Nafas disedut payah. Wajah Andi dipandang daripada bawah dengan sepasang mata yang kabur.
"A-andi..."
Andi tunduk memandangnya dan mengusap lembut wajahnya yang berpeluh, masih berlapik dengan sepasang sarung tangan hitam.
"A-aku... aku... mati...."
Laju Andi menggeleng, "Tahan, Dayu. Tahan." Matanya lekas menangkap susuk tubuh Putera Ibhar yang masih sakan bertingkah dengan Ireng tanpa senjata.
"Putera... Dayu dah nak mati..." Andi mengetap bibir, menahan tangisannya yang bakal meletus tiba-tiba. Ya Rahman, ya Rahim. Untuk kali ini, dia tidak mahu kehilangan Dayu pula. Dia mahu keluar dari dunia ini bersama gadis itu. Dia mahu keluar bersama Dayu, bukan keluar seorang. Ini bukan dunia mereka. Bukan tempat mereka!
Putera Ibhar tetap meneruskan pertelingkahan mereka walaupun telinga dapat mendengar rayuan Andi.
"Aku sengit maling, Ibhar Uzziq... (Aku benci pencuri, Ibhar Uzziq...)" Ireng berkata kasar.
Putera Ibhar tetap diam melajukan serangan.
Hampa.
Nyawa Ireng sungguh liat.
Akhirnya, mulut terkumat-kamit membaca sesuatu dan tangannya laju melekap pada wajah Ireng. Makhluk hitam itu mengerang dan tertunduk. Wajahnya sedikit merah dek menahan kesakitan.
Kesempatan itu, Putera Ibhar terus mencapai pedangnya semula yang sudah jauh terdampar di tepi. Langkah seribu terus dibuka meninggalkan kawasan itu. Pantas pengawal-pengawal yang lain mengekorinya.
"Andi, pegang perut dia."
Andi mengangguk dan menekup perut Dayu yang dibaluti kain cindai merah itu. Sesekali wajah berpeluh Dayu diusap lembut, menyalur kekuatan.
"Mburi, nggawa Iwana. (Yang belakang, bawa Iwana)" Sempat Putera Ibhar memberi arahan sejurus melajukan larian bersama Andi ke istana. Iwana terus dipapah oleh dua orang pengawal. Gadis itu masih dalam keadaan lemah.
Sampai sahaja di istana, Putera Ibhar terus bergerak ke dapur. "Karti, panggil Nur!"
"Nur? Kenapa?" Karti yang sedang mengemas dapur, sedikit tersentak. Tiba-tiba sahaja anak gadisnya itu diseru.
"Dayu kena tikam. Tolong, Karti! Panggil anak kau sekarang!"
Karti terus kelam-kabut berlari ke luar istana, mendapatkan Nur yang sedang menyiram tanaman pokok bunga. Memang semua penduduk istana sedia maklum yang Wan Nur, anak Wan Karti itu berbakat dalam menjahit. Malah gadis kecil itu selalu menjahit luka pengawal-pengawal yang terluka. Kecil tetapi bakatnya sangat berguna.
Nur terus berpaling ke belakang dan berlari mengikuti Karti masuk ke dalam istana semula. Salah satu bilik yang menempatkan Dayu, diaju. Matanya terus menyapa sekujur tubuh Dayu yang sedang terbaring di atas katil sambil menyedut udara, payah.
"N-nazak ke?" Takut-takut Nur menyoal tatkala melihat keadaan Dayu yang sudah seperti separuh mati itu, dengan dada yang turun naik payah menghirup nafas.
"Aja ngomong kaya ngono, Nur! (Jangan cakap macam itu, Nur!") Andi mengurut dahi sendiri. Takut mendengar kenyataan itu.
Nur hanya mengangguk meminta maaf dan melutut di tepi katil. Sebatang jarum halus dan benang diambil sambil nafas ditarik payah. Perlahan-lahan kain cindai yang membaluti perut Dayu dibuka. Baju hitam gadis itu diselak. Kain bersih diambil lalu dilap darah yang masih basah di kawasan itu. Dayu mengerang kesakitan. Terlalu sakit.
"Andi, doakan aku," ujar Nur perlahan. Dia takut dia tersilap langkah.
"Aku doakan."
Nur mengangguk lagi dan perlahan tangannya turun menjahit luka di perut Dayu yang terbuka luas. Namun saat benang terbenam di kulit Dayu, jahitannya terbuka semula.
Nur terus mengerut dahi. Sekali lagi, dia cuba menjahit luka Dayu.
Sama.
Tetap terbuka semula.
Dayu pula mengerang-ngerang kesakitan saat jarum menusuk-nusuk perutnya berkali-kali.
"Andi... panggil... putera." Wajah Nur berubah pucat tiba-tiba.
"Hah?" Andi mengintai sedikit, namun melihat wajah pucat Nur, dia terus membuka pintu dan memanggil Putera Ibhar. Pantas Putera Ibhar melangkah masuk ke dalam bilik dengan wajah gelisah.
"Kenapa?"
"Tatune Dayu ora bisa dijahit. (Luka Dayu tak boleh dijahit.)"
Putera Ibhar tercengang. Selama ini, ada lagi pengawal yang lebih teruk lukanya tetapi belum pernah Nur tidak boleh menjahit luka tersebut.
"Luka yang aku jahit, terbuka semula. Sudah tiga kali aku ulang, putera. Dayu makin sakit bila aku tusuk jarum ke kulit dia," jelas Nur resah. Jarum dan benang di tangan dihulur pada Putera Ibhar, mengharap agar lelaki itu dapat menggantikannya.
"Aku tak mahir menjahit, Nur. Aku takut luka Dayu makin teruk."
"Kalau macam itu, kau tolong aku."
Lambat-lambat Putera Ibhar menganggukkan kepala dan melutut di tepi Dayu. Wajah kesakitan Dayu ditatap sayu sebelum matanya turun melihat luka besar di perut gadis itu.
"Dayu, izinkan aku sentuh kau," bisik Putera Ibhar perlahan walaupun dia tahu Dayu tidak dengar. Perlahan-lahan tangannya menyentuh perut gadis itu, lembut. Namun, erangan Dayu kedengaran semula. Ya, sakit.
"Allahumma syafi ‘abdatika ya syafi la syifa-a illa syifa-uka syifa-an la yughadiru saqaman." Sambil membaca, tangan kirinya naik menari-nari lembut di atas kelopak mata Dayu.
"Tidur, Dayu. Rehatlah."
"Tapi, kau jangan tidur lama-lama. Ini bukan tidur kau yang terakhir, Dayu. Tolong bangun semula. Kau... jangan mati."
Perlahan-lahan kelopak mata Dayu melayu, ibarat ada sebuah batu berat yang menghempap kelopak matanya.
Deja vu.
Jari kasar ini.
Jari kasar yang mengelus lembut kelopak matanya sebelum dia masuk ke Kerajaan Kirana ini.
"Tolong hidup, Dayu. Kau srikandi Kirana. Kau takkan mati dalam keadaan macam ini. Tolong hidup, tolong kuat."
"Asyhadu an la ilaha illallah, wa asyhadu anna muhammadar rasulullah."
Sejurus itu, Dayu terus 'melelapkan mata'. Entah sebentar cuma atau selamanya.
Putera Ibhar bangun lalu mengundur beberapa tapak. "Nur, sambung jahit."
Nur tunduk menarik nafas panjang dan menjahit luka di perut Dayu sekali lagi.
Berjaya.
Jahitan itu tidak terbuka semula.
"Alhamdulillah..." Nur mengucap syukur. Jahitannya sungguh mudah. Tuhan mudahkan urusannya.
Hampir satu jam bertungkus-lumus, Nur mengelap sisa darah dan menutup tubuh dayu dengan selimut hingga menutup paras dada.
"Insya-Allah, Dayu akan selamat."
Serentak Puan Ibhar dan Andi meraup wajah, syukur.
"Tapi, putera."
"Dayu sakit bukan kerana luka tikaman itu. Dia sakit kerana aura Ireng sudah masuk ke dalam badan dia. Ireng buat semua ini sebagai amaran yang Dayu miliknya," ujar Nur sejurus mengangkat tangan kirinya yang hitam legam, seperti terkena abu hitam kotor.
"Luka Dayu bukan luka kerana terkena senjata, tetapi luka terkena aura jahat Ireng."
"Ini cuma amaran. Tapi aku tahu makhluk itu tidak akan bunuh Dayu sebab dia hendakkan Dayu. Kau dan Andi, juga pengawal-pengawal lain, aku tahu makhluk itu takkan teragak-agak untuk bunuh."
"Kenapa Ireng hendak Dayu?" soal Andi, mencelah.
"Sebab Dayu memang hak Ireng daripada awal," jawab Nur, tenang.
YOU ARE READING
Irama Kirana [ايرام كيران] ✓
Fantastik"Sujud hingga kau tersujud." ..... لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْ...