Dayu menguap perlahan. Mengantuk. Sudah hampir dua jam mereka menunggang kuda mengawal seluruh kawasan tetapi tiada apa pun yang berlaku. Dayu berfikir sendiri, adakah setiap malam mereka menjalankan rutin yang sama? Tidak bosankah?
"Kiri?"
"Kosong, Putera!"
Dayu tersentak serta merta setelah mendengar suara nyaring pengawal-pengawal di belakangnya. Nasiblah, hampir sahaja dia terlelap. Kalau tidak, mahunya dia jatuh tersembam kerana tertidur.
"Satu jam lagi." Putera Ibhar kemudian melirik padanya. Mungkin sedar yang dia sudah hampir tertidur tadi.
"Malam ini balik awal tak boleh ke?" soal Dayu perlahan sambil mengeluh.
"Aku sedang latih kau, Dayu. Ini baru sedikit tapi kau sudah hampir tertidur atas kuda?" Putera Ibhar masih fokus ke hadapan namun suaranya terselit sedikit nada tegas.
"Kami semua pernah mengawal seperti ini hingga Subuh. Kau beruntung kerana hari ini aku hanya mahu mengawal tidak terlalu lama."
Dayu mengeluh dan mengangguk lambat-lambat. Masalahnya, dia tidak tahu apa fungsinya mereka masih mengawal di sini. Tiada apa-apa kecuali bunyi cengkerik malam!
"Jangan persoalkan apa-apa."
Dayu mengeluh buat kesekian kali. Akhirnya dia hanya pasrah dan mengikuti mereka.
"Dayu, kalau kau penat sangat, boleh duduk belakang aku. Kuda kau boleh beri pada pengawal lain." Andi menepuk belakang bahu Dayu. Dia perasan akan mata kuyu gadis itu.
"Tak apa. Aku boleh tahan."
Andi angguk dan kembali fokus ke hadapan.
"Putera, kiri!"
Serentak itu, Putera Ibhar menghentikan kudanya secara mengejut secara langsung membuatkan yang lain turut berhenti.
"Putera, kiri ada... argh!" Suara nyaring jeritan pengawal di barisan paling belakang itu mengejutkan mereka.
"Zam!" Andi pantas meluru mendapatkan Zam yang sudah terjatuh dan terbaring di atas tanah. Dadanya turun naik menghirup udara.
Dayu pusing tubuh memandang Putera Ibhar yang masih statik berdiri dan hanya memandang Andi yang sudah melutut di tubuh tepi Zam.
Putera Ibhar kemudian menarik pedang yang terselit di seluar bahagian kirinya.
"Kabeh, pedhang. (Semuanya, pedang.)"
Serentak itu, kesemua pengawal mengeluarkan pedang masing-masing kecuali Andi.
"Putera, Dheweke meh mati! (Putera, dia hampir mati!)" Andi menjerit dan memangku tubuh Zam yang sudah terkulai lemah. Yang pelik, langsung tiada kesan luka atau darah di tubuh Zam. Semua ini berlaku secara tiba-tiba. Ibarat diserang secara halus. Tiada kesan dan jejak langsung.
"Tangi, pedhangmu. (Bangun, pedang kau.)" Putera Ibhar melirik pada pedang di sisi kiri seluar Andi.
Andi jelas tidak puas hati, wajahnya merah menahan marah. Mana mungkin dia tinggalkan Zam di sini.
"Andi." Putera Ibhar masih setia memanggil kerana hanya Andi seorang yang masih berkeras berada dekat dengan Zam. Dia tahu, dia dapat rasa kelainan pada Zam. Pasti ada sesuatu yang terjadi kerana sebelum ini, Zam hanya baik-baik sahaja.
"Aku-"
Bwekkk!
Andi terngadah ke belakang. Matanya membulat memandang Zam yang sudah tertunduk dan memuntahkan isi perut ke tanah. Sesaat kemudian, lelaki itu ketawa terbahak-bahak.
YOU ARE READING
Irama Kirana [ايرام كيران] ✓
Fantasy"Sujud hingga kau tersujud." ..... لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْ...