١٧

124 14 15
                                    

DAYU duduk bersila di halaman Istana. Nafas ditarik dalam-dalam, menikmati bayu lewat malam. Bosan. Hendak ajak Andi atau Arjuna berbual pun, mereka berdua ikut Putera Ibhar pergi mengawal seperti biasa.

"Tak tidur lagi, Dayu?"

"Jun..." Dayu tersenyum nipis dan mengajak Jun duduk di sebelahnya, namun wanita itu hanya menggeleng tanda tidak mahu.

"Makanlah, aku bakar banyak untuk kau." Jun tunduk meletak sebakul roti kismis di sebelah Dayu.

"Makan. Putera risaukan kau. Dia yang suruh aku bakar supaya kau makan banyak," ujar Jun senada namun berbias riak kerisauan di sebalik suaranya. Gadis itu sudah lama tidak makan makanan yang dimasaknya, nasi pun tidak. Jadi, jalan penyelesaiannya cuma roti kismis kegemaran gadis itu.

"Aku tak ada selera, Jun."

"Makan sikit pun tak apa, kau perlu ada tenaga."

Dayu tunduk dan lambat-lambat mengangguk. "Nanti aku makan."

"Ya. Aku masuk dulu. Kau kenapa duduk di sini? Tak takut ada bayang-bayang hitam?" duga Jun.

Dayu mengeluh. "Aku dah penat dengan semua ni, Jun. Aku dah penat."

"Janganlah. Kita, perempuan tak boleh lemah macam ini. Aku tahu aku tak sekuat kau. Aku tahu aku tak mampu pergi bertarung seperti kau, tetapi setiap perempuan tak boleh lemah. Aku tahu kau kuat, Dayu. Kau jangan lupa untuk bangkit semula."

"Perempuan bukan dilahirkan untuk jadi lemah."

Dayu menggumam perlahan dan hanya menghantar tubuh Jun yang menghilang di sebalik pintu, mungkin sudah hendak tidur. Bakul rotan yang penuh dengan roti kismis itu ditatap sendu. Selalunya dialah yang paling teruja jika Jun bakar roti kismis. Namun kini tidak lagi. Lihat apa-apa makanan sekalipun dia sudah tidak rasa apa.

Akhirnya, wajah disembam pada lutut. Tangis yang ditahan-tahan segera dihambur di situ. Sejak kejadian dia ditikam Ireng, emosinya sungguh rapuh. Jika dahulu, dia bukan begini.

Dia tidak lemah seperti ini.

"Dayu..."

Dayu terus tersentak saat belakang tubuhnya dibelai lembut lalu dipeluk.

Iwana.

"Kenapa kau menangis?"

Dayu menggeleng lemah. "Aku... aku tak tahu." Sejurus itu, tangisan Dayu semakin galak bergema.

"Hmm, janganlah menangis. Kau mahu jadi kuat, kan? Kau mahu lawan Ireng?"

"Ya, aku mahu lawan dia. Aku mahu bunuh dia..." jawab Dayu dalam sedu.

Iwana tersenyum nipis segala menggeleng kepala. Belakang tubuh Dayu ditepuk sekali sebelum pelukan dilepas.

"Semoga kau mampu."

"Hanya jika kau mampu lawan dia."

Dayu terus mengerut dahi, tidak mengerti dengan kenyataan itu. "Hah?"

"Ah, Dayu!" Tubuh Dayu tegak memandang kumpulan pengawal yang sedang berjalan ke arahnya, nampaknya mereka baru sahaja selesai mengawal.

"Kenapa tak tidur lagi?" Andi terus melabuhkan duduk di sebelahnya dan menghembus nafas kepenatan, diikuti Arjuna di sebelah. Mereka serentak meneguk air kosong.

"Aku berborak dengan Iwana tadi..."

Jeda.

Nafas Dayu bagai tersekat di kerongkong buat beberapa detik.

Tiada Iwana di belakang.

Hanya dia, Andi dan Arjuna di situ.

"Borak dengan Iwana? Iwana baru sahaja masuk istana tadi, dia cedera sikit. Tadi ada bayang-bayang yang serang kami," jelas Andi.

Irama Kirana [ايرام كيران] ✓Where stories live. Discover now