"TAK GUNA. Mereka mungkir janji."
"Itulah sifat penjahat. Persis ular, suka memutar belit dan amat bahaya," ujar Putera Ibhar tenang.
"Putera, kita mahu buat apa sekarang?" tanya Dika, sesekali matanya menjeling sekumpulan bayang-bayang hitam yang masih diam membatu beberapa tapak jauh dari istana. Mereka tidak menyerang lagi, malah hanya berdiri tegak di situ.
"Tunggu raja mereka datang," balas Putera Ibhar sambil mengalih tubuh ke belakang, memandang wajah seorang demi seorang tenteranya.
"Mari kita berdoa. Aamiinkan doa yang aku baca." Putera Ibhar menadah tangan diikuti mereka yang lain.
"Ya Allah, malam ini kami akan berjuang habis-habisan sehingga nafas yang terakhir. Jadi sekiranya ada di antara kami yang akan mati malam ini, perkenankan doa kami, Ya Allah. Tempatkan kami di kalangan hamba-Mu yang syahid dan mendapat tempat tertinggi di syurga-Mu kelak. Ya Allah, perkenankan doa kami. Hanya pada Kau kami memohon. Hanya pada Kau kami memohon ampun dan reda." Putera Ibhar jeda seketika kerana suaranya jelas sudah berubah serak.
"Ya Allah, Ya Tuhan kami yang memiliki segala kekuasaan dan kemuliaan, kurniakanlah taufiq dan hidayah-Mu kepada kami, restuilah perancangan kami, bimbinglah kami dengan petunjuk-Mu dengan berterusan. Pimpinlah kami sekalian ke jalan yang lurus dan benar yang membawa kepada ketenteraman dan kesejahteraan. Hindarkan kami dari segala malapetaka dan sifat-sifat keji. Selamatkan kami dari perpecahan dan kebinasaan."
"Ya Allah, Ya Muhaymin, Ya Jabbar, berikanlah kemenangan kepada kami, tentera Kirana malam ini. Hanya pada engkaulah kami memohon." Putera Ibhar mengetap bibir dan menunduk.
"Walhamdulillahi rabbil alamin..." Tapak tangan terus diraup pada wajah sejurus mereka semua mengaminkan doa. Putera Ibhar mengalih wajah memandang ke hadapan semula.
"Kita cuba semampu yang kita mampu."
"Baik, Putera!"
"Pakai topeng masing-masing, kita akan kekal bersedia di sini."
"Baik, putera!" Sekali lagi mereka patuh dan menyarung topeng hitam pada wajah masing-masing.
"Arjuna," panggil Putera Ibhar sekali.
"Ya?" Arjuna menoleh ke kiri sambil membetulkan topeng di wajah.
"Tuntut keadilan atas kematian Suna."
Arjuna terus tertunduk. Dalam diam, tangannya dikepal kuat menahan segenap rasa gundah yang bertapak di dalam jiwa. Selang beberapa saat, wajahnya diangkat semula lalu diangguk.
"Andi." Kali ini, nama Andi pula yang diseru. "Tuntut keadilan atas kematian-"
"Tuntut keadilan atas kematian Zam. Ya, aku tahu dan aku akan tuntut tak kira apa yang jadi sekalipun," potong Andi laju. Wajah Putera Ibhar ditatap bersama sebuah keluhan dan tatapan sendu. Sungguh, Zam itu adalah sahabat sehidup sematinya. Jadi, kematian Zam disebabkan Ireng itu sungguh mempengaruhi segenap jiwanya.
Putera Ibhar menggeleng kepala dan turut membetulkan topeng di wajah.
"Selamat bertarung, semua," ucap Putera Ibhar perlahan.
Sebenarnya amat mustahil, dengan bilangan mereka yang hanya ada sepuluh. Dibandingkan dengan bilangan bayang-bayang Hitam yang tidak terkira banyaknya.
Tetapi tak apa, yang berada di jalan yang benar sebenarnya sudah menang sejak awal lagi.
Grrrr
Mereka mengalihkan perhatian pada bayang-bayang hitam yang seperti mengerang mengeluarkan suara buat pertama kali.
Bayang-bayang hitam berpecah dua dan membuat sebuah laluan untuk raja mereka; Ireng.
Dayu terkaku sejenak, nafasnya bagai tersekat di kerongkong.
Ireng yang ini berbeza dengan Ireng yang dia jumpa selama ini. Ireng ini lebih kecil dan bersaiz manusia biasa.
Tidak, itu memang susuk tubuh manusia.
Hanya wajahnya saja tidak kelihatan kerana ditutup dengan topeng hitam bertanduk.
"Selamat bertarung, semua." Sekali lagi tiga patah perkataan itu diucap Putera Ibhar.
Tampaknya Ireng sudah mara beberapa tapak ke hadapan dan betul-betul berdiri beberapa tapak jauh daripada mereka. Semestinya, kerana kawasan istana sudah 'dipagar' dengan ayat suci Al-Quran. Jadi, Ireng tidak mampu menapak mendekati mereka lagi.
"Sugeng dalu, Ibhar Uzziq. (Selamat malam, Ibhar Uzziq.)"
Putera Ibhar kekal tanpa riak di wajah. Malah, pedang ditarik lalu bilah berkilat pedang itu dikucup lembut. Melihat itu, Andi dan Arjuna turut mengikuti perbuatan putera.
"Saiki, Ibhar Uzziq. Aku ora sabar kanggo ngalahake kowe. (Sekarang, Ibhar Uzziq. Aku tak sabar mahu kalahkan kau.)"
"Aku uga ora sabar kanggo ngalahake kowe. (Aku juga tidak sabar mahu kalahkan kau.)" Putera Ibhar melorek sebuah senyuman nipis saat Ireng mendengus kegeraman dan pantas menerkam ke arahnya. Putera Ibhar terus mengangkat tangan kanan, memberi isyarat supaya mereka yang lain menyerang bayang-bayang Hitam yang sudah meluru ke arah mereka.
"Selamat bertarung, tentera Kirana!" laung Andi mewakili.
"Selamat bertarung!" sahut mereka dan mula berpecah ke haluan masing-masing untuk bertarung dengan bayang-bayang Hitam.
"Dayu, belakang!"
"Ya, aku nampak!" Dayu tersengih seraya menayang ibu jari. Walaupun topeng yang dipakai agak menyukarkannya untuk melihat sekeliling, namun mereka yang lain tetap membantu satu sama yang lain.
"Dika, Arjuna! Jangan sampai masuk ke dalam kampung!" laung Andi memberi peringatan. Dika dan Arjuna tampak terlalu tekun bertarung hingga sudah hampir terlajak masuk ke kawasan kampung. Mereka sepatutnya hanya perlu bertarung di sekitar kawasan istana.
Arjuna hanya menayang wajah toya. "Aku tahulah!"
Krak!
Arjuna tengadah sejenak saat sebatang susur panah terbenam di dahan pokok di belakangnya. Jika dia tidak mengelak, sudah tentu susur panah itu akan terkena pada lehernya.
"Kau buat apa, Iwana?! Kau mahu bunuh Arjuna? Arjuna ini tentera seperjuangan kita!" Suara garau Andi terus memetir.
"Kau diam! Lelaki ini..." Iwana mengetap gigi dan menuding jari tepat pada Arjuna. "Memang patut mati!"
"Arjuna, Dayu. Teruskan dengan bayang-bayang Hitam!" arah Andi seraya menolak tubuh Iwana jauh sedikit ke belakang. Batang panah cuba dirampas daripada tangan wanita itu namun gagal.
"Kau tak ada kaitan dalam hal ini, Andi. Jangan ganggu aku dan biar aku bunuh lelaki tak guna itu!"
Stret!
Andi sengaja melibas pedang tajamnya pada sebatang pohon.
"Kalau kau mahu leher kau seperti batang pokok ini, silakan. Bunuh Arjuna. Bunuh dia dan aku akan bunuh kau." ugut Andi namun benar, jika Iwana ingin mengkhianati mereka, maka dia sendiri yang akan menghapuskan Iwana.
"Kau tak guna! Manusia memang tak guna!" Iwana naik berang dan pantas menerkam memanjat tubuh Andi yang masih belum bersedia. Tangan dikalung ke leher Andi lalu lantas pedang lelaki itu dirampas dan dicampak ke tepi.
"Kau... mati..." Sepasang mata Iwana berubah gelap serta merta. Juga terdapat sepasang bayang-bayang Hitam di sisi kiri dan kanan wanita itu.
Pendamping.
"Lepaskan aku!" Perut Iwana ditendang namun sedikit pun tidak memberi kesan. Iwana sudah seperti Iwana yang bukan dia kenal. Ini Iwana yang lain.
"Kau... mati..."
Pak!
"Argh!" Andi meraung kesakitan.
"Andi!"
YOU ARE READING
Irama Kirana [ايرام كيران] ✓
Fantastik"Sujud hingga kau tersujud." ..... لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْ...