NAFAS Dayu berubah semakin sesak saat dada alunan nafas Afhan berubah rentak, berubah perlahan. Perut dan lehernya juga masih berdarah sakan.
"Saya minta maaf, Han. Saya minta maaf..." Dayu menggeleng kepala bersama tangisan yang masih tidak reda. Kain cindainya perlahan-lahan ditarik daripada pinggang lalu dililit lembut pada leher Afhan yang sudah berbirat teruk dan berdarah.
"Arjuna..." panggil Dayu dengan nada rendah. Dia perlukan lagi satu kain cindai untuk dililit pada perut Afhan. Hanya Arjuna harapannya kerana Andi telah menggunakan kain cindainya untuk membalut luka tikaman di tangan. Sama juga dengan Dika dan tentera-tentera yang lain. Mereka mempunyai luka masing-masing dan telah menggunakan kain cindai sendiri.
"Arjuna," seru Dayu sekali lagi tatkala dilihatnya Arjuna diam membisu.
"Kain cindai... kain cindai kau..." pinta Dayu perlahan seraya menghulur tangan kanan. Namun, Dayu tersentak saat buat pertama kali, Arjuna membalas tatapannya dengan sebuah tatapan tajam.
"Kain cindai aku hanya untuk yang layak," ujar Arjuna seraya melilit perut Putera Ibhar dengan kain cindainya dengan dibantu Andi.
Laju Dayu menggeleng kepala. Dia faham maksudnya; Arjuna tidak mahu menolong serta tidak berpihak padanya. Sudah tentunya Arjuna dan tentera-tentera yang lain setia berpihak dengan Putera Ibhar.
"Arjuna... kain cindai kau..." Sekali lagi Dayu menggeleng kepala dan merayu. Entah kenapa dia lebih mementingkan Afhan berbanding Putera Ibhar. Tetapi yang pasti, dia tidak mahu kehilangan Afhan. Afhan adalah separuh jiwanya.
"Kau jangan jadi bodoh, Dayu. Semua ini jadi sebab lelaki durjana ini."
"Arjuna, tapi-"
"Tak ada tapi lagi, Dayu. Aku takkan maafkan lelaki ini kalau Putera Ibhar mati." Arjuna mengalih pandangan pada Putera Ibhar yang semakin perlahan nafasnya. Matanya juga semakin tertutup rapat.
"Sesiapa... aku perlukan kain cindai lagi..." Dayu memaling wajah ke tepi, memandang satu-persatu wajah tentera Kirana yang lain namun tetap hampa.
"Dayu..."
Wajah Afhan dipandang sekali lagi. Namun kali ini, dengan sebuah tatapan sendu. Setitis air matanya turun saat tapak tangan Afhan mendarat pada pipi kirinya.
Kulit tangannya sejuk.
Sungguh sejuk.
Bagai sudah hendak ditarik nyawanya.
"Saya minta maaf sebab dah susahkan awak... sebab dah susahkan semua dekat sini. Saya minta maaf... saya dah banyak dosa dengan semua..."
"Han... tak..." Dayu mengongoi menggoncang perlahan bahu Afhan, bagai menyuruh lelaki itu untuk bertahan. Walau mustahil, tetapi pasti ada caranya.
"Saya tolong awak, Han. Saya tolong awak." Dayu mengesat air mata yang masih mengalir. Dia kembali mengalihkan wajah pada Arjuna. Kakinya perlahan-lahan diseret menghampiri Arjuna bersama Putera Ibhar yang masih terbaring lemah di atas tanah.
"Bagi kain tu untuk aku. Putera... kau boleh bawa Putera terus balik ke istana..." Dayu menghulur tangan sekali lagi, meminta.
"Merepek. Putera sempat mati kalau aku bawa balik tanpa kain cindai ni."
"Tapi..."
"Tak ada tapi, Dayu. Kau sendiri tahu nyawa putera paling penting di sini," sampuk Arjuna.
"Tapi dia bakal tunang aku, Arjuna!" Jari telunjuk dituding pada tubuh Afhan yang sedang terbaring lemah di atas tanah bersama air mata yang masih galak turun dari tubir mata.
YOU ARE READING
Irama Kirana [ايرام كيران] ✓
Fantasy"Sujud hingga kau tersujud." ..... لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْ...