١٩

114 11 10
                                    

"Nik Iwana, kau pengkhianat."

Iwana kalih ke belakang dan mengangkat kedua-dua belah tangan tanda mengalah. Bilah pedang tajam berkilau di lehernya dipandang dengan sebuah pandangan jelik. "Pengkhianat? Bukan aku."

"Perempuan itu." Jari Iwana lurus menuding pada Dayu yang sedang menepuk-nepuk belakang tubuh Arjuna.

"Dayu tak ada kaitan dalam hal ini. Dia sendiri tersesat di sini dan harus bantu putera. Kau... kau dari kampung dan tiba-tiba sertai kami. Jadi jangan salahkan aku jika aku syak kau pengkhianat antara kami."

Iwana tertawa halus seraya menggeleng kepala, mengejek.

"Andi, mudhuna pedhangmu. (Andi, letakkan pedang kau.)"

Andi terkaku sejenak tatkala mendengar suara itu. Dia menggeleng perlahan. "Tapi, putera. Dia..."

"Mudhuna pedhangmu, Andi Uzair. (Letakkan pedang kau, Andi Uzair.)"

Andi katup mata rapat dan perlahan-lahan menyelit pedang di tepi seluar semula, akur.

"Iwana, aku mahu bercakap dengan kau sekarang. Andi, pergi makan."

Andi kemam bibir menahan geram sejurus pergi ke Dayu dan Arjuna semula. Berjalan berselisihan dengan Iwana, sempat gadis itu berbisik halus sambil tersenyum simpul.

"Aku akan pastikan kau mati."

#####

"WAH, topeng?" Arjuna jakun membelek-belek sembilan buah topeng wajah berwarna hitam dan sebuah topeng berwarna putih di atas meja kayu. Semestinya, warna putih itu adalah milik Putera Ibhar.

"Kita punya, putera?" soal Andi sambil menyentuh permukaan salah satu topeng berwarna hitam dengan hujung jari. Keras.

"Ya, setiap seorang ambil satu." Putera Ibhar tunduk mengambil topeng berwarna putih lalu disarung pada wajahnya.

"Aik, macam mana nak bernafas kalau pakai topeng ni?" tanya Arjuna polos.

"Bangang, kan ada lubang hidung di topeng ini untuk bernafas." Andi menayang wajah menyampah. Arjuna tersengih malu dan perlahan-lahan menyarung topeng muka hitam itu di wajah. Cukup-cukup muat.

"Kenapa perlu pakai topeng?" soal Dayu pula setelah selesai menyarung topeng hitam itu.

"Aku tak mahu sesiapa cedera di bahagian wajah kerana Ireng suka sasarkan pada bahagian wajah."

"Oh..."

"Selesa? Nampak jelas? Sesak nafas?"

"Tak, putera. Semua bagus!" Arjuna mengangkat ibu jari.

Putera Ibhar mengangguk dan membuka topeng wajahnya semula. Tiga buah beg kertas besar dibuka.

"Ambil baju masing-masing. Baju Dayu dan Iwana yang paling bawah sekali, labuh sedikit."

"Selepas itu, ambil kain cindai masing-masing. Semua akan dapat kain cindai sendiri, tetapi cuma satu. Nanti lilit pada pinggang." Beg kedua dibuka.

Jari dituding pada beg kertas hitam yang ketiga pula, "Dalam itu ada pedang. Seorang ambil dua. Semua pedang sama saja."

"Dika, agihkan."

"Baik, putera." Dika yang sedari tadi hanya senyap di tepi, terus tangkas menyelongkar beg itu lalu membahagikan semua barang satu-persatu bermula daripada Andi, Arjuna, Dayu, Iwana dan empat pengawal yang lain.

"Simpan semua barang itu baik-baik. Kita akan guna malam purnama nanti. Jangan guna waktu berlatih," terang Putera Ibhar. Wajah didongak memandang langit yang semakin gelap.

"Selesai semua, mari masuk ke dalam. Malam ini kita sambung berlatih semula." Putera Ibhar terus masuk ke dalam istana meninggalkan mereka.

"Dayu."

"Hmm?" Dayu kalih ke belakang dan memegang erat pedangnya. Wajah Iwana dipadang atas bawah. Sejak kejadian semalam, mereka langsung tidak bertegur sapa.

"Aku minta maaf."

Dayu mengemam bibir dan mengeluh. Akhirnya, kepala hanya digeleng tanda 'tidak mengapa'.

"Arjuna, Andi. Aku minta maaf pada kau berdua juga." Perlahan Iwana tunduk memohon maaf, serba salah.

Arjuna berdecit dan menjeling tajam manakala Andi hanya mengangguk memaafkan.

"Aku tak maafkan kau," jeling Arjuna lagi.

"Arjuna..." Serentak Dayu dan Andi menyiku lengan Arjuna. Sebuah isyarat mata diberi.

"Yalah." Arjuna akhirnya mengalah, namun wajah Iwana sedikit pun tidak ditatapnya. Menyampah.

Iwana tersenyum nipis seraya mengucapkan terima kasih dan berlalu masuk ke dalam istana.

Arjuna panggung wajah semula. "Kau berdua kenapa maafkan dia?"

Andi menjongket bahu, "Tak payah marah lama-lama. Dia tentera seperjuangan kita juga."

"Betul tu," angguk Dayu laju.

"Macam mana pun, aku tetap tak percayakan dia. Kau perasan daripada tadi dia hanya senyap macam orang tak ada perasaan? Lepas itu, tiba-tiba saja datang pada kita dan minta maaf. Huh, mengarut!" Arjuna mencebir bibir tidak puas hati. Jarinya lurus menuding pada belakang tubuh Iwana yang masih berjalan masuk ke dalam istana.

"Orang yang diam, taringnya tersimpan. Kau tahu?"

Andi berdecit dan tersenyum sinis. Dayu pula sudah ketawa sakan.

"Sejak bila kau jadi matang macam ini, Arjuna? Aku fikir otak kau masih seperti keanak-anakan," usik Andi. Makin galak tawa Dayu bergema. Bukan selalu mereka berdua dapat lihat sisi Arjuna yang ini. Selalunya lelaki itu gemar bergurau tidak tentu masa.

"Aku tak main-main, Andi, Dayu. Aku tak sedap hati dengan Iwana itu. Sungguh!" Arjuna angkat sebelah tangan seakan bersumpah.

"Ya, aku pun ada rasa yang tak kena pada dia tapi kita yakinlah dulu buat sementara waktu ini. Dah, mari masuk." Bahu Arjuna ditepuk Andi sekali lalu mereka bertiga masuk ke dalam meninggalkan Dika dan empat orang pengawal lain yang sedang berborak.

Zap!

Serentak bahu mereka bertiga terinjut. Pusing ke belakang, Dika dan empat orang pengawal lain turut tampak terkesima.

"Panah?" Dika mendekati susur panah yang melekat di dinding istana.

"Dika, jangan sentuh!"

Zap!

Dan sekali lagi, sebatang susur panah tepat mendarat di dinding istana. Nasiblah Andi sempat menolak tubuh Dika daripada menyentuh susur panah itu sehingga mereka berdua jatuh terjelopok ke tanah.

Dayu menelan liur. Di hapadan istana dan di hadapan mereka, terhampar sekumpulan besar bayang-bayang hitam yang tidak terkira jumlahnya. Arjuna juga turut tergamam melihat itu.

"Putera..." Andi menoleh ke hadapan pintu istana dan mendapati bahawa Putera Ibhar turut memandang tajam pada arah bayang-bayang hitam itu.

"Mereka ajak kita berperang..." ujar Putera Ibhar perlahan seraya mengundang kerutan di dahi masing-masing.

"Tapi... sekarang belum bulan purnama." Dika meraup rambut panjang hadapannya. Takkanlah mereka akan berperang sekarang sedangkan latihan mereka masih belum mencukupi?

Putera Ibhar menghembus nafas berat dan mengangkat tangan kanan, memberi arahan. "Semua, masuk ke dalam istana. Pakai pakaian perang sekarang! Ambil pedang masing-masing dan kelengkapan. Cepat, semua!"

Mendengar arahan itu, mereka semua terus berlari masuk ke dalam istana dan menukar pakaian masing-masing.

Putera Ibhar memaling tubuh ke belakang, sempat telinganya menangkap beberapa suara halus yang berbisik di tepi telinganya.

"Kowe... mati... (Kau... mati...)"

Irama Kirana [ايرام كيران] ✓Where stories live. Discover now