"DAYU?"
Dayu segera bangun daripada perbaringan dan menyelak rambut panjang hadapannya yang menutupi separuh mata. Karti di hadapan muka pintu dipandang.
"Mari makan malam."
Dayu menggeleng kepala tidak mahu. Seminggu semenjak kejadian itu, Dayu hanya duduk terperap di dalam bilik. Dalam tempoh itu, hanya Karti, Nur dan Jun yang melihat keadaannya.
Setelah pertarungan itu, Dayu dapat tahu yang Putera Ibhar telah mengarahkan beberapa rakyat untuk membawa balik jasad tidak bernyawa Afhan ke 'tempat asal' semula.
Ireng juga telah sah mati kerana Afhan telah meninggal dunia.
"Marilah makan. Kau makan pagi tadi saja. Nanti jatuh sakit." Karti menutup pintu bilik lalu menghampiri katil.
"Aku tak lapar."
"Bangunlah, putera tunggu hendak makan dengan kau sekali." Seledang hitam Dayu dicapai lalu dihulur.
"Hah, putera? Putera dah baik?" Dayu merapati tubuh Karti.
"Belum lagi, tapi sudah sembuh sedikit. Aku yang paksa dia makan."
"Andi? Arjuna? Dika? Yang lain?"
"Belum makan juga. Cuma aku tak panggil mereka lagi. Mari makan, Dayu." Karti tunduk membetul-betulkan selendang Dayu.
"Aku takut mereka marah aku..."
Karti tertawa kecil. "Kenapa hendak marah kau? Kau bukannya buat salah. Ish, marilah." Karti terus menarik lengan Dayu. Jelas tubuh Dayu lemah-gemalai kerana kurang makan dan kurang rehat.
Dayu menyorok di belakang tubuh Karti sambil berjalan ke dapur istana. Sejujurnya, dia masih belum bersedia untuk berhadapan dengan yang lain. Dia pasti pasti wajahnya yang akan dituding salah nanti.
"Putera, kowe durung mangan? (Putera, kau masih belum makan?)" soal Karti setelah mereka berdua memasuki kawasan dapur. Karti menolak tangan Dayu yang asyik-asyik melingkar di tangan kirinya.
"Ora, aku ngenteni Dayu. (Tak, aku tunggu Dayu.)"
Mendengar itu, Karti terus memberi isyarat mata kepada Dayu, menyuruh wanita itu duduk di kerusi.
Dayu menggaru kening dan menarik kerusi kayu bertentangan putera perlahan-lahan lalu melabuhkan duduk.
"Matur nuwun, Karti. (Terima kasih, Karti.)" Putera Ibhar menarik perlahan pinggan nasi dengan lauk sayur kosong bersama ikan. Sejenak, Dayu yang hanya terkedip-kedip memandangnya ditatap.
"Makan?"
"Hah, makan makan." Dayu kalut menarik pinggan kaca di atas meja lalu menceduk nasi untuk diri sendiri. Seekor ikan goreng kecil diletak di dalam pinggan. Jari perlahan-lahan menguis nasi suam di atas pinggan. Jarinya yang masih berbalut menyukarkannya untuk makan, sudahlah masih sakit. Tulang jari retak.
"Karti, menehi aku sendok. (Karti, beri aku sudu.)"
Karti mengambil sebatang sudu besi lalu dihulur pada Putera Ibhar.
Putera Ibhar mengangguk dan menarik pinggan nasi ke arahnya. Nasi itu kemudian digaul-gaul menggunakan sudu tadi sebelum disua pada Dayu.
"Jari sakit lagi kan?"
Dayu terkedu.
"Makanlah. Kau perlu kuat untuk pulih," kata Putera Ibhar lembut seraya menyuapkan nasi perlahan-lahan ke mulut Dayu.
Dayu memandang Putera Ibhar, terkejut dengan tindakannya, tetapi tidak pula dia membantah. Rasa hangat mula mengalir dalam hatinya, menyedarkan bahawa dia masih diterima walaupun dia telah membuat kesilapan.
YOU ARE READING
Irama Kirana [ايرام كيران] ✓
خيال (فانتازيا)"Sujud hingga kau tersujud." ..... لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْ...