Dayu pantas mara dengan memegang erat pedang menggunakan kedua-dua belah tangan. Pedang tersebut diangkat tinggi dan cuba dihayun pada salah satu bayang tersebut namun sedikit tersasar. Malangnya, perhatian bayang tersebut beralih padanya sepenuhnya.
Dayu tersentak, kakinya berundur beberapa tapak ke belakang. Dia perasan satu benda. Mata. Mata bayang itu. Bayang-bayang itu ada mata! Sepasang mata berwarna merah hangat dengan pandangan tajam.
"Jangan berundur, Dayu Andira. Teruskan. Kau baru sahaja mula." Terasa bahunya ditepuk sekali oleh Putera Ibhar daripada belakang.
"Aku... aku-"
Zap!
Dayu mendesis kesakitan saat pipinya terasa pedih seakan-akan baru sahaja digores hujung mata pisau. Dia terus sahaja mencari-cari bayang tadi. Hilang semuanya.
"Hi- hilang."
Putera Ibhar menarik bahunya hingga dia berpusing ke belakang. Mata lelaki itu tertancap pada pipi kirinya yang terasa pedih.
Pantas tangan Dayu naik memegang pipi sendiri. Calar. Darah.
"Kalau aku boleh nampak luka kau, maksudnya aku juga boleh nampak bayang-bayang itu." Putera Ibhar nampak sedang berfikir panjang.
Dayu angguk laju mengiyakan.
Putera Ibhar mengeluh sekali, "Tak apalah. Kau boleh masuk dulu."
"Sekejap, Putera." Dayu menahan, pandangannya kembali tertumpu kepada Putera Ibhar.
"Aku rasa semua bayang-bayang itu ada kaitan dengan penduduk-penduduk di sini."
"Kenapa?"
"Bayang-bayang itu ikut mereka. Macam... hamba sedang ikut tuan mereka. Faham kan?"
Putera Ibhar diam cuba menghadam ayat gadis itu sebelum mengangguk.
"Aku faham. Aku akan uruskan nanti. Kau masuk dahulu. Aku mahu jumpa kau malam nanti."
.....
Dayu menyisip perlahan air teh di dalam gelas kaca kecil. Sambil-sambil itu, tangan laju mengambil sebiji roti kismis di atas pinggan. Sedap!
"Sedap ke, budak?" Andi menyoal perlahan sambil menyiku lengan kiri Dayu.
"Hmm, sedap! Mmm. Makan makan!" Dayu masih cuba bercakap walaupun penuh roti di dalam mulutnya.
"Tak suka roti." Andi menolak perlahan dan tersengih.
"Baik jangan tanya kalau macam itu." Dayu mengetuk perlahan kepala Andi menggunakan sikunya.
"Sakitlah, budak." Andi menolak perlahan bahu gadis itu, membalas kembali.
"Ehem."
Pertelingkahan kecil mereka terus terhenti saat dehaman itu menyapa telinga. Dayu terus kembali menyuap roti ke dalam mulut. Dia lapar dan langsung tidak peduli dengan pandangan Putera Ibhar.
"Kau tak makan kan, Andi? Aku ambil semualah." Pantas Dayu mencapai pinggan di atas meja dan diletakkan ke atas ribanya yang sudah duduk bersila santai di atas sofa.
Andi geleng kepala melihat tingkah terlebih santai gadis itu. Putera Ibhar dijeling sekilas, nasib baiklah Putera Ibhar hanya tenang dan sabar menunggu gadis itu selesai makan.
"Budak, berhentilah makan sekejap. Putera nak cakap dengan kau."
Dayu menjeling dan akhirnya meletakkan pinggan di atas meja kembali dengan wajah masam.
"Makanlah. Aku tunggu." ujar Putera Ibhar senada.
"Boleh?" Wajah Dayu kembali bertukar ceria sebelum mencapai pinggan roti tersebut.
YOU ARE READING
Irama Kirana [ايرام كيران] ✓
Fantasy"Sujud hingga kau tersujud." ..... لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْ...