EPILOG ( LAST PART )

828 43 3
                                    

EPILOG

Dari tadi dia perhatikan motosikal berkuasa tinggi yang ada di hadapannya. Ducati Monster 696. Boleh tahan cantik. Dengan warna hitam begitu. Dan apabila matanya jatuh kepada pemandu motosikal tersebut, dia melongo buat sesaat. Tengok bentuk badanpun boleh tahu penunggangnya adalah perempuan walaupun badan perempuan itu dibaluti dengan jaket kulit yang juga bewarna hitam sama seperti motosikal yang ditungganinya.

"Dahsyat! Agak-agak tuan punya motorpun cantik macam motor dia juga ke?" Dia tersenyum sendiri. Dalam ralit dia memerhati sementara menunggu lampu trafik kembali hijau, dia tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman yang sangat kuat. Dari dalam kereta dia dia cuba mengintai, apa sebenarnya yang terjadi. Dari kejauhan dia nampak orang ramai mula memenuhi jalan raya. Ya Allah. Kemalangan ke? Minta-minta tiada jiwa yang terkorban.

Tidak sampai seminit selepas kejadian, lampu trafik mula bertukar hijau. Dia yang masih di dalam kereta tidak boleh bergerak apabila motosikal di depannya itu seakan-akan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berlalu dari situ.

"Dia ni dah kenapa? Takkanlah nak tengok orang accident? Orang macam nilah yang selalu buat jalan raya sesak kalau ada kemalangan," rungut dia perlahan. Setelah beberapa saat dia menunggu, akhirnya dia terpaksa juga bunyikan hon kereta. Kelihatan penunggang motosikal itu sedikit terkejut, menoleh ke belakang sebelum bergerak laju ke depan. Dia pula mengikut dari belakang memandangkan mereka menuju ke arah yang sama.

"Perhhh! Boleh tahan minah ni bawa motor. Berdesup!" Dia yang sedikit rasa tercabar turut menambahkan kelajuan kereta sendiri.

Zreetttt!

"Hoi! Gila ke?" Sumpah dia geram. Nasib baik dia sempat tekan brek. Tiba-tiba saja penunggang motosikal tersebut membuat pusingan u dan terus berpatah balik semula.

"Gila betullah minah ni. Kenapa? Takkan nak pergi tengok kemalangan tu kut?" Dia sendiripun sudah tertoleh ke belakang. Dan entah bagaimana, setelah beberapa minit, dia sendiri turut berpatah balik menuju ke tempat kejadian. Ikut kehendak hati yang dia sendiri sukar nak faham ketika itu.

Waktu itu, jalan raya mulai sesak. Alahai! Mula timbul rasa kesal dalam hati. Ikut sangat perasaan. Yang dia beria-ria nak ikut jejak perempuan tu dah kenapa? Hati dah mula kutuk diri sendiri. Payah pula dia nak sampai ke tempat kejadian. Dalam rasa sebal, hatinya tetap melonjak-lonjak ingin ke sana. Sebab penunggang motosikal tadi ke? Ataupun sebab lain? Apa yang pasti, alang-alang dia dah ubah haluan, pergi sajalah. Tetapi memandangkan kesesakan lalu lintas yang terjadi, sekali lagi dia buat tindakan drastik, masuk ke satu simpang kedai, pakirkan kenderaannya di sana, lalu berlari anak menuju ke tempat kejadian. Sah! Diapun dah gila macam perempuan tadi!

Sebaik saja dia sampai di tempat kejadian, orang ramai sudah mengerumuni mangsa. Langkahnya terhenti seketika apabila dia ternampak motosikal perempuan tadi terpakir elok di bahu jalan. Betullah tekaan dia. Perempuan tu memang ke sini. Tanpa menunggu lebih lama, dia turut masuk ke dalam kumpulan manusia tadi sehinggalah dia betul-betul berada di barisan hadapan.

"Mengucap kak...mengucap...Lailahaillallah...Muhammadarrasulullah..."

Kan betul! Memang sah itu perempuan tadi. Dia kenal sangat dengan jaket yang sudah menjadi selimut kepada mangsa kemalangan tersebut.

'Dia ni ada kena mengena dengan mangsa ke? Patutla dia patah balik?' hatinya mula berbisik. Untuk membantu, dia sendiripun tak tahu macam mana. Akhirnya, dia sekadar menjadi pemerhati. Sama seperti manusia lain yang ada di sini sehinggalah bantuan sampai.

"Siapa keluarga mangsa? Cik keluarga mangsa ke?" salah seorang pembantu perawatan bertanya. Gadis yang bajunya sudah dilumuri darah itu kelihatan sedikit terpinga-pinga.

"Tak! Saya tak kenal dia," jawapan yang membuatkan dia sekali lagi terkejut. Melongo sambil perhatikan gadis itu lama. Sehinggalah tangan gadis itu ditarik oleh pembantu perawatan tadi dan turut sama dibawa masuk ke dalam ambulan. Dia yakin sangat, pembantu perawatan sebentar tadi langsung tidak dengar apa yang diberitahu oleh gadis itu.

"Gila! Tak kenal tapi kau boleh duduk kat tepi mangsa ajar dia mengucap. Dengan darahnya yang tak berhenti mengalir. Hebat sungguh perempuan ni! Tak gerun langsung!" Ujarnya perlahan setelah kembali semula ke dalam kereta. Lama dia termangu sebelum keretanya laju bergerak meninggalkan kawasan itu.

Ya! Ini kalau dia buka cerita kat adik dia, sah-sah adik dia kata dia gila! Mereng! Sekali lagi dia buat kerja pelik. Pelik sehingga dia boleh berada di unit kecemasan di hospital yang berhampiran. Nasib baik juga dia cam ambulan yang membawa mangsa, jadi dengan mudah dia tetapkan destinasi dan terus ke sini.

'Itu dia!' Dari jauh dia melihat gadis itu sedang berbual melalui telefon. Kaki semakin mara mendekati gadis tersebut.

"Aku tak tahu beb...aku tak kenal dia...kau kena tolong aku...kau datang sini beb...aku dah tak tahu nak buat apa? Aku panik...please...datang sini ok. Cepat sikit!"

Jelas dia nampak tangan gadis itu menggeletar. Labuhkan punggung di atas salah sebuah kerusi yang ada di situ. Sungguh! Dia rasa kesian sangat. Kalaulah dia boleh lakukan sesuatu untuk hilangkan rasa cemas gadis itu.

"Istighfar cik. Istighfar banyak-banyak. Tenangkan hati," ujar dia perlahan. Niat untuk membantu. Sekilas gadis itu mengangkat wajah dan memandangnya sebelum kembali tertunduk. Namun sesaat kemudian, telinganya dapat menangkap sesuatu. Suara gadis itu. Sedang beristighfar. Alhamdulillah.

"Cik kenal dia ke? Maksud saya mangsa tu?" soal dia turut sama melabuhkan punggung di sebelah.

"Tak."

"Dengan keluarga mangsa?" dia bertanya lagi. Pelik sangat dah ni.

"Tak juga. Saya tak kenal dia, saya tak kenal keluarga dia," jawab gadis itu sambil tertunduk. Langsung tidak mengangkat kepalanya. Apatah lagi nak menoleh pandang dia. Dia faham, waktu itu gadis itu sedang trauma. Sudah tidak mampu fikirkan apa-apapun. Dengan tangan yang masih berlumuran darah, dengan baju yang sudah bertukar warna kepada warna darah, semua itu seakan-akan langsung tidak memberi kesan kepada gadis tersebut.

"Ya Allah...apa yang harus aku buat ni?"

Hiba pula hatinya mendengar rintihan gadis itu. Lama dia duduk di situ. Menemani gadis itu walaupun tanpa dipinta. Sehinggalah dia dikejutkan dengan panggilan telefon.

"Ya ummi. Kejap. Dalam setengah jam lagi Zer sampai!" Nampak gayanya setakat ini saja yang mampu dia bantu. Sekadar menjadi peneman gadis itu tanpa berbuat apa-apa. Dia bangun. Membuka jaket yang tersarung di badan lalu disarungkan ke bahu gadis itu. Melihat gadis itu yang mula berpeluk tubuh, dia yakin, gadis itu sedang menahan kesejukan. Ditambah pula dengan suhu di sini, dia yang berjaket tadipun turut merasai kedinginannya.

"Insya-Allah...semuanya akan baik-baik saja. Hati cik sangat mulia, dan saya percaya satu hari nanti, Allah akan balas jasa cik. Saya doakan yang terbaik untuk cik dan juga mangsa. Saya pergi dulu. Assalamualaikum."

====== TAMAT ========

p/s: Semoga terhibur. Ini novel yang pernah diterbitkan satu ketika dulu. Kepada yang pernah baca karya ini dalam versi novel...selamat ulang baca. Yang baru pertama kali membaca...selamat berkenalan dengan salah satu karya santai dari SI...Kalau ada kekurangan di mana-mana harap dimaafkan. Ini kira versi asal sebelum diedit oleh editor penerbitan. Mungkin ada typo di mana-mana. Sekali lagi SI minta maaf. Kalau best bolehlah share dengan kawan-kawan...kalau tak best pun sila share juga. Hehe. Biasalah...citarasa manusia kan berbeza-beza. Tq! Jumpa untuk next karya pula...Muah!

ZER & FIYA [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now