Epilog / ايڤيلوڬ

75 12 9
                                    

"SEJUKNYA..." Dayu menggosok-gosok kedua belah lengannya. Jarang sekali dia keluar ketika pada waktu malam.

Putera menghampiri Dayu dengan senyuman lembut. "Ini untuk kau," katanya sambil menyerahkan sebuah beg hitam berisi baju kebaya hitam, selendang hitam bersulam emas, cucuk sanggul, kipas kayu, gelang, dan sepasang subang.

"Supaya kau tetap ingat kami di sini."

Dayu menggenggam beg itu, erat. "Terima kasih, putera... Aku takkan lupakan kau semua."

Putera menganggukkan kepala kemudian beralih kepada Andi, lalu memberi baju Melayu hitam lengkap dengan samping bersulam emas. "Ini untuk kau, supaya kau terlihat seperti putera dalam kalangan manusia," gurau Putera, memancing tawa kecil di antara mereka.

Jun datang mendekati dengan sebungkus beg kertas roti kismis yang baru dipanggang. "Aku buat khas untuk kau, Dayu. Jangan lupa makan!" Dia tersenyum lebar sambil meletakkan beg itu di tangan Dayu.

"Terima kasih, Jun." Dayu tersenyum suka.

Karti pula menghampiri dengan hati-hati, mengeluarkan rantai perak yang cantik untuk Dayu. "Ini sebagai tanda persahabatan kita. Jaga baik-baik, ya?" bisiknya.

"Ini pula untuk kau." Karti memberikan samping yang dia jahit sendiri.

Arjuna, yang sejak awal tetap dingin, akhirnya melangkah ke hadapan. Wajahnya masih tidak beriak, tapi matanya menunjukkan ada sesuatu yang belum disampaikan. Dia menyerahkan kerambit kecil kepada Dayu dan Andi, satu untuk masing-masing.

"Untuk jaga diri di dunia sana," katanya pendek. Kemudian, dia menarik nafas panjang.

"Aku minta maaf, Dayu."

Dayu pantas menggeleng kepala. "Aku tak marahkan kau, Arjuna. Terima kasih... sebab sudi jadi kawan aku."

Arjuna tersenyum nipis dan menepuk bahu Dayu dan Andi serentak.

"Dayu, Andi."

Serentak Dayu dan Andi menoleh ke arah Putera Ibhar semula.

"Pintu gerbang Kerajaan Kirana sentiasa terbuka untuk kalian berdua. Datanglah jika mahu."

"Hati-hati, jangan lupakan kami di sini." Putera Ibhar meletakkan kedua-dua belah tangan ke belakang tubuh dan memerhati Dayu dan Andi yang mula melangkah menjauhi mereka. Semestinya, dia menepati janji untuk menemani dan menghantar Dayu dan Andi ke dunia asal mereka.

"Assalamualaikum!"

Dayu melambai-lambai tangan ke arah mereka. Lengan baju Andi dipegangnya kejap supaya mereka berdua tidak berpisah.

Nafas dihembus lembut seraya mereka berdua melangkah dari situ. Beberapa saat kemudian, Dayu menoleh ke belakang semula namun tiada lagi bayangan Putera Ibhar, Arjuna, Jun, Karti dan Nur. Yang tinggal hanyalah pepohon hutan.

Dia dan Andi telah keluar dari gerbang Kerajaan Kirana.

"Tak payah pegang akulah, budak."

Lekas Dayu menarik tangannya semula dan menghadiahkan sebuah jelingan.

"Sekejap. Kau dengar tak tu?" bisik Andi, wajahnya berubah pucat. Bunyi suara anjing menyalak.

Anjing hitam yang pernah mengejar mereka di waktu lalu muncul dari bayang-bayang, matanya bersinar seperti bara api di malam.

Andi segera menoleh ke arah Dayu. “Kita perlu lari. Aku kira sampai lima, okey? Satu… dua… tiga…” Andi cemas mengira sambil menggenggam lengan Dayu erat. “Empat… lima!”

Serentak itu, mereka berdua terus membuka langkah seribu. Dayu memegang lengan baju Andi dengan kuat, berusaha mengekalkan keseimbangan sambil berlari sekuat hati.

Dengan setiap langkah, jantung mereka berdegup kencang. Andi menoleh sekejap, melihat anjing hitam itu semakin jauh. "Sikit lagi, Dayu!"

Setelah tiga minit berlari, mereka berdua jatuh terduduk di atas tanah. Tawa dihambur kuat.

"Aku dah tahu! Aku rasa anjing tu penjaga gerbang Kerajaan Kirana," kata Andi tercungap-cungap.

"Patutlah!"

"Dahlah, jom balik."

"Aku ikut kau, Andi?" Dayu mengerdip mata beberapa kali.

"Ah, tak ada. Balik sendiri!"

"Alah, bolehlah. Andi!" Dayu terus mengejar langkah Andi yang sudah berdiri dan berlari menjauhi dia.

"Ish, Andi!"

TAMAT

Irama Kirana [ايرام كيران] ✓Where stories live. Discover now