatkan abang," kaki Qaizer mahu melangkah tetapi sempat ditahan oleh Humaira. Tubuhnya dipeluk dari belakang dengan mengejut.

"Aira tahu walau apapun yang Aira buat abang takkan ubah keputusan abang. Takkan ubah hakikat siapa Aira dengan abang. Tapi Aira tak boleh terima ada orang lain dalam hati abang selain Aira!"

Entah mengapa, setiap kali Qaizer mendengar alasan bodoh daripada mulut Humaira, perasaan marahnya tak mampu nak ditahan-tahan. Dia geram. Kenapa Humaira langsung tak boleh nak terima hakikat yang satu itu? Kalau dia terima, sudah tentu perkara ini tidak menjadi barah dalam hati gadis itu. Sudah tentu perihal Aafiya tidak menjadi duri dalam perhubungan mereka.

Qaizer meleraikan pelukan Humaira dengan sedikit kasar. Dia toleh pandang gadis itu. Tenung ke dalam mata Humaira dengan renungan yang begitu tajam.

"Abang dah malas nak jelaskan benda yang sama beratus kali. Kalau Aira dah tahu walau apapun yang jadi takkan mampu ubah hakikat sebenar tentang hubungan kita, banguslah. Sekarang ni, Aira kena ikhlaskan hati Aira, walaupun pahit, Aira tetap kena terima semua ni. Abang tak perlu nak jelaskan dalam-dalam soal isu agama sebab abang tahu, Aira lebih jelas dalam hal tu kalau nak dibandingkan dengan abang sendiri. Mana perginya Aira yang dulu selalu nasihatkan abang, selalu suruh abang berubah ke arah kebaikan. Banyak beri tunjuk ajar tentang agama pada abang? Jangan disebabkan terlalu ikut emosi Aira nak menghalalkan benda yang haram!" Qaizer terang panjang lebar. Sedas dia tembak Humaira dengan isu yang sejak dulu Humaira berkeras tidak mahu terima.

"Abang senang la cakap sebab abang tak pernah menaruh perasaan pada Aira macam mana Aira jatuh cinta dengan abang. Abang boleh terima hakikat tu dengan hati yang terbuka. Dan Aira tahu abang lega bila ummi ceritakan hal yang sebenar, kan?" suara Humaira dah bergetar. Empangan air mata bila-bila masa saja akan pecah. Sedih bila Qaizer sedikitpun tidak mahu memahami hati dan perasaannya.

Qaizer melepaskan keluhan berat.

"Aira dengar sini...jangan nak bodohkan diri sendiri dengan perkara yang dah jelas. Kalau Aira macam ni, perkara ni takkan selesai. Kalau Aira berhenti dari terus membincangkan perkara yang sama, Insya-Allah lama-lama Aira akan mampu terima ketentuan yang Allah dah tetapkan. Tolonglah Aira...abang sayangkan Aira macam adik abang sendiri. Sejak dulu, abang tak nak bila Aira buat perangai macam ni, sayang abang pada Aira akan bertukar jadi benci. Sebab Aira tahu macam mana abang kalau abang dah bencikan seseorang. Jangan sampai satu tahap, abang nak pandang muka Aira dah tak boleh!" Qaizer simpulkan perbincangan mereka. Dia penat la. Dia dah malas. Meluat pun ada. Akhirnya kakinya melangkah meninggalkan Humaira.

"Abang rasa abang boleh bahagia ke dengan dia?" laung Humaira tiba-tiba. Sedih bercampur marah.

"Bahagia ke tidak itu bukan kerja kita Aira...itu kerja Allah!" sempat Qaizer melafazkan kata-kata itu sebelum menyambung semula langkahnya.

Itu cerita semalam, cerita selepas kepulangan Aafiya...cerita hari ini...Humaira buat hal lagi. Langsung tak menampakkan batang hidung sedangkan sudah menjadi rutin Humaira bersarapan bersama mereka setiap lagi. Perlakuan yang buat Qaizer kena soal-siasat dengan Datin Farida.

"Zer gaduh apa lagi dengan Aira semalam?" soal Datin Farida lembut. Qaizer yang baru nak sarung kasut ke kaki mengeluh perlahan. Dia sandarkan badan ke kerusi yang ada di tepi rak kasut. Angkat kepala pandang wajah wanita yang paling dia sayang. Dah boleh diagak sebenarnya. Ummi kelihatan begitu resah sewaktu dia sedang bersarapan. Tetapi memandangkan amalan ummi yang tidak suka membincangkan sesuatu masalah di meja makan, ummi cuba berlagak biasa.

"Benda yang sama ummi. Benda yang dah bertahun-tahun dulu. Ummi sendiri tengok macam mana dia buat perangai semalam. Depan Fiya. Nasib baik Fiya tu jenis yang tak layan benda-benda remeh macam tu," luah Qaizer jujur.

"Fiya tahu ke perasaan Aira pada Zer?" tanya Datin Farida. Serba-salah dibuatnya. Seorang tu memang anak susuan dia. Sudah dikira darah-daging sendiri. Yang seorang lagi, bakal menantu dia. Tak lama lagi menjadi sebahagian daripada keluarga ini. Dia tak boleh nak abaikan perasaan Aafiya juga. Itu pilihan anak dia. Wanita yang dipilih oleh anak kandungnya untuk dijadikan peneman hidup dunia dan Insya-Allah akhirat. Dia sendiri pun mengaku dia memang berkenan dengan Aafiya.

"Zer cuma jelaskan hubungan kami. Zer tak adalah nak beritahu Fiya hal tu. Zer tak nak kusutkan benda ni ummi. Tapi macam Zer beritahu ummi. Fiya ni jenis yang tak mudah melenting terutama hal yang dia anggap masih tak ada kena mengena dengan dia. Ummi jangan ingat bakal menantu ummi tu dah anggap Zer ni sebahagian daripada hidup dia. Selagi Zer ni tak kahwin dengan dia, tak jadi suami yang sah, jangan harap dia nak lebihkan Zer, nak ambil tahu semua perihal Zer. Sampai kadang-kadang tu rasa terbuang jugalah. Macam Zer pula yang terhegeh-hegeh nakkan dia. Ambil berat pasal dia, tapi dia macam tak ada perasaan pun," tiba-tiba perihal Aafiya pula menjadi topik perbualan. Dia beritahu ummi perkara yang betul. Dia nak ummi tahu bakal menantu dia tu macam mana. Tapi dia yakin, bila mereka kahwin nanti perangai Aafiya pasti akan berubah. Dia bukan bercakap kosong. Aafiya sendiri pun suka sangat bagi 'hint'. Itu yang buat dia makin tak sabar nak jadikan Aafiya suri dalam hidupnya.

Datin Farida tersenyum tipis. Dalam tak puas hati Qaizer terhadap Aafiya, gadis itu juga yang buat anak dia jadi tak keruan. Bukan dia tak nampak macam mana Qaizer sejak bercinta dengan Aafiya. Lain macam sangat. Rasanya anak dia ni memang dah kena kahwin cepat-cepat.

"Tapi Zer tetap sayangkan dia kan?"

"Sangat, ummi," jawab Qaizer tanpa berselindung.

"Errmmm...soal Aira tu. Ummi nak Zer berlembut sikit dengan dia. Ummi tak naklah dia lari lagi. Dia dah tak ada sesiapa dalam dunia ni Zer. Dia hanya ada kita. Kalau boleh ummi nak dia dengan kita untuk selama-lamanya," Datin Farida sambung semula topik terdahulu.

"Zer dah cuba ummi. Tapi kadang-kadang Aira tu suka buat Zer marah."

"Zer dah tahu dia memang macam tu sejak kecil. Dia manja...dia suka orang bagi perhatian pada dia. Mungkin dia rasa terabai bila Zer dah ada Aafiya."

"Sepatutnya dia tak payah rasa macam tu...walau apapun yang jadi dia tetap adik Zer. Cuma Zer tak boleh nak rapat macam dulu kalau dia asyik ungkit benda yang dah pernah kita bincangkan sejak dulu,"

Kali ini giliran Datin Farida pula melepaskan keluhan berat. Dia sendiri dah berbuih mulut nasihatkan Humaira. Tetapi gadis itu depan dia mengangguk faham tapi belakang...masih enggan menerima hakikat yang satu itu.

"Lagipun dia dah tua ummi...dia dah matang...dah tiga puluh tahun dah pun. Bukan budak-budak mahupun remaja yang terlalu ikutkan perasaan sendiri. Sepatutnya dia dah boleh fikir baik buruk tentang sesuatu perkara," Qaizer bangun setelah selesai menyarungkan kasut ke kaki. Wajah ummi tercinta ditatap buat seketika.

"Ummi jangan fikir sangat soal ni, ok. Kita sama-sama berdoa moga Aira berubah. Boleh terima ketentuan Allah dengan hati yang terbuka. Insya-Allah dia takkan tinggalkan ummi, tinggalkan kita semua lagi,"

Datin Farida angguk. Qaizer capai tangan umminya lalu dikucup lembut. Memberikan sedikit kekuatan. Dia faham perasaan ummi. Sejak kecil rasanya ummi tak pernah membezakan mereka adik-beradik. Semua dilayan sama rata.

"Zer pergi dulu,"

"Soal Fiya tu...tak nak ummi masuk merisik dulu ke?" soal Datin Farida tiba-tiba. Sekadar berbasa-basi. Nak bincang panjang soal ini rasanya dia kena pilih masa yang sesuai.

"Tak payah merisik tunang bagai boleh tak ummi? Kahwin terus...boleh?" soalan balas Qaizer buat Datin Farida termangu seketika. Sebelum senyum dan geleng kepala perlahan. Tengok raut wajah anaknya pun dia dah boleh baca, memang Qaizer tak sabar sangat dah nak kahwin dengan Aafiya. Anak dia memang dah kena penangan cinta seorang Aafiya. Hebat sungguh gadis itu. Dalam diam, dia sendiri pun mengagumi gadis itu.

ZER & FIYA [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now