Taeyong membuka matanya perlahan-lahan. Dia dapat merasakan sesuatu yang hangat dan menyenangkan mengusap tubuhnya.
Entah bila kali terakhir dia merasa kesakitan disiksa seperti itu. Setiap masa dia menyumpah dirinya sendiri. Ini pertama kali dia ditangkap. Tidak pernah dalam sejarah dia menjadi pembunuh upahan dia akan tertangkap.
Tertembak atau tertikam itu perkara biasa. Tapi tertangkap masih belum pernah terjadi. Apa yang berlaku? Kenapa dia lalai?
Taeyong amat dikenali dengan gelaran BB. Semua yang tahu kewujudannya memanggilnya dengan nama BB. Malah, itu adalah kod namanya sendiri. Sudah sekian lama dia tidak mendengar nama itu. Bagaimana rahsianya boleh pecah?
Keluarga Jung.
Dia terlalu memandang rendah dengan keluarga ini. Dia menyangka keluarga Jung sama seperti mafia yang lain. Malangnya, tahap sekuriti kumpulan ini terlalu kuat. Sukar untuk dia tembusi.
Taeyong ingat lagi saat dia melihat wajah Jaehyun buat pertama kali. Dia ingat bagaimana dia terkedu tidak terkata. Tidak pernah dalam hidupnya dia merasa seperti itu. Padahal sudah ramai lelaki tampan pernah dia temui. Ini pertama kali dia merasa seperti ini.
Dia masih ingat lagi saat dia berkesempatan untuk membunuh Jaehyun, itu adalah pertama kali dia menjadi teragak-agak untuk membunuh. Dia tidak tahu apa sebabnya. Dan atas sebab kelalaian itu, dia tertangkap.
"Awak dah sedar?"
Taeyong memandang lelaki yang berada di hadapannya itu. Lelaki dengan rambut putih keemasan tersenyum jelita memandangnya. Lelaki itu sedang mengelap badannya yang berlumuran darah.
Taeyong terdiam. Dia memandang dirinya sendiri. Malah, lukanya juga sudah dicuci tetapi masih terbuka. Untung sahaja darah sudah berhenti keluar.
"Makanan awak mungkin dah sejuk." Lelaki jelita itu bersuara lembut sambil menuding ke arah dulang berisi makanan di suatu sudut. "Awak langsung tak bangun-bangun sejak tadi."
Taeyong mengerutkan dahinya. Dia diberi makanan? Dia adalah tahanan mafia. Tidak pernah dalam sejarah tahanan akan diberi makan. Malah, tidak pernah sama sekali luka-lukanya akan dicuci.
"Awak..." Taeyong membetulkan suaranya yang kedengaran serak. "Awak tak patut cuci badan saya."
Lelaki itu tersenyum manis. "Kalau awak risau saya akan dihukum, tak perlu. Sebab bos yang minta saya rawat awak."
Taeyong mengelipkan matanya mendengar kenyataan itu. "Bos yang minta? Jung Jaehyun?"
Lelaki itu mengangguk. "Satu-satunya bos saya."
Taeyong mengerutkan dahinya. Mustahil. Mustahil untuk seseorang yang dia perlu bunuh memberi arahan sebegitu.
"Saya tahu apa dalam fikiran awak." Lelaki jelita itu bersuara lagi sambil mengelap bahagian tangan Taeyong. "Saya pun tertanya-tanya kenapa bos suruh saya bersihkan awak."
Taeyong menarik nafas panjang tidak membalas.
"Awak nak makan?" tanya lelaki itu.
Taeyong memandangnya sambil mengangkat kening. "Awak akan buka ikatan saya?"
Lelaki itu ketawa. "Mestilah tak." Dia berjalan lalu mengambil sebuah kerusi dan dulang berisi makanan itu. Dia mendekati Taeyong semula dan duduk di situ. "Saya akan suap."
"Wah..." Entah kenapa Taeyong ingin tergelak. "Romantiknya."
Lelaki itu hanya ketawa dan mula menyuap Taeyong tanpa menunggu arahan. Taeyong yang sememangnya lapar tidak menolak.
"Awak langsung tak takut kalau makanan ni beracun?" Lelaki itu tersenyum.
Taeyong hanya mengunyah makanan itu sebelum menelannya. "Kalau bos awak tu nak bunuh saya... Dia tak perlu guna racun."
YOU ARE READING
Obsession [JaeYong] [BL] [18+]✔️
FanficJaehyun adalah mafia paling muda dalam sejarah bandar itu. Dia mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang luas membuatkan tiada seorang pun yang mampu mempersoalkan kemampuannya. Malangnya, di kala terlalu ramai yang cuba membunuhnya dalam diam, dia...