Lelaki Bertopeng Hitam ketawa sambil menggeleng kepala, "Aku tak mahu bertarung dengan kau. Tetapi dia." Jarinya lurus menunding pada wajah merah Arjuna.
"Tetapi aku mahu bertarung dengan kau," ujar Putera Ibhar seraya melangkah setapak ke hadapan.
Lelaki Bertopeng Hitam ketawa kecil seraya menggeleng. "Aku mahu dia, bukan kau."
"Aku mahu kau." balas Putera Ibhar laju.
"Boleh, kalau kau mahu juga. Tetapi biar aku cabut nyawa dia dahulu." Sejurus itu, lelaki bertopeng hitam terus menarik sebilang pedang hitam di seluar belah kanannya.
"Putera."
"Tak apa." Arjuna angkat sebelah tangan kiri, seakan menyuruh Putera Ibhar berhenti.
"Kau masuk, aku terus bunuh dia. Mungkin rakyat yang lain juga." Lelaki bertopeng hitam paling wajah ke arah Putera Ibhar sebentar sebelum tumpuannya kembali tertumpu pada Arjuna di hadapannya.
Arjuna hembus nafas berat.
Takut? Tidak.
Marah? Ya.
Melihat mayat tragis Suna di atas tanah, membuatkan darah Arjuna menggelegak kembali.
"Aku benci pembunuh." Arjuna buka kekuda.
"Aku benci lelaki lemah," balas Lelaki Bertopeng Hitam bersahaja.
"Jadi, kau benci diri sendiri," balas Arjuna sarkastik sebelum memulakan serangannya. Serangannya hanya perlahan dan tidak terlalu pantas seperti serangan yang sering Putera Ibhar lakukan. Serangannya lebih perlahan.
Perlahan tetapi tangkas.
"Ibhar Uzziq. Dia ialah pengawal kau yang paling lemah aku pernah jumpa." ujar Lelaki Bertopeng Hitam sinis. Serangan Arjuna lantas dielak bagai tiada apa-apa berlaku.
Arjuna ketap gigi. Dia bukannya lemah. Dia cuma rasa tenaga dan semangatnya bagai diragut pergi saat ekor mata menjeling cebisan mayat Suna.
"Rasa daging dia... manis... lembut..." Lelaki Bertopeng Hitam ketawa dan makin liar menyerang dan ketawa terbahak-bahak. Dia tahu itu adalah kelemahan terbesar Arjuna.
Suna.
Suna adalah kelemahan terbesar Arjuna.
Wajah Arjuna memerah. Kali ini, serangannya dibuat lebih pantas dan ganas. Telinga sempat menangkap bunyi derap langkah kuda tetapi dia hanya abaikan semua itu. Dia tahu itu ialah kuda milik Andi dan Dayu.
Arjuna mendesis kesakitan saat pipinya dicakar oleh Lelaki Bertopeng Hitam, meninggalkan kesan calar merah yang agak dalam di pipi kanannya.
Lelaki Bertopeng Hitam ketawa lagi, "Daripada putera, pembesar hingga rakyat. Semuanya persis bayi."
"Naif dan lemah..."
"Bayi seperti kami akan hakis jiwa gelap kau dengan jari kecil yang kami miliki," potong Arjuna laju sejurus mengangkat tinggi pedangnya, sedikit tersasar namun berjaya menghunus bahu Lelaki Bertopeng Hitam itu.
Lelaki Bertopeng Hitam mendengus kegeraman dan terus menghayunkan pedang kembali.
"Putera!" Putera Ibhar terus tersentak dan menunduk, sempat mengelak daripada terkena serangan tiba-tiba dari arah belakang itu.
Bayang-bayang hitam.
"Andi, dekat dengan Arjuna. Dayu, kiri. Aku jaga kanan." Seusai memberi arahan, Putera Ibhar terus membalas serangan dua ekor bayang-bayang hitam yang tidak henti-henti menyerang daripada tadi. Dua kali bilangan mereka kali ini. Sedangkan sekarang cuma ada dia, Dayu dan Andi melawan semua bayang-bayang hitam yang hampir mencecah seratus ekor itu.
YOU ARE READING
Irama Kirana [ايرام كيران] ✓
Fantasía"Sujud hingga kau tersujud." ..... لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْ...